Monday 23 November 2009

[artikel] Menanggapi Isu Pengajian-Persatuan

oleh : Zakiatun Nazneen Binti Abd Hannan

“Pengajian adalah yang pertama, persatuan bukanlah yang kedua”
“Kebanyakan kita gagal kerana terlalu aktif berpersatuan”

Begitu dua frasa yang cukup kontra yang selalu kita dengari di Bumi Kinanah ini. Sering, kita terdengar, para siswa/wi kita bagaikan di dalam dilema, memilih antara pengajian dan persatuan. Benarkah kita harus memilih salah satu sahaja daripada dua pilihan ini? Tidak bolehkah kita memilih kedua-duanya sekali, dalam satu masa?

Sekular pengajian-persatuan
Persoalannya di sini, tidak bolehkah pengajian dan persatuan itu berjalan seiring? Umpama aur dengan tebing? Bagai isi dengan kuku? Kenapa harus menjadi bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa? Seandainya memisahkan agama daripada pemerintahan digelar sekularisme, mungkinkah juga memisahkan pengajian dengan persatuan digelar sekularisme juga? Adakah realiti pemisahan ini merupakan salah satu kesan hasil daripada penyemaian nilai-nilai sekularisme yang telah bertapak sejak sekian lama dulu yang dibawa oleh penjajah Barat?

Hakikat
Lupakah kita kepada hadis tentang andainya ada seekor kambing dan sekawan kambing, maka kambing yang seekor itulah yang lebih mudah untuk dibaham oleh serigala. Dan usah kita lupa pada hadis akan keutamaan orang berilmu dengan orang lain umpama keutamaan bulan berbanding bintang-bintang di langit malam.

Ketika mana para sahabat membina kekuatan thaqafah melalui pembelajaran mereka bergurukan Baginda Junjungan Besar s.a.w, mereka tidak pula lupa bersama-sama membina kekuatan ukhuwah dan kenegaraan agar tidak rapuh dibadai musuh-musuh Islam

Ketika mana para ulama’ kita sibuk menggali ilmu di sana sini demi mewarisi para anbiya’, mereka tidak pula lupa menunaikan tanggungjawab mereka kepada ummah melalui kelas-kelas pengajian mereka dan penulisan ilmiah serta ada juga yang menjadi pemimpin atau penasihat kepada tampuk pemerintahan.

Bukti-bukti dari lipatan sejarah ini membuktikan bahawa, progresif penuntut ilmu tidak akan terbantut dengan penglibatannya dalam kesatuan, dengan syarat, para penuntut ilmu ini bijak menguruskan masa serta tidak mensia-siakan tiap detik yang ada padanya.

Ulama’ itu adalah orang berilmu yang beramal dengan ilmunya. Mana mungkin kita mampu melakukan ibadah dengan betul andai Iman Syafie tidak menyalin ilmunya dalam berbilang naskhah sebagai menunaikan tanggungjawabnya kepada ummah seluruhnya.

Kita harus menginsafi, bahawa kita bukanlah abid agung yang tidak betah beribadat di tikar sejadah demi redha ALLAH. Kita hanyalah manusia biasa, yang tidak mampu menghabiskan tiap detik dengan solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain. Cuma kita boleh saja mengambil kesempatan beroleh pahala dari kerja-kerja kebajikan yang kita lakukan untuk memberi manfaat kepada insan lain.

Penutup
Tulisan ringkas ini bukanlah mahu memaksa semua siwa/wi di Perlembahan Nil ini agar bergiat begitu aktif dalam persatuan, meninggalkan pengajian atau hanya terperuk dan tenggelam dalam dunia kitab dan nota tanpa menjenguk luar. Tulisan ini hanya mahu supaya para pembaca dapat mengubah persepsi, bahawa pengajian dan persatuan bukanlah sesuatu yang harus dipilih,satu lagi harus dibuang, tetapi dua perkara ini boleh bergerak seiring, sejalan dan bersama, jadi, pilihlah kedua-duanya sekali!

1 comment:

  1. salam...bagus artikel ni.satu pandangan yg menarik,berani dan benar.

    ReplyDelete