Sunday 31 July 2011

Erti kemerdekaan sebenar Ramadhan


Bulan Ramadhan mengandungi hikmah yang tidak ternilai dek hitungan akal manusia. Allah menjanjikan ganjaran taqwa bagi sesiapa yang menjalani ibadah di dalam bulan ini dengan penuh kesungguhan. Aroma indah yang disaksikan dalam suasana kehadiran bulan yang berkat ini sudah pasti menambahkan lagi hamasah dalam  jiwa Muslim untuk meraih seberapa banyak kelebihan yang cukup menggiurkan hati sang Mukmin.     
 Taqwa dan istiqomah dijual dengan harga kesabaran dan ketaatan kepada Allah Taala. Momentum  ibadah yang dicas sebelum kedatangan Ramadhan akan diteruskan dalam bulan-bulan yang selepasnya sehinggalah seseorang Mukmin itu menjadi seorang yang bersih amalannya daripada riak, bersih lidahnya daripada dusta, bersih pula hatinya daripada nifaq. Bulan Ramadhan merupakan kesempatan bagi mendidik diri daripada berterusan dalam dosa kerana takrif Ramadhan juga membawa maksud membakar dosa-dosa. Sebagaimana Hadis berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan daripada Rasulullahsallallahualaihiwasallam bersabda
واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه       من صام رمضان إيمانا
"Barangsiapa yang berpuasadengan penuh keimanan dan keinsafan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Penggarapan nilai sebenar yang terdapat dalam bulan Ramadhan ini bukanlah semata-mata


Friday 29 July 2011

Sepetang bersama Keluarga Penuntut – Penuntut Terengganu Mesir ( KPT )


Sepetang bersama  Keluarga Penuntut – Penuntut Terengganu Mesir ( KPT )

26/7/2011-5 P.M- Wisma Seri Melaka –
Sesungguhnya mukmin itu bersaudara.... “ Al-Hujurat, ayat 10.
Apabila dicubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya” Pepatah Melayu.

Konsep ukhuwah di dalam Islam dalam memupuk sensitiviti setiap muslim supaya sentiasa peka terhadap sahabat-sahabat seperjuangan sangatlah dititikberatkan oleh Islam.
Berukhuwah bukanlah sekadar merasa ‘kemanisannya’ sahaja, malah ‘ kepahitan’ dan ‘keperitan’ yang wujud patut turut dirasai dan dihadapi bersama.

Kunjungan sahabat Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir ( BKKIMM ) iaitu wakil pimpinan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir ( KPT ) yang diketuai oleh Yang DiPertua (YDP ), Ustaz  Mohd Riduan Bin Abu Bakar ke Wisma Seri Melaka khusus untuk bertemu dengan wakil pimpinan dari BKKIMM pada hari ini telah membuktikan keterikatan ukhuwah Islamiah di antara kedua-dua persatuan yang mewakili Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) masing-masing  bukanlah sekadar retorik semata. Malahan keterikatan ini adalah satu bukti betapa utuhnya kesatuan yang wujud antara mahasiswa-mahasiswa  khususnya mahasiswa yang menuntut di Mesir.

Perkongsian pengalaman dan isu-isu yang berlaku di dalam kedua-dua persatuan antara yang menjadi topik utama yang dibincangkan pada pertemuan kali ini. Kemesraan  jelas terpancar di riak muka setiap wakil yang hadir dalam pertemuan ini serta kenikmatan itu bertambah dengan masing-masing bersama menikmati sedikit jamuan yang disediakan.

Keprihatinan pihak KPT turut menyentuh perasaan wakil BKKIMM apabila  sumbangan turut diberikan oleh KPT kepada pihak BKKIMM hasil daripada tabung dana dan sumbangan yang dilaksanakan oleh KPT khusus bagi membantu BKKIMM dari sudut  kewangan. Sumbangan telah disampaikan oleh YDP KPT, Ustaz Mohd Riduan kepada YDP BKKIMM, Ustaz Harman Bin Hassan.

Sebelum itu juga, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir  ( PMRAM ), sebuah persatuan yang menaungi semua Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) di Mesir ini terlebih dahulu telah memberikan sumbangan kepada pihak BKKIMM. Sumbangan tersebut merupakan hasil  sumbangan mahasiswa-mahasiswa Mesir sewaktu Muktamar PMRAM kali ke-78 yang telah diadakan baru-baru ini. Usul Muktamar “ Bersama Mempertahankan Bkan Melaka “ turut disepakati oleh setiap perwakilan yang hadir dalam muktamar sanawi kali ke-78 ini.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak PMRAM dan KPT serta seluruh BKAN dan DPM yang sanggup bersama BKKIMM dalam menikmati kemanisan dan kepahitan sesebuah perjuangan. Ini akan menjadi pemangkin kepada BKKIMM untuk terus bangkit khusus demi menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswa Melaka di Mesir ini.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar .

Laporan oleh :
Unit Kebajikan BKKIMM
Sesi 2010/2011



Penyerahan Sumbangan daripada KPT kepada BKKIMM
                                                    
Jamuan Makan Di Cafe Wisma Seri Melaka
AJKT KPT DAN BKKIMM YANG TURUT HADIR
    

                                    


Wednesday 27 July 2011

BKKIMM Menziarahi Fatin Fasihah




Selasa, 26hb Julai: Meneruskan komitmen mendukung matlamat kebajikan, BKKIMM telah mengambil inisiatif menziarahi keluarga Saudari Fatin Fasihah bte Hanafi yang kini masih koma sejak 11 Julai yang lalu akibat pendarahan dalam otak. 5 orang AJKT BKKIMM, dan seorang AJK Unit Kebajikan BKKIMM telah sama-sama ke Sayyidah Zainab untuk melawat ibu dan ayah saudari Fatin Fasihah.Turut hadir juga HEWI Angkat Melaka,Ustzh Juhaidah Abd Hamid serta bendahari HEWI PMRAM Pusat, Ustzh Nadhirah. En Hanafi b Muhammad dan Puan Zaleha bt Abdul Rahim serta seorang lagi anak mereka telah sampai ke Mesir sejak 16hb yang lalu. Difahamkankan, keadaan Saudari Fatin Fasihah masih lagi belum berubah dan tindakan serta rawatan seterusnya masih lagi dinanti.


Dalam kunjungan tersebut, BKKIMM juga menghulurkan hasil kutipan sumbangan berjumlah LE2000.00.
Saudari Fatin Fasihah merupakan mahasiswi tahun 2 Perubatan di Universiti Kaherah tajaan JPA. Beliau menghidapi SLE yang menyebabkan penyakit auto-immune disorder yang mendedahkan beliau kepada jangkitan penyakit. Menurut Pn. Zaleha juga, penyakitnya itu turut menyebabkan jangkitan di jantung beliau.

16hb yang lalu, YDP BKKIMM,Ust Harman b Hassan serta 5 orang lagi AJKT BKKIMM telah menziarahi Saudari Fatin Fasihah di Hospital Qasrul Aini serta memberi sumbangan sebanyak LE200 kepada keluarga beliau.
  
 Kutipan untuk Saudari Fatin Fasihah masih lagi diteruskan dan ahli dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan.


Saturday 23 July 2011

JAULAH AJKT BKKIMM KE MUHAFAZAH


20-21 Julai : Barisan kepimpinan AJKT BKKIMM membuka tirai taqwim bagi fasa kedua selepas peperiksaan akhir sesi ini dengan mengadakan jaulah ke muhafazah untuk bertemu dengan anak Melaka khususnya ahli BKKIMM. Jaulah kali ini khusus untuk mendengar permasalahan, muhasabah dan cadangan terus daripada ahli mengenai kebajikan, pendidikan, serta sebarang isu-isu semasa terutama setelah BKKIMM melalui pelbagai dugaan yang tidak pernah putus semenjak daripada kenaikan kepimpinan pada bulan Ogos tahun 2010 yang lalu.
Perjalanan jaulah bermula pada 20 Julai 2011 bertempat di Dewan Zajlatul ‘Abidah, Iskandariah pada jam 5.00 petang. Pada keesokkan harinya destinasi diteruskan dengan mengadakan jaulah ke Tanta pada jam 12.00 tengah hari bertempat di markaz rasmi DPMT, Bait ‘Izzah yang diadakan bersama ahli dari muhafazah Damanhur. Musim panas tidak menghalang perjalanan sebahagian AJKT BKKIMM meneruskan destinasi ke muhafazah Mansurah yang turut menggabungkan ahli dari muhafazah Zagaziq dan Dumyat. Bertempat di Dewan Persada Jazeerah Al-Ward Mansurah pada jam 6.00 petang telah menjadi penutup kepada jaulah AJKT ke muhafazah pada sesi ini sebelum diadakan jaulah akhir yang akan berpusat di Kaherah awal Ramadhan akan datang.
Diantara pengisian yang diadakan sepanjang jaulah ialah ucapan aluan pengerusi majlis, mandub atau mandubah, wakil exco DPM serta ucapan Yang Dipertua BKKIMM sekaligus mempengerusikan majlis ramah mesra kepimpinan bersama ahli. Pelbagai persoalan telah dilontarkan oleh ahli berkisar isu semasa yang melanda BKKIMM, zakat serta pinjaman negeri Melaka dan beberapa persoalan lain berkaitan kebajikan. AJKT telah menjawab setiap soalan dengan baik dan mencadangkan kepada ahli supaya dielakkan daripada menghangatkan isu mengenai IMAM-BKKIMM. Dalam mengatasi isu provokasi terbabit dan menjaga kemaslahatan serta ukhuwwah dikalangan semua ahli, pihak kepimpinan sendiri lebih memilih untuk cenderung dan fokus pada gerak kerja dan aktiviti BKKIMM.
Majlis diakhiri dengan tayangan slideshow oleh Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM dan penyampaian cenderahati BKKIMM kepada DPM yang terlibat. Seluruh kepimpinan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga diatas komitmen, muhasabah serta cadangan daripada ahli yang hadir. Setiap pandangan daripada ahli membuktikan persatuan berusia 35 tahun ini masih mempunyai pendokong dalam memastikan gagasan dan survival BKKIMM dapat dilaksanakan dengan cara yang paling terbaik diperingkat kepimpinan mahupun ahli sendiri. Bagi mana-mana ahli yang tidak berpeluang menyertai kunjungan AJKT di muhafazah masing-masing,  pihak kepimpinan sentiasa mengalukan kehadiran anda ke majlis ramah mesra barisan AJKT BKKIMM bersama ahli Kaherah dan Syoubra sekaligus mengadakan iftor jam’ie bersama pada awal Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi, insyaAllah.

Laporan Oleh,
Jabatan Setiausaha Agung BKKIMM
Sesi 2010/ 2011.