Sunday 31 July 2011

Erti kemerdekaan sebenar Ramadhan


Bulan Ramadhan mengandungi hikmah yang tidak ternilai dek hitungan akal manusia. Allah menjanjikan ganjaran taqwa bagi sesiapa yang menjalani ibadah di dalam bulan ini dengan penuh kesungguhan. Aroma indah yang disaksikan dalam suasana kehadiran bulan yang berkat ini sudah pasti menambahkan lagi hamasah dalam  jiwa Muslim untuk meraih seberapa banyak kelebihan yang cukup menggiurkan hati sang Mukmin.     
 Taqwa dan istiqomah dijual dengan harga kesabaran dan ketaatan kepada Allah Taala. Momentum  ibadah yang dicas sebelum kedatangan Ramadhan akan diteruskan dalam bulan-bulan yang selepasnya sehinggalah seseorang Mukmin itu menjadi seorang yang bersih amalannya daripada riak, bersih lidahnya daripada dusta, bersih pula hatinya daripada nifaq. Bulan Ramadhan merupakan kesempatan bagi mendidik diri daripada berterusan dalam dosa kerana takrif Ramadhan juga membawa maksud membakar dosa-dosa. Sebagaimana Hadis berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan daripada Rasulullahsallallahualaihiwasallam bersabda
واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه       من صام رمضان إيمانا
"Barangsiapa yang berpuasadengan penuh keimanan dan keinsafan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Penggarapan nilai sebenar yang terdapat dalam bulan Ramadhan ini bukanlah semata-mata mengempang nafsu daripada menikmati makanan dan minuman pada siang harinya, akan tetapi falsafah Ramadhan mencakupi seluruh perjalanan kehidupan seorang Muslim.
Puasa Ramadhan dapat membebaskan jiwa dan fikiran dari kemelut keresahan jiwa yang berlegar di sekeliling nafsu yang sering meronta agar  dipenuhi kemahuan lahiriah yang bersifat  sementara. Jaminan Allah dan Rasul berupa keampunan daripada dosa-dosa terdahulu bukanlah suatu perkara yang remeh. Bahkan hal ini merupakan jual beli yang ditawarkan oleh Allah SWT dengan janji syurga sebagai keuntungannya. Puasa yang telah difardukan seperti dalam firmanNya,  
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184)

Menjadi syiar yang agung dalam diri seseorang Muslim. Bulan Ramadhan sekaligus berperanan sebagai medan tarbiah ruhiyah yang dapat menundukkan nafsu sekiranya Ramadhan dihayati dengan sebaiknya. Pengekangan nafsu yang dilakukan secara iltizam selama sebulan akan membebaskan individu daripada belenggu  kegelisahan hati dan perasaan kepada jiwa yang lebih tenang dan damai. Marilah kita berusaha bagi membuang segala tabiat buruk kita selama ini seperti pergaulan bebas, merokok, mengumpat, memfitnah, riak, ujub dan sombong melalui sekolah Ramadhan agar dengannya kita muncul sebagai seorang Mukmin sejati yang komited dalam bidang dakwah dan kebenaran.

 Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama. Hal ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual individu Muslim. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:
"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Allah SWT mengajarkan kepada hamba-hambanya tentang erti sabar dan taat dalam menjalani ibadah kepadanya. Antaranya lagi, ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tidaklah menjadi sesuatu yang sia-sia disisi Allah SWT sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis;
 Daripada Abi Soleh Az-Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Begitulah tawaran yang Allah janjikan kepada hamba-hambanya sebagai dorongan untuk memeriahkan bulan Ramadhan dengan pesta ibadah dan kesyukuran.Sesuai dengan firmanNya

56. Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Walaubagaimanapun, matlamat daripada berpuasa di bulan Ramadhan ini bukanlah kerana mengejar pahala semata-mata, tetapi tetapkanlah niat untuk mentaati perintah Allah , mendapat redhaNya dan kerana cinta kita kepada Allah dan Rasulullah agar diri kita dapat menikmati rasa keikhlasan dalam beribadah. 




No comments:

Post a Comment