Saturday 26 December 2009

[Tazkirah] Kesabaran

oleh: Nurlia binti Yusope

Segala puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi, Tuhan Yang Maha Mencipta, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dan mereka yang menyambung perjuangannya hingga akhir zaman.

Dunia yang penuh dengan hasutan syaitan dan ujian, memerlukan satu bentuk kecekalan hati yang benar-benar mantap dan juga sifat sabar yang mendalam dalam diri. Kita selaku Azhari-Azhariah dan pelajar Timur Tengah lainnya harus sedar bahawa dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah kita tidak dibentangi dengan permaidani merah akan tetapi kita sering direntangi dengan onak dan duri.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu..." (Surah al-Baqarah: ayat 153).

Dalam mengejar kejayaan, seseorang perlu banyak bersabar dan bersolat memohon pertolongan kepada Allah kerana disebalik kejayaan itu banyak dugaan, cabaran dan halangan yang mesti ditempuhi.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"...sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar..." (Surah al-Baqarah: ayat 153)

Abu Salamah r.a menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya segalanya datang daripada Allah dan sesungguhnya kepada-Nyalah akan kembali" (riwayat Ahmad)

Kita sebagai individu Muslim tidak boleh marah akan Tuhan sekiranya menghadapi kegagalan. Kita perlulah bersabar dalam menerima Qada’ dan Qadar Tuhan di samping terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Kita hendaklah berusaha dan mencuba lagi sekaligus membaiki kesilapan yang pernah dilakukan. Percayalah setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dalam hal kesabaran. Baginda amat bersabar dalam kehidupannya walaupun ketika dibaling batu, dicerca dan dihina, Nabi Muhammad s.a.w masih mendoakan kebaikan untuk orang yang menyusahkannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Aku tidak diutus untuk mengutuk tetapi aku diutus sebagai penyeru kebenaran dan pembawa rahmat. Ya Allah tunjukkanlah kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui" (riwayat al-Bukhari)

Untuk menjadi penuntut ilmu yang benar-benar cemerlang, kita perlulah menjadi seorang yang penyabar dalam menghadapi dugaan hidup dan tidak mudah melatah dan putus asa apabila diuji dalam kehidupan. Sentiasalah memaafkan orang yang berbuat jahat kepada kita kelak kita akan lebih dihormati.

Kita juga boleh lihat nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya yang mana, Luqman mengingatkan anaknya mengenai beberapa perintah yang wajib dan penting daripada Allah s.w.t. Melaksanakannya akan memberikan satu kedudukan yang tinggi. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah dengan apa yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah." (Surah Luqman: ayat 17)

Terlebih dahulu kita mestilah melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah. Kita juga mesti berusaha untuk mengangkat masyarakat. Sudah pastilah hal ini memerlukan banyak kesabaran dan ketabahan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa agar Allah mencampakkan ke dalam hati-hati dan diri kita setinggi-tinggi sifat sabar untuk menempuh kehidupan dalam dunia globalisasi ini yang penuh dengan pancaroba selari dengan landasan syara’ seterusnya membentuk masyarakat Muslim yang maju dari sudut spiritual, fizikal, duniawi dan ukhrawi.

-salam perjuangan-

No comments:

Post a Comment