Wednesday 18 November 2009

Kalam Timbalan Ketua HEWI 2009/2010

Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kehadrat Allah S.W.T diatas nikmat Islam dan iman yang dikurniakan kepada kita semua. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pembawa risalah kebenaran, ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh penggerak mata rantai perjuangan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
“Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkan bila dilihat, taat bila disuruh dan tidak mengkhianati sesuatu yang dibenci suaminya” (HR Imam Ahmad, Nasai, Hakim)

Wahai muslimat yang dirahmati Allah,
Tiada seorang wanita pun yang ingin dimasukkan ke dalam api neraka, diseksa dengan penuh kehinaan lantaran dosa yang dilakukan. Namun, ramai wanita yang tidak menyedari di dalam kehidupan harian mereka seringkali melakukan maksiat serta mengundang kemurkaan Allah. Hal yang demikianlah yang menyebabkan ramai wanita menjadi penghuni neraka di akhirat kelak sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Nauzubillah.

Hanya wanita yang memahami hakikat kewanitaannya sahaja akan menghargai dirinya dan sentiasa mencari peluang untuk mencari keredhaan Allah.

Apa yang saya harapkan, agar muslimat yang berada di bumi anbiya’ ini, khususnya muslimat BKKIMM, agar menjaga keperibadian kalian sebagai wanita Islam. Sentiasa semaikan di dalam diri kalian dengan sifat-sifat dan akhlak yang terpuji, dan janganlah biarkan diri kalian hanyut dengan keindahan perlembahan sungai nil.

Sesungguhnya sahabat, Sayyidatina Aishah sangat gigih membela kaum wanita dan berkeinginan untuk mengangkat martabat mereka. Sayyidatina Aishah tidak suka terhadap wanita yang melanggar hukum syariat. Ketika mana Sayyidatina Aishah melihat perubahan model pakaian sebahagian wanita setelah kewafatan Rasulullah, Sayyidatina Aishah tidak menyukai semua itu sambil berkata:

“Seandainya Rasulullah melihat perkara yang diada-adakan oleh wanita sekarang ini, nescaya baginda melarang mereka pergi ke masjid, sebagaimana wanita bani Israel dahulu."

Jadi, muslimat yang dirahmati Allah, jalan manakah yang hendak kalian ikuti? Samada jalan yang diredhai Allah atau jalan syaitan laknatullah?

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Ternyata umat Islam masa kini mengalami keruntuhan akhlak dan nilai murni selaku seorang muslim yang sememangnya memerlukan tenaga-tenaga penyelamat untuk menangani masalah ini. Persekitaran dan situasi yang penuh dengan tipu helah dan taktik jahat musuh-musuh Islam, benar-benar memerlukan golongan agamawan yang berwibawa untuk melawan arus keruntuhan akhlak masa kini. Manakala, bagi mereka yang sentiasa selesa dalam keadaan gawat ini, kemungkinan akan sama-sama hanyut dan lenyap sebelum matlamat suci yang ingin diperjuangkan tercapai.

Justeru sahabat-sahabat, antara persiapan terpenting kepada kita dalam merealisasikan tugas yang sangat besar ini adalah dari sudut keilmuan, thaqafah, dan organisasi yang sangat mantap. Rebutlah ruang dan peluang yang terbentang luas di bumi anbiya’ ini untuk sahabat-sahabat mempersiapkan diri sebelum sahabat melangkah ke medan perjuangan yang sebenar di tanahair.

Maka, jelaslah disini bahawa Islam bukan hanya menggalakkan kepada umatnya semata-mata menuntut ilmu, bahkan umat Islam mestilah menunaikan hak ilmu itu dengan amalan dan menyampaikan kepada orang lain. Islam juga menuntut kepada umatnya supaya sentiasa bergerak di dalam satu kesatuan dan organisasi yang kukuh. Sepertimana firman Allah di dalam surah As-soff ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang kukuh”

Sahabat-sahabat yang diberkati sekalian,
Bersatu-padulah kita di bawah kepimpinan yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berikanlah wala’ dan taat kita selaku orang yang memenuhi adab-adab orang yang dipimpin selagi tidak melanggar syarak dan perintah Allah.

Akhirnya, sama-samalah kita berusaha, berdoa dan bersungguh-sungguh demi melihat kesatuan kita terus utuh dan teguh.

“Sesungguhnya sahabat, kita seharusnya melakukan sesuatu yang positif walaupun di sana akan wujud beberapa kesalahan, pun begitu ianya adalah lebih baik berbanding golongan yang hanya tahu mengkritik orang bekerja sedangkan mereka hanya berpeluk tubuh dan tidak menyumbangkan apa-apa”

“Manusia harus berjuang, dan syurga itulah kejayaannya”

Wallahu Ta'ala a’lam.

Nurul Hidayah binti Abas,
Timbalan Ketua HEWI BKKIMM,
sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment