Saturday 21 September 2019

JAULAH TARBAWI MERIBAT UKHUWAH


KAHERAH, 27 Ogos 2019 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan jayanya telah mengadakan sebuah program berbentuk aktiviti sukan serta jaulah yang dinamakan Rehlah dan Sukan Anak Melaka 2019 (REST '19). Ia adalah program yang berbentuk aktiviti outdoor yang diadakan khusus bagi anak-anak Melaka di Mesir pada musim panas. Tema yang dibawa oleh komiti program pada kali ini adalah "Jelajah Tarbawi Meribat Hati" yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Adib bin Mohmad Amin selaku pengarah dan timbalan pengarah, Ustazah Nurjihan binti Mahmud yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 27 Ogos.

“ Rehlah dan Sukan Anak Melaka 2019" atau REST '19 pada tahun ini menekankan beberapa aspek yang penting bagi mahasiswa Melaka Mesir. Yang pertama, memupuk semangat kerjasama  dan mengukuh ikatan ukhuwah anak-anak Melaka dengan aktiviti yang dijalankan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menambah thaqafah serta memberi peluang kepada ahli untuk mentadabbur alam serta menjadikan jaulah sebagai salah satu wasilah tarbiah dalam membina jati diri, fizikal dan mental ahli.

Antara pengisian menarik yang disusun dalam REST '19 ini adalah aktiviti sukan futsal bagi ikhwah dan badminton bagi akhawat sempena ambang program pada hari pertama berlangsung. Malah, lebih menarik lagi dalam program kali ini komiti menyusun untuk jaulah ke pantai Ain Sukhnah pada hari kedua program. Seawal jam 6.40 pagi lagi seramai lebih kurang 60 orang ahli ikhwah dan akhawat termasuk 2 keluarga Mutazawwijin ikut serta bertolak ke pantai tersebut. Antara aktiviti menarik yang disajikan dalam jaulah adalah dengan menyediakan santapan rohani buat seluruh peserta melalui pengisian Tazkirah Khas yang telah disampaikan oleh wakil pimpinan BKKIMM sesi 2018/2019 di sebelah ikhwah mahupun akhawat. Seterusnya, Unit Pengisian program tidak terlepas untuk menyusun aktiviti dan permainan pantai sepanjang berada di pantai Ain Sukhnah bagi meraikan masa rehat semua ahli.

Tambahan lagi, Liqo’ Fuad di bahagian akhawat, manakala Ribat di bahagian ikhwah yang diadakan adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada ahli akan nilai ukhuwah melalui aktiviti berkumpulan. Kata pepatah Melayu, ”Bulat air kerana pembentung, Bulat manusia kerana muafakat”. Tidak lupa juga, ahli yang menyertai program pada kali ini melakukan aktiviti B.B.Q secara bersama.

Akhirnya, program REST '19 menutup tirainya pada sebelah petang dengan Majlis Perasmian Penutup yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua BKKIMM sesi 2018/2019, Ustaz Muhammad Audi bin Ismail para peringkat ikhwah, manakala Pemangku Timbalan Ketua HEWI BKKIMM sesi 2018/2019, Ustazah Nor Rauddatul binti Zukeri pada peringkat akhawat dan diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi bergambar. Rombongan jaulah ini selamat tiba di Kaherah lebih kurang pada jam 8 malam hari tersebut.

Harapan daripada peringkat program agar ahli-ahli Melaka dapat menjadikan program ini  sebagai salah satu medium untuk merapatkan ukhuwah antara satu sama lain disamping dapat menambah thaqafah dalam mentadabbur alam semula jadi dan membentuk jati diri yang berkualiti sebagai hamba kepada Allah SWT.

Disediakan oleh : Setiausaha (Promosi dan Teknikal) | REST '19 | BKKIMM sesi 2018/2019

No comments:

Post a Comment