Sunday 5 April 2009

Jaulah AJKT BKKIMM 2008/2009

KAHERAH, 5 April- Baru-baru ini barisan kepimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM); Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM, telah mengadakan jaulah ke Muhafazah. Jaulah tersebut telah diadakan pada 27 hingga 30 Mac 2009 (Jumaat hingga Isnin). Antara Muhafazah yang telah dikunjungi sepanjang jaulah tersebut adalah Iskandariah, Damanhur, Tanta, Mansurah dan Shoubra. Tujuan utama program tersebut adalah untuk mengeratkan lagi ukhwah serta menyambung silaturahim antara barisan kepimpinan BKKIMM dengan ahli BKKIMM di samping mewujudkan hubungan dua hala antara BKKIMM dengan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) di Muhafazah sekitar Mesir. Dengan program ini dapatlah anak-anak Melaka yang berada di Muhafazah masing-masing melontar cadangan dan pendapat yang membina kepada barisan AJKT BKKIMM selain mengajukan permasalahan mereka di Muhafazah agar barisan kepimpinan BKKIMM mengambil cakna dalam membantu dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Menurut laporan, pada 27 Mac 2009 seluruh barisan AJKT BKKIMM baik ikhwah mahupun akhawat bergerak menuju Iskandariah secara berasingan. AJKT BKKIMM ikhwah bermalam di Bait Muhajirin manakala barisan kepimpinan dari pihak Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKKIMM pula bermalam di rumah ahli BKKIMM akhawat. Keesokan pagi (28 Mac 2009), semua AJKT BKKIMM menziarahi unit Mutazawwijin (ahli yang telah berumahtangga) iaitu keluarga Ustaz Azim serta isteri dan Ustaz Firdaus Akob serta isteri. Pada sebelah tengahari pula telah diaturkan satu Majlis Ramah Mesra AJKT BKKIMM bersama ahli BKKIMM yang berada di sekitar Iskandariah. Kemudian, AJKT BKKIMM ikhwah meneruskan perjalanan ke Muhafazah seterusnya iaitu Damanhur. Sebaik tiba di Damanhur, Majlis Ramah Mesra terus dijalankan. Setelah itu, perjalanan diteruskan lagi ke Tanta dan AJKT BKKIMM ikhwah telah bermalam di rumah ahli di sekitar Tanta.

29 Mac 2009, Majlis Ramah Mesra di Tanta telah berlangsung pada sebelah tengahari. Selesai majlis tersebut AJKT BKKIMM ikhwah mengambil kesempatan menziarahi maqam auliya’ yang berada di Tanta sebelum meneruskan lagi perjalanan ke Mansurah. AJKT HEWI BKKIMM yang berada di Iskandariah pula mula bergerak ke Mansurah. Pada sebelah malam hari yang sama, seluruh AJKT BKKIMM (ikhwah dan akhawat) menziarahi ahli BKKIMM yang mengambil jurusan perubatan.

30 Mac 2009, seluruh AJKT BKKIMM menziarahi unit Mutazawwijin di Mansurah iaitu keluarga Ustaz Fikri serta isteri dan Ustaz Affie serta isteri pada sebelah pagi. Kemudian, seluruh AJKT BKKIMM telah bertemu ahli BKKIMM dalam Majlis Ramah Mesra pada sebelah tengahari hari yang sama. Setelah itu, AJKT BKKIMM ikhwah menuju ke destinasi terahkir iaitu Shoubra. Majlis Ramah Mesra di Shoubra bermula lewat sedikit daripada perancangan kerana kelewatan AJKT BKKIMM tiba di Shoubra. Selesai majlis di Shoubra, AJKT pulang ke Wisma Melaka.

Menurut Setiausaha Agung BKKIMM, Ust Mohd Shahdan bin Bakar, program berjalan lancar dan baik. “Dalam setiap Majlis Ramah Mesra di Muhafazah, beberapa orang AJKT telah ditaklifkan untuk menyampaikan tazkirah ringkas. Terima kasih kepada semua ahli BKKIMM yang belajar di Muhafazah kerana sudi menerima kunjungan kami (AJKT BKKIMM), tidak dilupakan juga kepada ahli Zagazig yang sanggup turun ke Mansurah untuk turut serta dalam Majlis Ramah Mesra di sana (Mansurah),” tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment