Saturday 30 July 2016

AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN BIKUM MAHASISWA/WI BARU 2016


Mesir,18 Julai 2016 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menyambut ketibaan Mahasiswa/wi baru seramai 29 orang. Rombongan ini telah tiba pada jam 12.25 tengah hari di terminal 1,Cairo International Airport.

Antara yang hadir bagi menyambut kedatangan mereka ialah Yang Dipertua Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi,Timbalan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam Melaka Mesir (HEWI) Ustazah Ain Hanisah binti Abdul Hannan dan barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi sesi 2015/2016 BKKIMM dan beberapa barisan komuniti pelaksana program Urus Setia Mahasiswa Baru 2016 (USMB ‘16).

Seterusnya, semua mahasiswa/wi baru beserta seluruh barisan AJKT dan HEWI serta barisan komuniti bertolak pulang menuju ke Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabi’ dengan menaiki bas yang disediakan. Sepanjang perjalanan ke Rumah Melaka Sementara (RMS),Ustaz Jundullah bin Said, selaku Pengarah Program USMB ’16 telah memberi ucapan alu-aluan kepada semua mahasiwa/wi. Setelah itu, Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM juga telah dijemput untuk memberikan ucapan. Antara ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan selamat datang khusus buat semua mahasiswa/wi baru yang telah selamat sampai. Beliau juga turut memberikan sedikit pengenalan ringkas berkaitan suasana di Negara Mesir.

Tepat pada jam 3.30 tengah hari, rombongan mahasiswa/wi baru telah tiba di RMS. Kemudian, sesi taklimat berkaitan pembahagian rumah dan pengenalan musyrif dan musyrifah telah disampaikan oleh unit pengisian Ustaz Muhammad Khidhir bin Abd Hamid. Setelah selesai sesi taklimat, barisan komuniti USMB ‘16 telah menyediakan jamuan makan tengah hari kepada semua mahasiswa/wi.


Program sambutan Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru ini saban tahun diadakan, yang mana ia merupakan sebuah medium panduan awal kepada para mahasiswa/wi baru supaya dapat menjalani dan menempuh suasana baru di Mesir dengan baik. Pelbagai bentuk pendedahan dari segi pendidikan dan kefahaman bakal dibentangkan kepada mahasiswa/wi baru melalui program-program yang diadakan.

AJKT dan HEWI BKKIMM serta barisan Komuniti Pelaksana Program USMB ‘16 mengucapkan Ahlan Wasahlan kepada semua mahasiswa/wi baru sesi 2016/2017. Semoga dengan kehadiran mahasiswa/wi baru ini bakal melahirkan lebih ramai generasi pelapis agamawan di bumi Melaka kelak. Insha Allah.

“Generasi Tarbawi Transformasi Ummah”
“Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah”
“Berilmu dan Beramal”



Disediakan oleh :
Setiausaha Kerja,
Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru 2016 (USMB’ 16)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir

Friday 22 July 2016

MADINAH RAMADAN MEMACU KREDIBILITI BADARIYYIN & IZZAH KEMENANGAN DIRAI, UKHUWAH TETAP TERPATRI

 Kaherah, 10 Julai 2016 - Demi menyahut seruan ibadah puasa ramadan pada tahun ini, telah menjadi rutin tahunan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) untuk membentuk satu komuniti Ihya’ Tarbawi Ramadan (IHTIRAM ‘16) yang berperanan merancang dan menjayakan aktiviti sepanjang bulan ramadan ini. Pada tahun ini, aktiviti dimulakan dengan Daurah Ambang Ramadan yang membentangkan kitab Feqh Siam sebagai persediaan awal bagi menghadapi ramadan, disusuli dengan Majlis Perasmian Pembukaan IHTIRAM ‘16 pada tanggal 9 Jun 2016 bertempat di Rumah Melaka Sementara (RMS) yang telah dirasmikan oleh Ustaz Asyraf Bin Alias selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKSAM) sesi 2015/2016. Dengan tamatnya Majlis Perasmian IHTIRAM itu , maka bermulalah aktiviti-aktiviti sepanjang bulan ini.


   Bersesuaian dengan objektif IHTIRAM ‘16 iaitu menyeru anak-anak melaka menyelami serta melipat gandakan amalan pada bulan Ramadan, demi meraih mardatillah dan merebut malam lailatulqadar disamping dapat melahirkan suasana ibadah dan pembentukan nilai taqwa dalam diri, selari dengan tema “Madinah Ramadan Memacu Kredibiliti Badariyyin”. Oleh itu, IHTIRAM ‘16 menyusun pengisian berbentuk aktiviti harian, mingguan dan separa mega sebagai hidangan khas buat ahli-ahli melaka. Antara aktiviti harian ialah solat tarawih, tadarus al-Quran, tazkirah ahli serta menyebarkan risalah azkar melalui media rasmi BKKIMM. Manakala aktiviti mingguan pula berbentuk thaqafah seperti diskusi kitab Ramadan Wa Nasrul Ummah,kitab Maza Ba’da Ramadan dan daurah kitab Feqh Musafir serta program ihtifal ilmiah seperti hafazan hadis 40 dan kuiz ramadan. Aktiviti lain yang turut dilaksanakan ialah indoor game, kursus kuih dan jaulah ke Asfour adalah hasil kerjasama HEWI BKKIMM yang bertujuan mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kesatuan sesama anak-anak Melaka di Perlembahan Nil ini.


   Dalam menikmati ibadah puasa yang padat dengan tarbiyah ini, IHTIRAM ’16 turut mengajak ahli memperingati detik-detik kebesaran Islam dengan menganjurkan Ceramah Badar Kubra, Sambutan Nuzul al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran yang dihadiri oleh anak-anak Melaka dari pelbagai latar belakang pendidikan. Bagi mengerat tali silaturahim lagi, pihak komuiti mengambil inisiatif menganjurkan iftar dan sahur jama’ie serta pengedaran bubur lambuk kepada ahli Melaka dan warga tempatan Mesir di sekitar Hayyu Sabi’ Madinah Nasr. Di samping itu, komuniti IHTIRAM di bawah unit perhubungan dengan kerjasama Unit Perhubungan Sambutan dan Rehlah (UPSR) telah membawa mahasiswi Melaka menunaikan solat tarawih di masjid azhar yang bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman menunaikan solat tarawih bersama warga Arab Mesir sekaligus menikmati keindahan malam Ramadan di masjid tertua di dunia itu. Hasil kerjasama semua anak-anak Melaka di bumi Kinanah ini, maka kesemua aktiviti-aktiviti yang dianjurkan IHTIRAM ‘16 telah berjalan lancar.

   Di penghujung IHTIRAM ’16, komuniti ihtiram sekali lagi diberi amanah oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir untuk menjayakan program hari raya pada tahun ini. Sebaik sahaja menerima taklifan ini,pihak Komuniti bersepakat memilih Festival Aidilfitri Anak Melaka (FAIZ ‘16) yang bertemakan ‘Izzah Kemenangan Dirai, Ukhuwah Tetap Terpatri” sebagai nama program bagi sambutan hari raya Aidilfitri kali ini. Program ini amat dinanti-nantikan oleh semua anak-anak Melaka yang beraya di perantauan, semata-mata ingin menyambut hari kemenagan setelah sebulan berada dalam madrasah tarbiyah Ramadan al-mubarak.


    Program yang berjalan selama tiga hari ini telah dimulakan dengan Muhadharah Ammah bersempena akhir ramadan yang disampaikan oleh Syeikh Rifaat Fauzi selaku Pensyarah Fakulti Syariah Islamiah pada 5 Mei, selepas asar bertempat di rumah Melaka sementara. Seusai solat magrib, semua anak-anak Melaka berkumpul bagi sama-sama mendengar perutusan raya yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKKIMM iaitu Ustaz Ahmad Razin Bin Mohd Fauzi. Aktiviti diteruskan lagi dengan Ziarah Takbir ke rumah tinggat 2 dan 3 bagi akhawat, manakala di sebelah ikhwah pula diadakan di rumah-rumah sewa anak-anak Melaka sekitar Hayyu Sabi’.

    Menjelang satu syawal, komuniti FAIZ ’16 telah membawa semua ahli Melaka ke Masjid Tantawi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Suasana semakin ceria seusai solat apabila sebahagian pelajar Malaysia daripada kalangan pengajian Islam, mahupun Sains Kesihatan bergambar bersama sebagai tanda kenangan aidilfitri di perantauan Mesir. Pada 2 syawal pula, telah berlangsung Majlis Penutup Ihya’ Tarbawi Ramadan  (IHTIRAM ’16) dan Perasmian Festival Aidilfitri Anak Melaka (FAIZ ’16) pada jam 8 pagi bertempat di sutuh Rumah Melaka Sementara (RMS) .Majlis ini dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah IHTIRAM ’16, Ustaz Muhammad Akmal Bin Mamad, dan diteruskan dengan ucapan daripada YDP BKKIMM, Ustaz Ahmad Razin Bin Mohd Fauzi. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Rabbani Bin Ismail yang merupakan Penasihat BKKIMM sesi 2015/2016.


    Pelbagai program telah disusun oleh komuniti FAIZ ’16 antaranya indoor game yang melibatkan ikhwah dan akhawat sejurus seusai majlis perasmian. Disusuli dengan Rumah Terbuka BKKIMM seusai solat asar, suasana begitu meriah dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang lain. Rumah Terbuka ini turut dihadiri oleh Prof Madya Dr Mohd Radhi Ibrahim selaku Menteri Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia Kaherah(KBMK). Perbualan mesra antara Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi (AJKT) dan tetamu yang hadir menyerikan lagi majlis yang berjalan dengan lancar selama 2 jam ini. Selepas Maghrib pula, telah diadakan jamuan Open House FAIZ ’16 khas untuk ahli-ahli Melaka yang berada di Perlembahan Nil ini. Sambil manikmati jamuan raya, ahli-ahli BKKIMM juga dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti santai seperti persembahan nasyid dan tayangan video raya serta beberapa pertandingan selingan seperti pertandingan menganyam ketupat dan teka teki kuih raya. Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang pertandingan yang dianjurkan oleh IHTIRAM ‘16 dan FAIZ’16 yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi bagi ikhwah dan Ustazah Ain Hanisah binti Abdul Hanan di sebelah akhawat. Sebelum program penutupan melabuhkan tirainya, pihak komuniti telah mempersembahkan tayangan video penutup program Ihya’ Tarbawi Ramadan dan Festival Aidilfitri Anak Melaka 2016.Program yang sungguh meriah ini berjalan dengan lancar dan berakhir pada jam 11 malam.

    Pihak komuniti program di bawah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir mengucapkan tahniah kepada pemenang pertandingan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung khususnya kepada anak-anak Melaka di Perlembahan Nil ini. Diharapkan Madrasah Ramadan yang telah dilalui menatijahkan nilai taqwa yang tinggi dalam diri anak-anak Melaka serta sentiasa istiqamah dalam melaksana ibadah dan gerak kerja Islam yang bukan sahaja tertumpu pada bulan Ramadan, akan tetapi berterusan pada bulan-bulan mendatang.

“Kullu am wa antum wa ikhwanukum bilkhair da iman”
“Madinah Ramadan Memacu Kredibiliti Badariyyin”
“Izzah Kemenangan Dirai, Ukhuwah Tetap Terpatri”


Disediakan Oleh:
Setiausaha
Ihya’ Tarbawi Ramadan 2016,

Tuesday 19 July 2016

SELANGKAH MENUJU REALITI 2016





MELAKA, 25 Jun 2016 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama “Selangkah Menuju Realiti 2016” atau singkatannya SMART’16 dengan bertemakan 'Mahasiswa Holistik Generasi Minda Kelas Pertama’. Program tersebut diadakan khusus bagi pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian di bumi Mesir. Antara penekanan objektif pada kali ini adalah memberikan penerangan dan pendedahan kepada peserta mengenai gambaran awal kehidupan di Mesir dan membantu para pelajar dalam memudahkan segala urusan mereka.
  Aturcara program dimulai dengan sesi pendaftaran para peserta seawal jam 7.30 pagi yang telah melibatkan seramai lima belas orang peserta, 4 orang lelaki dan sebelas orang perempuan yang bertempat di Dewan Masjid Al-Azim. Setelah itu, program diteruskan lagi dengan majlis perasmian program yang dirasmikan oleh salah seorang penasihat BKKIMM, Saudari Nur Syazwani bte Saibe dan perasmian tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada perasmi. Seterusnya, program SMART’16 diteruskan dengan diadakan peperiksaan Pra-Imtihan Qabul bertulis yang melibatkan semua peserta yang hadir.
  Pelbagai modul telah disusun dan dijalankan untuk lebih memberikan kefahaman kepada para peserta melalui beberapa slot dan pengisian bermanfaat yang telah disusun oleh peringkat komuniti pelaksana sepanjang program berlangsung. Antara pengisian yang telah dijalankan adalah slot forum bertajuk "Mesir, Antara Kaca Dan Permata" yang telah disampaikan oleh saudara Khairul Fadhli bin Husin sebagai panel dan saudara Muhammad Hatin bin Mohd Yusof sebagai moderator. Kemudian,pengisian diteruskan lagi dengan slot "Apa, Siapa & Mengapa" yang dikelolai oleh saudara Mohd Shabaney bin Ahmad Jafri. Selain itu, para peserta turut diisi dengan slot penerangan umum mengenai kos perbelanjaan, keselamatan dan kesihatan mahasiswa/wi baru dan juga disusuli dengan modul Gerak Kerja Berkumpulan (GKB). Setelah itu, berakhirnya program pada jam 7.15 malam dengan penyampaian cenderahati kepada para peserta dan diadakan majlis iftar jam’ie.
  Akhirnya pihak komuniti pelaksana program SMART’16 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta kerana dapat memberikan komitmen yang terbaik sepanjang program dan kami mengucapkan tahniah kepada kalian semua yang bakal melanjutkan pengajian di Mesir dengan harapan agar mahasiswa dan mahasiswi baru dapat mengambil pelbagai manfaat daripada program yang diadakan ini.

“Mahasiswa Holistik Generasi Minda Kelas Pertama”
"Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah"
“BKKIMM TETAP DIHATI”

Disediakan oleh :
Setiausaha,
Selangkah Menuju Realiti (SMART’16)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2015/2016

Sunday 17 July 2016