Saturday 16 March 2013

Kalam Timbalan Yang diPertua BKKIMM


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan limpah rahmatNYA kita masih lagi dapat merasai nikmat iman dan islam. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W kerana berkat kesungguhannya dalam membawa risalah islam dan tanpa mengenal erti penat dan lelah yang selamat sampai kepada kita sehinggalah ke hari ini. 
 Sebagaimana firman Allah S.W.T mafhumNYA “Kamu adalah sebaik-baik  umat yang dilahirkan untuk manusia” (Ali Imran:110). Sebagai seorang hamba, kita perlu sedar  mengapa  kita diciptakan oleh Allah S.W.T di atas muka bumi ini iaitu tidak lain adalah  untuk menjadi khalifah atau pemimpin dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Sepatutnya, kita kena berlumba-lumba dalam mencari keredhaan dan pahala daripada Allah S.W.T sebanyak mungkin dalam kehidupan di dunia ini untuk mendapat ganjaranNYA  di syurga kelak.

Selain itu, dalam kita menegakkan kalimah Allah S.W.T  di atas muka bumi, kita hendaklah bergerak secara berjemaah atau berada dalam  kesatuan yang berdasarkan Al Quran dan As-Sunnah. Cuba sahabat-sahabat fikirkan mengapa Islam meletakkan amanah sebagai pemimpin ke atas semua individu? Ia adalah untuk mengingatkan kepada mereka bahawa di dalam Islam, segala gerak kerja mestilah terpimpin iaitu membawa maksud bergerak secara berjemaah.

 Tiada kalam yang mengatakan Islam itu boleh diperjuangkan secara individu tetapi hendaklah  secara berjemaah.Sebagaimana firman Allah S.W.T mafhumNYA “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali agama Allah,dan janganlah kamu berpecah-belah” (Ali Imran:103). Kita sebagai umat Islam hendaklah kita bersatu hati dalam menegakkan agama Allah S.W.T dan tiada sesuatu  perkara pun yang boleh membezakan kita kecuali iman dan taqwa kepada Allah.SW.T.

Sebagaimana yang kita ketahui, kebanyakan mereka yang bergelar mahasiswa adalah mereka yang masih muda dan mempunyai semangat menuntu ilmu yang tinggi. Sebagai seorang pemuda Islam, sepatutnya kita hendaklah sentiasa merasakan bahawa menuntut ilmu itu adalah satu jihad dan kita niatkan di hati untuk mengeluarkan diri, keluarga dan masyarakat amnya daripada jahiliyah kepada jalan yang benar menuju kepada hidayah Allah S.W.T dengan ilmu yang kita pelajari.

Di samping itu, di dalam kita menuntut ilmu, janganlah kita lupa tentang akhlak,sebab apa? Kerana dengan akhlak dan qudwah yang baik merupakan faktor terbesar dalam mempengaruhi hati dan jiwa.Ia juga merupakan wasilah yang teragung dalam penyebaran Islam kepada wilayah-wilayah dunia,sebagai petunjuk manusia kepada jalan-jalan keimanan dan ketaqwaan.

Kesimpulannya, “Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju kebenaran yang mutlak.Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai.Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya (petikan kalam  Hamka).

 Akhir kata, marilah sama-sama kita menjayakan tema BKKIMM pada tahun ini iaitu Memaju Prestasi Membumi Bakti.

"BKKIMM PILIHAN KAMI"

Ahmad Rabbani Bin Ismail
Timbalan Yang diPertua,
Ketua Unit Dakwah,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM),
Sesi 2012/2013 .


Hari Keluarga Anak-anak Melaka IKMAM '13



Kaherah, 28 Feb - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya menganjurkan program Hari Keluarga yang telah diberi nama Ikatan Mahabbah Anak-anak Melaka 2013 (IKMAM '13). Seramai hampir 120 orang pelajar yang terdiri daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi Melaka Mesir menyertai program yang telah dijalankan selama 3 hari ini.

Dengan bertemakan ‘Sehati Bersama Keluarga Bahagia’,  program ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama anak Melaka yang berada di bumi Anbia’ (Mesir) ini baik pelajar Univesiti Al-Azhar mahu pun pelajar perubatan.

Program Hari Keluarga kali ini yang sepatutnya diadakan di Wisma Melaka terpaksa diadakan di Markaz Perubatan, H7-Mahkamah, Kaherah apabila terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan. 
 
Program tersebut telah berlangsung selama tiga hari, bermula 28 Februari (Khamis) yang mana ia telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Aziz Bin Ali,Presiden PMRAM dan turut dihadiri oleh wakil HEWI dan BP angkat Melaka, manakala majlis perasmian penutup dilakukan oleh YDP BKKIMM Ustaz Khairul Fadli tepat 11.30 malam,2 Mac 2013 (Sabtu) di Markaz Perubatan.

Beberapa kumpulan telah dibentuk berdasarkan kepada jumlah kehadiran agar semua yang hadir dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan berdasarkan kepada strategi kumpulan masing-masing.

Aktiviti di mulakan dengan Qiamullail,solat subuh berjemaah dan tazkirah yang disampaikan Ustaz Muhammad Daud Bin Ashaari. Pelbagai aktiviti dan pertandingan yang menarik diadakan seperti Pertandingan Iron Chef, Sweet Memory dan sebagainya.

Acara dalaman untuk ikhwah telah diadakan di padang Mukhayyam Daim, sementara akhawat di Hadiqah Dauliah. Banyak acara yang menarik telah di adakan dan paling di nanti-nantikan ialah acara 'Student Night Out'.

Aktiviti luar untuk ikhwah telah dijalankan di padang Mukhayyam Daim, sementara akhawat di Wisma Seri Melaka. Manakala acara luar bagi ikhwah telah diadakan di padang Mukhayyam Daim dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya bola sepak, kadet berkumpulan dan banyak lagi. Dan acara luar akhwat telah diadakan di Hadiqah Dauliah.




Akhirnya, Setinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh anak Melaka yang bersama IKMAM'13, samada langsung atau tidak langsung,dan juga tidak dilupakan kepada barisan kepimpinan PMRAM Pusat, AJKT/HEWI BKKIMM yang turut bersama dalam menjayakan IKMAM'13. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada barisan adhoc pelaksana IKMAM'13 yang bertungkus-lumus memastikan program Hari Keluarga ini berjalan lancar.


'Sehati bersama, Keluarga Bahagia'
'Memaju prestasi membumi bakti'
'BKKIMM Pilihan Kami'


Disediakan Oleh,

Muhammad Irsyad Bin ZainalAbidin
Setiausaha Kerja,
Program Hari Keluarga (IKMAM 13),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir,
Sesi 2012/2013

Tuesday 5 March 2013

LAPORAN PROGRAM KURSUS DAI’E KONTEMPORARI (KUDRI’13)



              
Kaherah : 17,18 & 20 Februari  - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) bagi sesi 2012/2013 telah melaksanakan program Kursus Dai’e Kontemporari  (KUDRI’13) yang merupakan kesinambungan pada sesi yang  lepas. Ia telah diadakan di Musolla, Wisma Seri Melaka selama tiga hari.

Seramai 89 ahli telah hadir bagi menjayakan program ini yang mana turut hadir adalah daripada kalangan adik-adik daripada Akademi Huffaz. Program yang dianjurkan oleh Unit Dakwah dengan kerjasama Unit Pendidikan ini telah membawa beberapa objektif tersendiri yang ingin dicapai oleh ahli. Antaranya ialah mengasah dan melatih kebolehan ahli BKKIMM dalam berorganisasi, menyediakan persiapan dan persediaan asas sebagai seorang dai’e dan pimpinan yang kontemporari, membentuk keterampilan, akhlak dan shakhsiah Muslim yang sejati, melahirkan generasi pelapis yang pakar dan mahir dalam pelbagai disiplin ilmu agama Islam dan menanam kefahaman yang jelas dan jitu yang menepati kehendak semasa kepada ahli BKKIMM. Tema pada tahun ini ialah “Dai’e Kontemporari, Pemacu Ummah Berkredibiliti”.
Antara pengisian menarik yang telah disediakan khas untuk ahli ialah antaranya Pengucapan Umum, Kursus Pengurusan Jenazah (teori dan praktikal) dan Pembentangan Fiqh Khamsah. Tidak ketinggalan diskusi kitab iaitu kitab “Ahdafuna” dan kitab “Dua’t La Qudhot” yang menjadi santapan ilmu dan tarbiah kepada ahli.

Program Kusus Dai’e Kontemporari ini merupakan satu usaha Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM)  bagi melaksanakan gagasannya iaitu dakwah dan tarbiah dan pemantapan fikrah melalui thaqafah dan ilmiah. Program ini diakhiri dengan majlis perasmian penutup  yang dirasmikan oleh wakil badan pengurus PMRAM  iaitu Ustaz Muhammad Syazwan Bin Hamzah.

“MEMARTABAT KEILMUAN,MEMIMPIN KESATUAN”
“JULANG KEILMUAN,JANA KEIZZAHAN”

“MEMAJU PRESTASI,MEMBUMI BAKTI”
"BKKIMM PILIHAN KAMI"




Disediakan oleh:
Setiausaha Kursus Dai’e Kontemporari (KUDRI’13)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
(BKKIMM)sesi 2012/2013