Monday 7 December 2009

Peperiksaan, Ooo... Peperiksaan!

oleh: Unit Pendidikan BKKIMM 2009/2010


"Macam mana ni, peperiksaan dah dekat sangat. Ana tak habis ulangkaji lagi. Habislah ana, mesti tak dapat jawab. Gagallah ana nanti."


"Peperiksaan?! Alah, janganlah cakap tentang hal ini... saya takut."

"Mestilah belum bersedia. Aku rasa kalau aku cuba sedaya upaya pun aku tahu, tak akan sempat aku habiskan ulangkaji kesemua subjek..."


Inilah luahan-luahan yang sering dan mungkin selalu kita dengar apabila menjelangnya peperiksaan. Hati berdebar-debar. Tahap kerisauan semakin meningkat. Fikiran pun mulalah memikirkan perkara-perkara negatif. Pelbagai gambaran yang tidak-tidak bermain-main dalam kepala.

Peperiksaan atau ujian adalah lumrah kehidupan. Selagi mana kita memegang status sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa, kita tidak dapat lari daripada menghadapi kenyataan itu - peperiksaan. Memang benar kita tidak dapat lari daripadanya tetapi, tidak mustahil kita tidak boleh cuba untuk menghadapinya dengan sebaik-baik kemampuan kita. Peperiksaan bukanlah sebuah beban semata-mata. Peperiksaan merupakan kayu ukur sejauh mana tahap pemahaman kita akan sesuatu perkara yang sudah dipelajari.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" (Surah Al-Asr: ayat 1-3)


Masa itu ibarat pedang, sekiranya kita tidak mencatasnya, ia pula akan memotong kita. Masa ibarat senjata tajam yang bernilai apabila dimanfaatkan dengan sebaiknya tetapi, perkara sebaliknya akan berlaku jika masa dibazirkan begitu sahaja. Masa merupakan kehidupan. Sesiapa yang mengisikan masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, maka dia telah membuang kehidupannya. Hidupnya seperti tiada erti dan nilai.

Masa kian suntuk. Peperiksaan semakin hampir. Bagaimana kita hendak menghadapinya? Salah satu cara yang kita boleh cuba lakukan sebaik mungkin dalam menghadapi peperiksaan adalah dengan menggunakan masa yang singkat itu untuk melakukan ulangkaji pantas.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

1. Semak bahagian yang sukar. Fahami dan kuasai topik tersebut. Buat latihan yang berkaitan dengan subjek tersebut dan semak jawapannya. Lihat dan fahami rangka jawapan yang diberi.

2. Bagi topik yang mudah, bukanlah perlulah diabaikan tetapi, buat banyak latihan dengan pantas. Ini dapat menambahkan keyakinan pada hari peperiksaan.

3. Ulangkaji kembali nota-nota ringkas yang dibuat. Jangan baca nota yang panjang lebar bagi mengelakkan perasaan panik apabila melihat isi kandungan yang banyak yang perlu dibaca.

4. Jangan terlalu bimbang atau resah. Teruskan mengulangkaji dengan kaedah yang betul. Selain mengulangkaji pelajaran, masa yang masih lagi ada itu, haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyiapkan diri dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani.

Persiapan fizikal termasuklah mengambil makanan yang seimbang dan mengikut waktu makan yang betul. Hal ini dapat menjaga kesihatan dan turut memberi tenaga dan stamina kepada badan untuk terus mengulangkaji pelajaran. Aktiviti-aktiviti riadah juga tidak patut diabaikan.

Dari segi mental pula, fikirkan yang positif dan yakin pada diri. Percaya bahawa kita telah berusaha dan kita yakin untuk menghadapinya. Fokuskan diri pada apa yang diinginkan dan buang perasaan risau dan resah. Elakkan daripada memikirkan perkara negatif yang mungkin terjadi.

Emosi turut terganggu apabila menjelang peperiksaan. Maka emosi kita juga perlu bersedia untuk bertempur di medan peperiksaan. Kawallah emosi dan cuba elakkan daripada melibatkan diri dengan konflik-konflik yang dapat menjejaskan mood belajar. Selalulah muhasabah diri dan fikirkan setiap kejadian ada hikmahnya. Dekatkan diri kepada-Nya dengan amalan solat-solat sunat dan membaca Al-Quran. Sesungguhnya Allah mengatakan hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang.

Dari segi rohani adalah dengan memperkukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka berhubunglah dengan-Nya dan panjatkanlah doa kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlas hati dan serendah-rendah diri sebagai hambaNya. Berdoalah agar dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.

Seelok-eloknya, sebelum mula ulangkaji, lakukanlah solat taubat dan hajat, pintalah agar mudah memahami dan mengingati pelajaran tersebut. Selain itu, pohonlah restu dari ibubapa dan guru. Jangan melukai hati mereka. Percayalah wahai pejuang di medan pertempuran peperiksaan, kerja yang dilakukan hari ini akan menyelamatkan kita hari esok. Tiada yang dilakukan di dunia ini sia-sia kecuali perkara yang sia-sia itu sendiri.

Gunakan masa yang suntuk ini dengan sebaik-baiknya. Jadilah seorang penuntut ilmu yang cekal hatinya, yang teguh pendirian dan azamnya, yang tidak mudah dipatahkan dengan cabaran yang menimpa. Jadilah seorang penuntut ilmu yang patuh dan tunduk kepada Yang Maha Mencipta, yang mempercayai dengan sebulat keyakinan akan kekuasaan Azza Wa Jalla yang menentukan segala-galanya.

Usahlah resah dan gelisah. Bangkitlah wahai mujahidin, mujahidah! Janganlah gentar dalam berjihad menuntut ilmu dalam mencari keredhaan-Nya. Menuntut ilmu itu jihad. Selamat berjaya dalam peperiksaan.

No comments:

Post a Comment