Friday 9 July 2010

Hati Berbisik Kalam Berbicara

oleh: Rohayu binti Othman

"Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat,
Tidak ada guna adanya hati kalau tidak tahu melihat,
Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri,
Kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati..."


Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Hiduplah Engkau Di Dunia Seolah-olah Engkau seorang perantau atau musafir lalu."

Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat kepada orang lain. Pengorbanan bermaksud usaha seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Mengenal erti pengorbanan bukanlah mudah, kerana menilai hati yang dizahirkan dengan perbuatan menuntut kepada keikhlasan yang hakiki. Hanya Allah yang Maha Melihat keikhlasan hati hambaNya dalam amal perbuatan. Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan secara jujur. Mereka tidak hanya membuatkan diri sendiri terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi terhormat di sisi Allah.

Firman Allah Ta’ala:
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilkinya. Bahkan, Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk mendapatkan keredhaanNya dan menegakkan kebenaran, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada pada pencipta sekalian alam semesta.

Manakala, orang-orang yang tidak mahu berkorban untuk kepentingan umat adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya sendiri. Semakin seseorang itu mencintai apa yang dimilikanya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain. Sabda Rasulullah S.A.W.:
"Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka."

Setelah kita diuji dengan pelbagai ujian yang menuntut pengorbanan jiwa dan harta, kita mampu bersabar serta thabat (tetap) dengan ujian-ujian tersebut, ketika itu barulah kita mula menampakkan kaki kita dijalan dakwah yang sebenar. Jadilah manusia yang sentiasa mahu berkorban untuk sesama kita kerana itulah ciri-ciri orang yang beriman kepadaNya. Wahai para da’ie persiapkanlah dirimu...


No comments:

Post a Comment