Tuesday 30 December 2014

KUNJUNG HORMAT BKKIMM KE PEJABAT PENTADBIRAN WISMA SERI MELAKA

Kaherah, 30 Disember 2014 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Mesir (BKKIMM) telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka (PPWSM) pada 18 Disember  yang lalu. Kunjung hormat ini merupakan lawatan rasmi kali pertama pimpinan BKKIMM semenjak dari kenaikan pada sesi  ini. Kehadiran rombongan disambut baik oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka di Mesir, Encik Haji Muhd Anwar Bin Idris.

                Pertemuan ini melibatkan hampir keseluruhan barisan ahli jawatankuasa tertinggi BKKIMM yang diketuai oleh Saudara Ahmad Rabbani bin Ismail YDP BKKIMM sesi 2014/2015 dan beberapa orang Penasihat BKKIMM. Perjumpaan ini turut dihadiri oleh pembantu pegawai, Encik Ibrahim bin Hussen.  Objektif utama perjumpaan adalah untuk suai kenal dan beramah mesra secara lebih dekat dengan Pegawai Melaka disamping menyuarakan pandangan pelajar untuk tindakan di peringkat pegawai.
                Perjumpaan dan perbincangan yang mengambil masa selama 2 jam ini menghasilkan keputusan yang baik daripada kedua pihak sama ada di peringkat BKKIMM mahupun PPWSM. BKKIMM melahirkan ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih atas layanan mesra dan toleransi Encik Haji Muhd Anwar Bin Idris sepanjang perjumpaan berlangsung.

                Pelbagai lontaran idea dan konklusi yang diberikan oleh pihak Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka (PPWSM) kepada pihak BKKIMM bagi membantu kebajikan anak Melaka di sini serta bersedia memberikan kerjasama yang terbaik untuk kemudahan bersama. Selain daripada itu, pihak PPWSM juga memaklumkan mengenai cadangan yang diutarakan sebelum ini berkaitan kelas intensif untuk anak Melaka di Mesir dan saguhati bagi mahasiswa Melaka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang mana masih menunggu respon daripada pihak Kerajaan Negeri Melaka.

                Dalam perjumpaan itu juga, BKKIMM sempat menyuarakan beberapa persoalan ahli Melaka kepada Pegawai Melaka antaranya berkaitan permohonan dermasiswa yang akan diberikan oleh Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM). Respon  daripada Encik Haji Muhd Anwar Bin Idris bahawa prosedur berkaitan perkara tersebut akan dimaklumkan semula.

                BKKIMM mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak PPWSM menerima pelawaan kunjung hormat daripada pihak kami. Selain itu, BKKIMM mengharapkan pertemuan sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi memastikan kebajikan anak-anak Melaka terjaga. Gerak kerja dapat dihasilkan dengan baik dengan kerjasama yang erat daripada pihak PPWSM dan BKKIMM selaku satu-satunya persatuan anak Melaka di sini dalam menggerakkan seluruh aktiviti anak Melaka dalam pelbagai lapangan demi melahirkan mahasiswa Malaysia yang berdaya saing yang mampu memberi sumbangan yang besar kepada tanah air Malaysia.

“MEMARTABAT KEILMUAN MERIBAT KESATUAN”
“BKKIMM TETAP DI HATI”

“BERILMU BERAMAL”

1 comment:

  1. Bagus!!!tunjukkan kerjasama dan kebajikan terhadap anak-anak Melaka di Mesir

    ReplyDelete