Saturday 23 July 2011

JAULAH AJKT BKKIMM KE MUHAFAZAH


20-21 Julai : Barisan kepimpinan AJKT BKKIMM membuka tirai taqwim bagi fasa kedua selepas peperiksaan akhir sesi ini dengan mengadakan jaulah ke muhafazah untuk bertemu dengan anak Melaka khususnya ahli BKKIMM. Jaulah kali ini khusus untuk mendengar permasalahan, muhasabah dan cadangan terus daripada ahli mengenai kebajikan, pendidikan, serta sebarang isu-isu semasa terutama setelah BKKIMM melalui pelbagai dugaan yang tidak pernah putus semenjak daripada kenaikan kepimpinan pada bulan Ogos tahun 2010 yang lalu.
Perjalanan jaulah bermula pada 20 Julai 2011 bertempat di Dewan Zajlatul ‘Abidah, Iskandariah pada jam 5.00 petang. Pada keesokkan harinya destinasi diteruskan dengan mengadakan jaulah ke Tanta pada jam 12.00 tengah hari bertempat di markaz rasmi DPMT, Bait ‘Izzah yang diadakan bersama ahli dari muhafazah Damanhur. Musim panas tidak menghalang perjalanan sebahagian AJKT BKKIMM meneruskan destinasi ke muhafazah Mansurah yang turut menggabungkan ahli dari muhafazah Zagaziq dan Dumyat. Bertempat di Dewan Persada Jazeerah Al-Ward Mansurah pada jam 6.00 petang telah menjadi penutup kepada jaulah AJKT ke muhafazah pada sesi ini sebelum diadakan jaulah akhir yang akan berpusat di Kaherah awal Ramadhan akan datang.
Diantara pengisian yang diadakan sepanjang jaulah ialah ucapan aluan pengerusi majlis, mandub atau mandubah, wakil exco DPM serta ucapan Yang Dipertua BKKIMM sekaligus mempengerusikan majlis ramah mesra kepimpinan bersama ahli. Pelbagai persoalan telah dilontarkan oleh ahli berkisar isu semasa yang melanda BKKIMM, zakat serta pinjaman negeri Melaka dan beberapa persoalan lain berkaitan kebajikan. AJKT telah menjawab setiap soalan dengan baik dan mencadangkan kepada ahli supaya dielakkan daripada menghangatkan isu mengenai IMAM-BKKIMM. Dalam mengatasi isu provokasi terbabit dan menjaga kemaslahatan serta ukhuwwah dikalangan semua ahli, pihak kepimpinan sendiri lebih memilih untuk cenderung dan fokus pada gerak kerja dan aktiviti BKKIMM.
Majlis diakhiri dengan tayangan slideshow oleh Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM dan penyampaian cenderahati BKKIMM kepada DPM yang terlibat. Seluruh kepimpinan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga diatas komitmen, muhasabah serta cadangan daripada ahli yang hadir. Setiap pandangan daripada ahli membuktikan persatuan berusia 35 tahun ini masih mempunyai pendokong dalam memastikan gagasan dan survival BKKIMM dapat dilaksanakan dengan cara yang paling terbaik diperingkat kepimpinan mahupun ahli sendiri. Bagi mana-mana ahli yang tidak berpeluang menyertai kunjungan AJKT di muhafazah masing-masing,  pihak kepimpinan sentiasa mengalukan kehadiran anda ke majlis ramah mesra barisan AJKT BKKIMM bersama ahli Kaherah dan Syoubra sekaligus mengadakan iftor jam’ie bersama pada awal Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi, insyaAllah.

Laporan Oleh,
Jabatan Setiausaha Agung BKKIMM
Sesi 2010/ 2011.








No comments:

Post a Comment