Bismillahirrahmanirrahim....
Assalammualaikum W.B.T....
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi di atas nikmat iman dan Islam, nikmat kesatuan, nikmat ukhwah yang tersemai seterusnya segala nikmatNya yang tidak terhitung nilainya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah S.A.W, keluarga baginda dan seluruh pengikutnya yang sentiasa menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai kata pemutus dalam segenap perkara.
Sabda Rasulullah S.A.W :
" Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah "
Mafhum daripada hadis ini menekankan bahawa Islam amat menuntut penjagaan wanita terhadap akhlak dan sahsiah yang tinggi dalam menjadi wanita solehah.
Begitu banyak fitnah dunia yang berpunca daripada wanita terutamanya di akhir zaman ini. Namun begitu di sebalik jatuh bangunnya seorang lelaki pasti ada wanita di belakangnya. Sebagai contoh mari kita menyingkap semula peranan Saidatina Khadijah r.a. di kala Rasulullah s.a.w. ketakutan dan dalam keadaan menggeletar selepas menerima wahyu yang pertama dan beliau merupakan wanita pertama yang beriman. Asma' pula begitu tabah meniupkan semangat kepada anaknya Abdullah bin Zubir sehinggalah Abdullah thabat dengan perjuangannya.
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Apa yang ingin saya sampaikan di sini, bahawa setiap yang bergelar muslimah perlulah mempunyai sahsiah yang tinggi dan akhlak terpuji. Apabila disebut sebagai muslimah maka tiada bezanya di antara mahasisiwi pengajian Islam dan perubatan. Masing-masing perlu memainkan peranan yang penting bagi memastikan setiap apa yang digariskan di dalam syariat Allah S.W.T dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini adalah kerana kita merupakan insan-insan bertuah yang berpeluang untuk mendalami bidang agama dan perubatan di bumi barakah ini.
Oleh itu, harapan saya supaya mahasiswi yang berada di bumi anbia' ini terutamanya mahasiwi BKKIMM dapat menjaga perilaku kalian serta membantu persatuan di dalam menjayakan misi dan visi BKKIMM pada tahun ini. Janganlah kita terlalu leka dengan keindahan perlembahan nil sehingga kita mengabaikan pelajaran, amanah dan tanggungjawab yang terpundak di bahu kita. Malah jadikanlah diri kita sebagai muslimah pencetus ke arah kejayaan dakwah dan islam.
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah,
Firman Allah S.W.T di dalam surah Al - Maidah ayat 2 yang bermaksud :
" Dan bantu membantulah di dalam perkara kebajikan dan Taqwa "
Firman Allah S.W.T di atas jelas menunjukkan bahawa bantu menbantu merupakan salah satu daripada prinsip kerja berkebajikan di dalam Islam.
Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W:
" Jika dari seseorang kalian keluar demi menunaikan hajat saudaranya adalah lebih baik baginya dari beri'tikaf di masjidku ini sebulan "
Kalam Rasulullah S.A.W di atas jelas menunjukkan bahawa betapa islam mementingkan cara hidup berkebajikan di kalangan umatnya, untuk melaksanakan perkara tersebut kita memerlukan satu organisasi yang lengkap supaya segala gerak kerja berjalan secara licin dan lebih teratur.
Jika kita melihat di dalam konteks pendidikan universiti, persatuan dan organisasi daripada pimpinan pelajar amatlah diperlukan untuk membawa mesej dan suara kehendak pelajar itu sendiri. Oleh itu Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir ( BKKIMM ) telah ditubuhkan sebagai satu kumpulan yang bergerak untuk menyuarakan pendapat dan memastikan kebajikan seluruh mahasiswa dan mahasiswi terjaga. Terbinanya sesebuah organisasi bukanlah untuk dipandang sebagai kemegahan yang harus disanjung tetapi ia hanyalah bersifat sementara yang mana pemegang amanah akan bersilih ganti setiap masa, lantaran tumpuan di dalam BKKIMM adalah untuk mencapai matlamat menjaga aktiviti dan kebajikan, juga di bawah bidang persatuan itu sendiri, sesiapa sahaja berhak mengutarakan idea dan pendapat yang bernas bagi memantapkan lagi pimpinan organisasi di dalam gerak kerja persatuan.
Justeru, apa yang diperlukan oleh BKKIMM adalah sokongan padu ahli terhadap pimpinan BKKIMM bagi menjayakan misi dan visi persatuan. Sahabat seharusnya mempunyai peranan dan watak utama dalam memastikan keberkesanan dalam segala aktiviti.
Sepertimana Firman Alah S.W.T di dalam surah Al- Baqarah yang bermaksud ;
" Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat: sesungguhnya Aku hendak mejadikan seorang khalifah di muka bumi "
Maka dari ayat di atas menerangkan fitrah manusia itu sendiri adalah menjadi pimpinan dan makna hakiki kepimpinan di dalam islam adalah merealisasikan khilafah di muka bumi demi mewujudkan kebaikan di dalam proses pemulihan. Oleh itu, janganlah sahabat-sahabat merasakan tanggungjawab dan komitmen terhadap persatuan hanyalah bebanan semata-mata.
Akhir kalam saya mewakili barisan ajk hewi BKKIMM 2010/2011serta barisan ajkt yang lain menyeru mahasiswa dan mahasisiwi BKKIMM supaya terus menerus menjadi penyokong dan pendokong kepada persatuan yang telah terbina sejak tahun 1976 yang lalu. Hargailah setiap pengorbanan dan penat lelah insan yang telah bersusah payah menubuhkan BKKIMM bagi memastikan kebajikan anak-anak melaka terjaga. Bersatu padulah kita di bawah pimpinan BKKIMM selaku kita memenuhi adab orang yang dipimpin selagi mana tidak menyalahi syarak dan perintah Allah taala.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud ;
" Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah kesemuanya dan janganlah kamu berpecah belah ".
Salam juang yang berpanjangan.
NURUL HIDAYAH BINTI ABAS
Timbalan Ketua Hewi 2010/2011
Badan Kebajikan Keluarga Iaslam Melaka Mesir.
No comments:
Post a Comment