Sunday 17 June 2012

Tinta buat para daie' : "ISRA' MI'RAJ, Suntikan Semangat Buat Para Pejuang"

Bulan Rejab tahun Ke-10 kenabian, mencatatkan sejarah penting buat ummat. Dalam kelelahan dan kepayahan berdakwah, Allah menghiburkan kekasihNya Rasulullah sallallahua’laihiwasallam  dengan keagunganNya dan hikmah kebenaranNya.




Firman Allah SWT :


" سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ "


Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah Al-Isra’:1)

Rasulullah di isra’ dan di mikrajkan dalam keadaan hatinya yang bersih suci dengan cahaya keimanan dan jauh daripada penyakit hati. Malam itu menjadi penguat keyakinan Rasulullah dan ummat seluruhnya bahawa setelah diuji dalam kesusahan, pasti akan datangnya saat kemenangan.

Malam isra’ itu, Rasulullah mengimami para Rasul yang menjadi bukti bahawa risalah tauhid yang dibawa itu menjadi penyambung dan penutup para Nabi sebelum Baginda.

Sekalipun Rasulullah telah mendatangkan bukti yang jelas tentang perjalanan malam itu, kaum musyrik terus mempersenda dan menuduh Baginda dengan pelbagai tohmahan.Biarpun di cerca, di hina dan di fitnah dengan pelbagai gelaran, namun itulah sunnah dalam perjuangan. Mereka yang membawa Ad-Din suci ini pasti akan di uji tahap keimanan dan keikhlasan mereka. Ketahuilah, bahawa hidup dan mati ini diciptakan untuk mrnguji siapakah yang paling baik amalnya di sisi Allah Subhaanahuwataa’la. Sebagaimana firmannya dalam Surah Al-Mulk;
" الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ "

Maksudnya: "Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa 
(membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);"

HIKMAH TEKANAN DAN PENGHINAAN

Duri yang melingkari jalan dakwah ini menjadi cabaran dan kadangkala membuatkan seseorang dai’ie itu menjadi futur. Namun begitu, Allah berfirman;

 

" لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا "
Maksudnya: "Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya."
[Al-Baqarah: 286]

Tekanan dalam berjuang itu menjadikan seseorang da’ie itu sentiasa menilai tahap kebergantungan mereka dengan Allah. Mana mungkin hati yang kotor dan lalai daripada Allah dapat melahirkan rasa cinta dan rindu kepada Nya? Justeru, setiap ujian itu menjadi petunjuk agar kita sentiasa dekat dengan Nya.

Hikmah yang tersingkap daripada ujian itu tidaklah sebatas itu, akan tetapi itulah caranya Allah mentarbiah para Rasul Nya untuk menjadi seorang dai’e yang matang dalam berfikir dan bertindak. Seterusnya dapat menghasilkan hati yang tegar terhadap cabaran dan tidak pernah berputus asa, apatahlagi merasa lemah.

Orbit kehidupan yang sentiasa berputar ini kadangkala meletakkan kita di bawah. Dengan keimanan yang teguh, maka ujian yang dilalui akan terasa ringan. Hati yang terus hidup dan subur dengan cahaya ketenangan tersebut akan membuahkan berjuta inspirasi yang menutup pintu-pintu putus asa.

Bagi seorang dai’e, tunjang kekuatan yang dimiliki adalah keyakinannya dengan Allah Subhaanahuwata’ala. Dirinya akan tetap yakin dengan pertolongan dan kasih Nya. Akan tetapi, apakah wasilah yang dapat mendekatkan kita dengan pertolongan Nya? Sebaimana firman Nya;

" يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ "

Maksudnya:"Hai orang-orang yang beriman mintalah pertolongan dengan sabar dan mendirikan solat, sesungguhnya ALLAH bersama dengan orang-orang yang bersabar." (Surah al-Baqarah: 153)
  
Hendaklah kita sentiasa mentaati setiap suruhan Nya. Para ulama’ dalam menyingkap keistimewaan Al-Quran, menyatakan bahawa pada ayat-ayat akhir Surah An-Naml terdapat mesej yang menjadi petunjuk bahawa kejayaan ummat Islam untuk membuka kota Baitul Maqdis adalah dengan jalan taqwa dan sabar.

Selain itu, saat tertegaknya khilafah kenabian itu pastilah ketika dunia ini ditadbir dan dipenuhi dengan seruan-seruan kebaikan dan jauhnya daripada laungan-laungan maksiat serta kejelekan. Realiti hari ini menunjukkan bahawa maksiat yang terus bersarang dalam diri ummat itu telah menjadi penghalang kepada datangnya pertolongan daripada Allah. Oleh itu, tidaklah menghairankan mengapakah di suatu penjuru dunia,terdapat  ummat Islam ditindas dan dibunuh, lantaran saudara-saudara se Islam mereka masih terus berjudi, berzina, dan bergelumang maksiat.

Senjata perpaduan yang mapan oleh ummat perlulah dilandaskan kepada Jemaah yang menjunjung Al-Quran dan Sunnah Nabinya. Mereka bergerak sederap dalam barisan yang kukuh sebagaimana batu bata yang membina pasak jatidiri ummat. Mereka sentiasa menginginkan agar ummat ini kembali bersatu di bawah seruan Islam semata-mata dengan menjauhi taghut dan sekutu-sekutunya. Dengan itu, aktiviti pentarbiahan akan dapat dialirkan ke jantung masyarakat tanpa sekatan dan halangan.

Bergembiralah wahai para dai’e,

Kerana engkau memilih jalan yang dipenuhi onak dan duri. Ikhlaskan hatimu untuk mendamba redho Tuhanmu. Teruslah menyeru kepada kebaikan, dan cegahlah kemungkaran. Lazimilah sunnah Rasulullah, meski dilempar dengan kejahatan, engkau tetap menghadiahkan buah-buah hikmah dan kejujuran.

Deritamu tidaklah sehebat ujian para Rasul Ulul Azmi. Lukamu tidaklah separah pembunuhan para Nabi. Tiada apa yang perlu engkau takutkan daripada makhluk duniawi, kerana semuanya kan kembali kepada 
Allah, Rabbul Izzati.

Risalah dan perjuangan ini tidak akan terhenti hinggalah kiamat menjadi pengganti… 


Hasil Nukilan
Huurun_Eiin



::BKKIMM Terus Bergerak dan BKKIMM Milik Semua::

No comments:

Post a Comment