Tuesday 30 March 2010

AJKT Jenguk Ahli Muhafazah

Baru-baru ini kepimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2009/2010 telah turun ke setiap muhafazah yang menjadi tumpuan anak-anak Melaka di Mesir. Jaulah yang diketuai oleh Pemangku Yang Dipertua, Ust. Zaharul Iquwan bin Ma'in, telah memakan masa lima hari bermula 16 Mac lalu. Destinasi pertama jaulah tersebut adalah Shoubra diikuti dengan Iskandariah, Damanhur, Tanta, Mansoura dan Zaqaziq. Antara tujuan utama jaulah tersebut adalah untuk memberi ruang kepada anak-anak Melaka untuk mengadu sebarang masalah, melontar cadangan serta muhasabah separuh penggal AJKT selain menjalin ukhwah yang lebih baik di antara ahli-ahli Melaka sendiri.

Perjalanan lima hari tersebut adalah lancar dari satu muhafazah ke muhafazah yang lain. Seorang ahli Melaka di Mansoura, Fatin Munawwarah, dilaporkan telah ditahan di wad pada hari di mana AJKT bermalam di Mansoura setelah selesai program ramah mesra. Keesokan hari, AJKT akhawat telah menziarahi pelajar terbabit dan disusuli AJKT ikhwah sejurus sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir iaitu Zaqaziq.

Pelbagai cadangan dan muhasabah telah dilontar ahli semasa slot ramah mesra bersama AJKT di setiap muhafazah sekaligus menunjukkan bahawa ahli Melaka begitu mengambil berat akan pergerakan BKKIMM. Pemangku YDP, Ust. Zaharul Iquwan, berharap agar tidak wujud sedikit pun ketidakbersamaan dan perpecahan di kalangan ahli Melaka. Beliau juga mengharapkan agar ukhuwah yang sedia terjalin akan berterusan dan semakin erat.