Thursday 26 January 2017

KENYATAAN RASMI: MAKLUMAN PERPINDAHAN RUMAH MELAKA SEMENTARA (RMS)

بسم الله الرحمن الرحيم


( وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ )

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : (Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.) (Surah Yunus : 107)
 
      Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T, yang masih memberikan kita peluang untuk terus menjalani kehidupan di muka bumi ini sehingga ke bulan yang penuh barakah ini serta masih mengekalkan kita semua dalam dua nikmat yang cukup besar; Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan kita yang mulia, Nabi Muhammad SAW, para keluarga serta para sahabat baginda yang telah bersusah payah berjuang dalam menegakkan kalimah dan agama yang benar di muka bumi ini.
     Satu berita yang mendukacitakan buat seluruh anak-anak Melaka di Mesir. Untuk makluman semua, Rumah Melaka Sementara (RMS) yang selama ini menjadi pusat kegiatan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan penempatan sebahagian besar anak-anak Melaka di Kaherah terpaksa berpindah dalam masa terdekat atas beberapa faktor. Faktor utama yang mendorong kepada perkara ini ialah peningkatan harga sewa yang terlalu tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pihak BKKIMM dan penghuni RMS. Harga sewaan RMS terbaru yang mencecah LE 45,000 setiap bulan amat membebankan dan tidak bersesuaian dengan kondisi rumah. Selain itu, hasil sumbangan yang kurang memberangsangkan turut menambahkan kerisauan sekiranya rumah itu terus dijadikan penempatan.
     Sehubungan dengan itu, satu pertemuan bersama anak-anak Melaka telah diadakan bertarikh 21 Januari 2017. Kita BKKIMM membuka seluas-seluasnya ruang untuk ahli bertanya dan pada akhir pertemuan satu keputusan secara bersama telah dicapai.
Pertemuan bersama tuan rumah juga telah dilakukan beberapa kali pada bulan ini dan beberapa kata sepakat telah dicapai bersama. Antaranya :
Perpindahan perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 31 Januari 2017.
    Untuk makluman semua juga, kos sewaan penempatan baru mahasiswa/wi Melaka mencecah sebanyak LE 20,000. Segala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sebarang persoalan, penerangan dan informasi boleh merujuk Yang Dipertua BKKIMM dan Ketua Unit Perumahan BKKIMM melalui talian berikut:
Yang Dipertua : Ahmad Razin bin Mohd Fauzi (+201113168551)
Ketua Unit  Perumahan: Ahmad Solihin bin Ahmad Tamrin Zakry (+201008841502)
     Kami berharap agar semua anak Melaka dapat berganding bahu membantu menjayakan usaha ini. Di samping BKKIMM akan terus komited membawa suara dan isu-isu kebajikan mahasiswa/wi sains kesihatan dan pengajian Islam Melaka di Mesir kepada pihak berwajib demi memastikan setiap permasalahan yang berlaku menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Akhirnya, segala kerjasama dan bantuan yang dihulurkan, kami dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Semoga Allah terus memelihara kesatuan ini dan mengurniakan ganjaran yang cukup besar buat para penyokong dan pendokong BKKIMM.
Siiru  ‘Ala Barakatillah.
Wallahu A’lam.

"SAHSIAH DIUNGGULI KEBERSAMAAN DILESTARI"
"BERILMU BERAMAL"

AHMAD RAZIN BIN MOHD FAUZI
YANG DIPERTUA
BADAN KEBAJIKAN KELUARGA ISLAM MELAKA MESIR
SESI 2016/2017

Monday 23 January 2017

TRAGEDI 28 DISEMBER PENGUAT HATI-HATI ANAK MELAKA MESIR

 KAHERAH, 29 Disember 2016 - Rumah Melaka Sementara Hayyu Sabi' sekali lagi telah menjadi saksi himpunan sebilangan besar anak-anak Melaka bermunajat dan bersolidariti sempena memperingati sejarah hitam penarikan pengiktirafan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir oleh mantan Ketua Menteri Melaka sejak enam tahun yang lalu.

     Sebelum tirai majlis pada malam itu dimulakan, telah diadakan slot rohani di Surau Al-Azim seawal jam 5.30 petang dengan menunaikan solat fardhu maghrib, bacaan yasin, solat fardhu isyak dan solat sunat hajat perdana secara berjemaah sempena menghadapi imtihan yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Akram bin Mamad selaku Ketua Unit Dakwah BKKIMM sesi ini dan diakhiri dengan bacaan doa agar seluruh mahasiswa/wi Melaka dipermudahkan oleh Allah S.W.T sepanjang hari peperiksaan.


     Seterusnya, majlis diteruskan di sutuh RMS yang dikendalikan oleh saudara Zulhilmi Aziz bin Abdul Hannan dan saudari Nur Syafiqah binti Mohamed Nasir selaku pengerusi umum majlis tersebut. Majlis pada malam itu diserikan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua dan Raisah Bkan taakhi Selangor dan Pahang serta Bkan Perak sebagai tanda solidariti. Bermula dengan slot luahan jiwa ahli berkenaan sejarah hitam yang berlaku disebalik peristiwa pada tanggal 28 Disember 2010. Setelah itu, slot kemuncak iaitu Ceramah Khas bertajuk "BKKIMM Kesatuan Kami" telah disampaikan oleh pengisi khas Ustaz Ahmad Baihaqi Bin Rasyid, mantan penasihat Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP).

    Sebelum berakhir, majlis dihangatkan lagi dengan beberapa kesimpulan dari slot pengisian tersebut oleh hadirin dan hadirat yang hadir. Penghujung majlis tersebut, sebuah video telah ditayangkan yang menggambarkan bahawa BKKIMM tetap terus bergerak walau pelbagai ujian yang melanda dengan adanya penyokong dan pendokong dari generasi ke generasi. Majlis diakhiri dengan jamuan sebagai penutup tirai yang disediakan oleh pihak penganjur Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.

     Pihak BKKIMM mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh anak Melaka di Mesir serta barisan pelaksana program yang bertungkus lumus  dalam menjayakan program pada kali ini.


     Semoga semangat dalam jiwa seorang pemuda yang ada dalam diri mahasiswa/wi Anak Melaka dapat digerakkan sebaiknya selari dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Terutama sekali dalam memastikan hak mahasiswa/wi Melaka Mesir terus terjaga dan melibatkan diri dalam setiap aktiviti dakwah Islam yang dilaksanakan oleh BKKIMM selari dengan seruan Al-Azhar iaitu berilmu dan beramal. Semoga Allah S.W.T menyatukan hati-hati kita dalam satu barisan bagi mempertahankan bahtera BKKIMM ini agar terus bergerak tanpa henti dalam menabur kebajikan kepada seluruh mahasiswa/wi Melaka serta dikurniakan kejayaan dalam peperiksaan.


" Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari"
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMM Kekuatan Kami
#BersamaBersatu

Disediakan oleh:
Abdul Wafi bin Abdul Aziz
Timbalan Yang Dipertua,
(Ketua Unit Perancang dan Panitia)

Sunday 15 January 2017

[ KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR ]

HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA 

1) Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan keamanan manusia sejagat. Islam bukanlah agama yang melampaui batas bahkan ia melengkapi fitrah manusia serta sesuai dianuti untuk kebaikan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT: 

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” 
(Surah Ar-Rum : 30) 

2) Di dalam segenap aspek kehidupan manusia, Islam mementingkan aspek ilmu  pendidikan yang menjadi tunjang penting di dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, sejak dahulu lagi, negara kita telah banyak terbina institusi-intitusi pendidikan yang berteraskan agama Islam yang menjadi salah satu institusi pilihan bagi rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam. 

3) Institusi pendidikan agama seperti pondok, madrasah, sekolah agama rakyat dan berbagai lagi telahpun melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berwibawa yang banyak berjasa kepada negara. Jangan kita lupa kepada jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang merupakan pelajar pondok dan madrasah ini. Lihatlah bagaimana ketokohan mereka seperti Tok Janggut, Tok Kenali, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanudin Al-Helmy dan ramai lagi pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita hasil daripada institusi pendidikan agama ini. 

4) Justeru, institusi pendidikan agama ini tidak boleh sama sekali dipandang enteng akan kewibawaannya dan perlu dibersihkan segala tanggapan buruk yang boleh mewujudkan salah faham terhadap agama Islam. 

5) Oleh demikian itu, kami sebagai Yang Dipertua-yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir (BKAN) mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, baru-baru ini supaya mengkaji semula dasar sekolah agama bantuan kerajaan. Sila rujuk kenyataan beliau pada link http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/12/gerakan-kaji-semula-dasar-sekolah-agama-bantuan-kerajaan/ 

6) Tanggapan yang dibuat terhadap institusi pendidikan agama ini hakikatnya merupakan satu fakta yang tidak benar dan berunsur hasutan yang mana boleh menimbulkan persepsi buruk sesama rakyat sekaligus mampu memecah belahkan perpaduan. 

7) Jika kita meneliti dasar pendidikan di sekolah agama di negara kita ini, ia sama sekali tidak pernah menyeleweng daripada dasar kefahaman Islam yang sebenar bahkan selari dengan apa yang disusun oleh pihak kerajaan. 

8) Justeru itu, kami juga menggesa agar beliau menarik balik kenyataan tersebut supaya ia tidak menimbulkan persepsi negatif khususnya terhadap institusi pendidikan agama bahkan kepada agama Islam itu sendiri yang mana merupakan agama persekutuan menurut perlembagaan Malaysia, dalam perkara 3 (1). 

9) Kami mengharapkan kepada seluruh rakyat dalam setiap lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa agar menjaga keharmonian dan keamanan negara tanpa menimbulkan persepsi dan tanggapan negatif yang boleh membawa kepada perpecahan. Kami menyarankan agar kita semua dapat mempertingkatkan kefahaman terhadap Islam dan beramal dengannya sekaligus menjadi mukmin yang sejati. 

“Muafakat Asas Kejayaan” 

Yang Benar, 
Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir 
14 Januari 2017