UPP BKKIMM 2017. Powered by Blogger.

Thursday, 22 July 2010

Beberapa Jenis Amalan Kebajikan

[Tazkirah HEWI]

Amal kebajikan yang diseru oleh Allah S.W.T iaitu termasuk semua amal yang baik dan menjangkau semua amal soleh. Seperti taat kepada Allah , ikhlas, niat yang baik, berbuat baik kepada orang lain, bersilaturrahim, mengucapkan kata-kata yang sopan serta berakhlak yang mulia.

Jiwa yang sihat selalunya mengetahui jenis-jenis kebajikan, kerana amal kebajikan itu termasuk beberapa macam perbuatan dan tingkah laku yang digariskan oleh Islam. Di dalam AL-Quran ada dijelaskan beberapa perbuatan dinilai sebagai amal kebajikan.

i. Menuntut Ilmu Pengetahuan

Firman Allah S.W.T ertinya:
"Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al-Quran dan Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahkan al hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakhlaklah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)."

ii. Berakhlak Mulia

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya akhlak itu adalah daripada Allah, barangsiapa memperoleh kebajikan daripada Allah maka dia diberi keperibadian yang baik, dan barangsiapa memperoleh keburukan daripada Allah, maka baginya keperibadian yang buruk."

iii. Bersedekah


Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Tidak seorang Muslim menyebarkan benih atau menanam tanaman, lalu dimakan buahnya oleh manusia atau binatang atau makhluk lain, melainkan akan tercatat baginya sebagai sedekah."

iv. Mengerjakan kebaikan sebesar zarrah dinilai kebajikan

Allah SWT akan meminta tanggungjawab daripada setiap orang atas segala perbuatan dan tingkah lakunya walaupun sebesar zarrah, baik dalam bentuk amal kebaikan mahupun keburukan.

Firman Allah SWT ertinya:
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula." (Az-Zalzalah: 7-8)



Diriwayatkan bahawa Sa'ad bin Abi Waqqas pada suatu ketika memberi sedekah dua biji kurma kepada seorang peminta sedekah, kemudian diberikannya sambil mengucapkan:
"Semoga Allah menerima dari kita seberat beberapa zarrah dan dalam dua biji kurma ini terkandung banyak zarrah."

v. Mengunjungi keluarga dengan wajah yang berseri-seri

Segala kebaikan yang diberikan kepada orang lain adalah mendatangkan redha Allah, tidak kira besar atau kecil kebaikan itu, termasuk memberikan senyuman terhadap orang lain dinilai sebagai suatu kebajikan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Janganlah engkau memperkecil nilai kabaikan walaupun hanya dengan menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri (tidak muram)."

vi. Membuang duri dari jalan raya


Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Seorang lelaki diampuni dosanya oleh Allah S.W.T kerana telah membuang sebuah dahan berduri yang dilihatnya melintang di tengah-tengah jalan sambil mengucapkan syukur kepada Allah."

No comments:

Post a Comment

author
BKKIMM
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir kini menjangkau usia 40 Tahun dalam memimpin wadah kesatuan anak Melaka sejak 1976. Tahun demi tahun, badai dan ujian yang datang mematangkan dan menguatkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ini agar terus kukuh dan utuh dalam memimpin wadah ini.