Friday 25 September 2009

Wisma Melaka meriah di Aidilfitri

oleh: Amir Al-Amin bin Mustaff

KAHERAH, 25 September - Baru-baru ini Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya mengumpulkan Anak-anak Melaka yang bertaburan di Perlembahan Nil sempena Aidilfitri 1430H dalam satu program iaitu Majlis Sambutan Aidilfitri 1430H dan Haflah Najihiin (Majlis Anugerah Cemerlang). Program tersebut telah berlangsung pada 22 September 2009 bersamaan 3 syawal 1430H. Ia bertujuan meraikan ‘kemenangan’ ahli-ahli Melaka setelah menjalani ibadah puasa dalam Madrasah Ramadhan dan juga meraikan ahli-ahli Melaka yang berjaya dalam imtihan (peperiksaan) yang lalu. Program yang bertemakan "Seindah Lebaran Senandung Perantauan" itu telah berjaya mengumpulkan hampir 100 orang ahli Melaka yang berada di seluruh muhafazah Mesir.

Program yang bermula pada petang Hari Raya ketiga itu telah dimulakan dengan Haflah Najihiin, iaitu penyampaian hadiah beserta anugerah kepada para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam imtihan. Seramai 31 orang yang mendapat pangkat Jayyid dan ke atas telah diberikan anugerah. Lapan orang tenaga pengajar yang terdiri daripada ahli Melaka sendiri turut diberikan penghargaan.

Pada sebelah malam, program diteruskan lagi dengan bacaan Qasidah dan juga beberapa aktiviti menarik yang telah disusun baik antaranya persembahan daripada ahli, pertukaran kad ucapan raya dan Salam Lebaran daripada mahasiswa-mahasiswi setiap Muhafazah serta pelajar yang tamat pengajian. Program turut dimeriahkan dengan pertandingan anyam ketupat dan gubahan kek. Seterusnya hadirin dihiburkan dengan persembahan eksklusif daripada pasukan nasyid Soutul 'Azim sambil menikmati juadah hari raya yang terdiri daripada rendang daging, sambal ayam, lontong, nasi himpit dan kuah kacang. Tayangan khas Aidilfitri yang telah disediakan khas oleh Unit Siaraya dan Rakaman program dengan kerjasama Unit Malacca Multimedia Center (MMC) BKKIMM turut diselitkan. Majlis tamat tepat jam 11.30 malam dengan majlis penyampaian hadiah untuk setiap pertandingan dan bacaan doa penutup.

Ustaz Muhammad Shukri ‘Ilmi Bin Ismail, mahasiswa Syariah Islamiyyah Universiti Al-Azhar cawangan Tanta, selaku Pengarah Program amat berterima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang sudi menyumbangkan masa dan tenaga bagi menjayakan program tersebut. Beliau mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin" kepada semua yang hadir dan mengharapkan agar ukhuwah yang sedia terjalin menjadi semakin kuat. Beliau juga mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperbaiki untuk tahun yang mendatang.

No comments:

Post a Comment