Saturday 31 October 2009

Ust. Mohd Shauqi Sambut Kelahiran Anak Pertama

Kaherah, 31 Oktober - Isteri Ust. Mohd Shauqi bin Ismail, Syarifah Nurfatin Aqilah binti Syed Abdul Rasyad Assagaf, telah selamat melahirkan cahaya mata pertama. Sehubungan itu, Yang Dipertua (YDP) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM), Ust. Mohd Shahdan bin Abu Bakar beserta rombongan kepimpinan BKKIMM dan diiringi isteri pegawai anak Melaka di Mesir telah berkunjung ke rumah pasangan tersebut di Syari' Mahkamah, Hayyu Sabi'e mengucapkan tahniah, semalam. Bayi seberat 2.7 kilogram itu selamat dilahirkan di Hospital Taufiqiah, 'Abbas 'Aqat pada 28 Oktober lalu jam tiga pagi. Bayi tersebut telah diberi nama Syarif Mostafa bin Mohd Shauqi.

Ketika kunjungan, bapa si bayi, Ust. Mohd Shauqi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira beliau. "Terdengar sahaja tangisan dia (Syarif Mostafa) semasa menunggu di luar bilik bersalin, hati saya tiba-tiba rasa berbunga, gembira yang amat dan bersyukur," ujar beliau ketika menceritakan perasaan beliau saat menjadi seorang bapa.

Ditanya tentang jadual kelas pengajian beliau di Wisma Melaka, beliau berhasrat untuk meneruskan kelas tersebut seperti biasa, mengikut jadual. "Saya ada juga berfikir tentang itu, kelas saya kita teruskan seperti biasa, kalau tangguh-tangguh saya risau nanti tidak habis. Apa pun, bergantung kepada keadaan esok (hari ini)." Semoga kehadiran Syarif Mostafa dalam keluarga beliau menjadi pendorong dan pembakar semangat beliau dalam meneruskan perjuangan.




Ralat: Beberapa kesalahan ejaan nama telah dibetulkan semula oleh admin.

Friday 30 October 2009

[iklan] Urusan Pinjaman TAPENM

PERHATIAN!

Kepada semua ahli Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir yang telah lulus dalam peperiksaan sesi 2008 / 2009 diminta menghantar perkara berikut:

1) Tasdiq Arab (3 salinan)
2) Tasdiq Terjemahan Safarah (3 salinan)
3) Kasyfun Natijah Arab (3 salinan)
4) Kasyfun Natijah Terjemahan Safarah (3 salinan)

Sila hantar kepada mana-mana AJKT @ Unit Pendidikan sebelum 10 hb November 2009
untuk proses pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPENM)

p/s: pastikan setiap salinan dokumen yang dihantar mempunyai cop@pengesahan dari pihak JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH (JPMK).

BKKIMM Sambut Pelajar Baru

oleh: Muhamad Firdaus B. Abd Hamid

Kaherah, 30 Oktober - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir(BKKIMM) sekali lagi berjaya menganjurkan Minggu Sambutan Siswa/wi Baru 2009 (MSSB 2009). Program yang berlangsung selama dua hari bermula 22 Oktober hingga 23 Oktober itu telah diadakan di Dewan Mu’allim Wisma Melaka Kakerah, Mesir dan disertai seramai 17 siswa/wi yang datang daripada Negeri Melaka. Mereka terdiri daripada pelajar perubatan dan pengajian Islam.

Program yang bertemakan “Thaqafah Dijana Ukhuwwah Terbina” itu telah bermula pada hari Khamis jam lapan pagi dan telah dirasmikan oleh Pengurus Pelajar Melaka Di Mesir, En. Roslan Bin Hj. Abu Samah. Pelbagai slot menarik telah diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya, Motivasi Kecemerlangan anjuran Unit Pendidikan yang telah disampaikan oleh Ustaz Hanafi Bin Zulkafli, Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah dan dua sesi Pembentangan Kertas Kerja anjuran Unit Dakwah yang telah disampaikan oleh Ustaz Harman Bin Hassan dan Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husssin.

Antara acara lain yang turut dijalankan ialah program bualbicara Al-Azhar Dan Peranan serta Pengalaman Di Mesir bersama Ustaz Yazid Bin Pardi dan Ustazah Saliyah Bt. Md Shah. Seterusnya peserta diberi penerangan tentang kuliah di Mesir melalui slot Pengenalan Kuliah yang telah disampaikan oleh Ustaz Syahir Bin Ismail (Kuliah Perubatan), Ustaz Muhammad Rihwan Bin Ab. Rahman (Kuliah Syariah), Ustaz Amirul Hafiz Bin Mohd Amin (Kuliah Usuluddin), Ustaz Idris Bin Jaamat(Kuliah Qiraat) dan Ustazah Samirah Binti Wazali (Kuliah Lughah). Selain itu, peserta juga telah diberikan taklimat kesihatan yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Safrin Bin Bashabidin manakala taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Ustaz Luqman Bin Yusof.

Pada malam terakhir program, Majlis Ramah Mesra Bersama Pengurus Pelajar Melaka Di Mesir serta Keluarga telah diadakan. Dalam ucapannya En. Roslan telah menerangkan serba sedikit tentang diri beliau dan memperkenalkan ahli-ahli keluarga beliau yang juga baru tiba di Mesir. Beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka telah melantik isteri beliau, Puan Norlijah Binti Mohd Nor, sebagai Pegawai Kebajikan Pelajar Melaka di Mesir yang akan bersama-sama membantu beliau bagi memberi khidmat kebajikan dan bantuan kepada seluruh pelajar Melaka yang berada di Bumi Anbia’ ini. Dalam ucapan akhirnya En. Roslan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah Program MSSB 2009, Ustaz Mohd Zaid Bin Mohd Noor, seluruh Ahli Jawatankuasa Pelaksana program serta seluruh ahli BKKIMM kerana telah merancang dan membantu bagi melicinkan perjalanan program ini dengan baik sekali.