Tuesday 1 July 2014

ISU PENGUBAHSUAIAN WISMA SERI MELAKA: RESPON PIHAK BERWAJIB DI MALAYSIA

1 Julai 2014: Wakil Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di Malaysia, Saudara Amir Al Amin bin Mustaff telah menghantar memorandum kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (SUK) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).  Antara tujuan penyerahan memorandum tersebut adalah bagi menjelaskan keadaan sebenar yang dihadapi oleh anak-anak Melaka yang menghuni di Wisma Seri Melaka Mesir (WSM). Tuntutan yang dibuat adalah agar pihak berwajib membatalkan pengubahsuaian WSM atau membuat secara berperingkat tanpa mengeluarkan penghuni daripada bangunan.

Memorandum tersebut telah diterima oleh Puan Rozita binti Dolah  disebabkan ketiadaan SUK iaitu Y.B Datuk Wira Hj Naim bin Abu Bakar, dan beliau akan mengaturkan satu temujanji  bersama Y.B Datuk Wira pada minggu hadapan bersama wakil BKKIMM di Malaysia.
Manakala memorandum kedua yang telah dihantar kepada MAIM, membuahkan satu pertemuan diantara wakil BKKIMM  bersama setiausaha MAIM  iaitu Encik Mohd Yusof bin Abu Bakar pada 25 Jun lalu.

Wakil BKKIMM turut menjelaskan  kelebihan dan kekurangan menetap di rumah sewa serta memberikan cadangan supaya pihak yang bertanggungjawab menyediakan penempatan sementara. Hal ini bertujuan mengelakkan masalah keselamatan yang kerap berlaku di rumah sewa seperti kecurian dan pecah rumah, khususnya terhadap penempatan yang didiami oleh mahasiswa Malaysia di sekitar Kaherah. Penyediaan penempatan sementara  juga dapat mengelakkan  mahasiswa Melaka daripada mengalami masalah kewangan untuk menyewa rumah, disebabkan kadar sewaan rumah di sekitar Kaherah terlalu mahal, dan sukar untuk mendapatkan rumah sewa dengan harga yang berpatutan.

Antara cadangan yang diberikan kepada MAIM adalah menempatkan semua pelajar secara ramai sekiranya semua terpaksa keluar.  Encik Mohd Yusof bin Abu Bakar menerima pandangan tersebut dan beliau mengambil keputusan akan berbincang dengan kadar segera bersama Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar di Mesir Encik Mohd Anwar bin Idris untuk memastikan keselesaan serta kemudahan para pelajar.

Maklumbalas berkaitan dengan jumlah mahasiswa baru yang masih tidak dapat berdaftar untuk menghuni di WSM, Encik Yusof menjelaskan  bahawa tiada masalah untuk semua mahasiswa ini menetap di WSM. Ujarnya, beliau tidak mahu menyusahkan mahasiswa Melaka walau seorang pun.
Antara perkara yang turut dibincangkan adalah berkaitan percanggahan maklumat dalam beberapa permasalahan daripada pihak pegawai sendiri iaitu Encik Mohd Anwar bin Idris. Berkenaan dengan perkara ini, beliau telah berjanji akan menghubungi Encik Anwar selaku pihak yang menguruskan kebajikan mahasiswa Melaka di bumi Mesir bagi membincangkan perkara-perkara penting seperti mahasiswa yang masih tidak dibenarkan berdaftar untuk menghuni WSM serta penempatan sementara ketika pengubahsuaian WSM dijalankan.

Sebagai penutup, pihak BKKIMM berharap agar pertemuan bersama Setiausaha MAIM ini bukanlah pertemuan yang  terakhir. Semoga pertemuan ini dapat membantu mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua belah pihak bagi memastikan kebajikan penghuni WSM terjamin serta kebajikan mahasiswa anak Melaka di Mesir terjaga. 

No comments:

Post a Comment