Friday 26 February 2010

Hari Keluarga Anak-anak Melaka 2010

oleh: Muhamad Firdaus Bin Abdul Hamid

Kaherah, 26 Feb - Baru-baru ini Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya menganjurkan program Hari Keluarga yang telah diberi nama Ikatan Mahabbah Anak-anak Melaka 2010 (IKMAM '10). Program yang bertemakan “Sekilas Ukhuwah Menjana Wahdah” tersebut merupakan salah satu program tahunan BKKIMM yang bertujuan mengumpulkan seluruh anak Melaka yang berada di bumi Anbia’ (Mesir) ini baik pelajar Univesiti Al-Azhar mahupun pelajar perubatan Universiti Ain Syams, Universiti Mansoura dan lain-lain lagi.

Program tersebut telah berlangsung selama tiga hari, bermula 19 Februari (Jumaat) yang mana ia telah dirasmikan oleh Ustaz Khairy Bin Jalaluddin, Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, manakala majlis perasmian penutup dilakukan oleh Puan Norlijah Bt. Mohd Nor pada 23 Februari (Ahad) jam 9 malam.

Beberapa kumpulan telah dibentuk berdasarkan kepada jumlah kehadiran agar semua yang hadir dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan berdasarkan kepada strategi kumpulan masing-masing. Aktiviti luar untuk ikhwah telah dijalankan di Padang Mukhayyam Daim, Universiti Al-Azhar syeksen 6, Nasr city sementara akhawat di padang Nadi Syabab Syeksen 6, Nasr City. Aktiviti dalaman pula telah dijalankan di Wisma Melaka sendiri.

Selain sukan, sukaneka, dan kuiz diselitkan juga slot ilmiah antaranya tazkirah Subuh oleh Al-Fadhil Ustaz Adnan, ceramah sempena Maulidur Rasul oleh Al-Fadhil Ustaz Hilmi bin Aris (Pelajar Master, Universiti Al-Azhar) dan juga kempen membaca.

Sekalung penghargaan buat pengarah program Ustaz Ahmad Muhsin Bin Abd HAmid serta seluruh ahli jawatankuasa pelaksana program yang bertungkus-lumus dalam memastikan kejayaan program mega tahunan BKKIMM tersebut.

No comments:

Post a Comment