Saturday 24 July 2010

Dua Nikmat yang Sering Dilupakan

oleh: Ustz. Noratikah bt Omar

Fatrah imtihan baru sahaja berlalu pergi. Segala kudrat yang terdaya telah digemblengkan serta kerahan minda telah dicurahkan demi menggapai cita-cita yang pelbagai menerusi wasilah yang satu, iaitu medan peperiksaan. Namun, adakah segala jerih perih itu menjadi titik penamat bagi langkah seorang azhari/ah dan sekalian penuntut di Bumi Anbia’ dalam melayari kehidupan mendatang terutama dalam tempoh cuti musim panas yang singkat ini?

Saidina Ali bin Abi Talib -karramallahu wajhahu- pernah berkata:
“Orang alim adalah lampu Allah S.W.T di dunia ini. Barangsiapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan, maka dia akan mencedok ilmu daripada orang-orang alim.”

Lupakah kita akan tujuan utama perkelanaan kita di Ardhul Kinanah ini? Sudah pastinya untuk menuntut ilmu Allah serta pusaka peninggalan Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Menuntut ilmu yang menjadi salah bentuk jihad fi sabilillah ini tidak terhenti di meja peperiksaan dengan meraih segulung ijazah semata-mata bahkan sebenarnya bermula dari buaian sehingga ke liang lahad. Oleh itu, agenda utama yang perlu bermain di benak minda seorang azhari/ah dan sekalian penuntut di Bumi Anbia’ ini ialah dengan menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu bersama ulama’-ulama’ serta kelas-kelas tafaqquh di rumah-rumah negeri yang semakin bertambah bak “cendawan tumbuh selepas hujan”.

Benarlah, ilmu tanpa amal tidak akan memberi sebarang erti bak “pohon tidak berbuah”. Ilmu memerlukan medium untuk diterjemahkan demi manfaat insan sejagat antaranya, kegiatan berpersatuan. Selain memberikan pengalaman yang pelbagai, bepersatuan juga boleh menjadi medan percubaan untuk seorang penuntut ilmu yang bakal bergelar pemimpin masyarakat dengan memungut segala ilmu kemahiran yang selain dapat mencurahkan bakti seadanya sebagai senjata sebelum terjun ke medan perjuangan sebenar. Selain itu, aktiviti seperti ziarah tarbawi ke tempat- tempat bersejarah di Bumi Anbia’ ini boleh diikuti untuk mengambil mau’izah daripada sejarah umat terdahulu.

Dalam keghairahan menyusun pelbagai agenda demi kecemerlangan fizikal, insan seolah–olah lupa akan kecemerlangan rohani yang merupakan paksi sebuah kecemerlangan. Justeru, marilah kita mempertingkatkan amalan-amalan sunat selain memperbaiki kualiti ibadat fardu. Selain itu, perbanyakkanlah doa memohon kejayaan dunia dan akhirat. Kecemerlangan dalam imtihan hanya merupakan pakej buat insan serta wasilah menuju kejayaan hidup. Sebaliknya, tawakkal yang utuh serta keredaan sepenuhnya pada ketentuan Allah S.W.T setelah mencurahkan minda dan tenaga merupakan kejayaan dan kebahagiaan sebenar sebagaimana kata seorang ulama:

"الجوارح تعمل والقلب يعمل"

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat masa lapang dan kesihatan”

serta firman Allah yang bermaksud:
(Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian) Al-‘asr 103:1-2.

Justeru, marilah kita menghargai setiap detik waktu yang ada dengan merealisasikan dua objektif penciptaan manusia iatu memperhambakan diri kepada Allah serta menjadi khalifah di bumi Allah ini. Marilah kita hayati kata-kata Imam Ahmad bin Hambal ini:
“Hidup ini adalah keyakinan dan perjuangan dan perjuangan mukmin yang sejati tidak akan terhenti kecuali kedua tapak kakinya telah menginjak pintu syurga”


Disediakan oleh: Unit Pendidikan BKKIMM 2009/2010

No comments:

Post a Comment