Tuesday 21 July 2015

TARBIAH RAMADAN MEMBINA JATI DIRI GRADUAN BERTAQWA

KAHERAH, 21 Julai 2015 – Bersempena meraikan bulan Ramadan yang
mulia, Komuniti Ihya’ Tarbawi Ramadan (IHTIRAM’ 15) di bawah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan ini. IHTIRAM’ 15 yang telah bermula pada 18 Jun 2015 bersamaan 1 Ramadan 1436 Hijriah telah dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Haziq Bin Zainal Abidin selaku Penasihat BKKIMM’14/15 dalam Majlis Pembukaan IHTIRAM’15 dan selamat melabuhkan tirai pada  14 Julai 2015 bersamaan 27 Ramadan 1436 Hijrah. Objektif IHTIRAM’15 kali ini adalah untuk mengajak seluruh anak-anak Melaka menghayati Ramadan serta berlumba-lumba mengerjakan ibadah di samping mengeratkan ukhwah sesama  ahli dalam melahirkan graduan yang bertaqwa seiring dengan tema “Universiti Ramadan Melahirkan Generasi Badar"

           Sepanjang IHTIRAM’ 15 berlansung, masa lapang diisi dengan pelbagai aktiviti harian, mingguan dan separa mega. Antara aktiviti harian ialah solat terawih, tadarus al-quran dan tazkirah ahli serta turut aktif dalam menyebarkan nasihat dan peringatan Ramadan melalui media rasmi BKKIMM. Ahli-ahli tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktivit berbentuk thaqafah dan ilmiah melalui penganjuran majlis-majlis ilmu iaitu kelas pengajian Bidayatul Hidayah, Matla’ Badrain dan Tahsin Al-Quran yang telah berlangsung setiap minggu serta program Ihtifal Ilmiah seperti hafazan Hadis 40, tilawah al-quran dan kuiz. Objektif utama Ihtifal Ilmiah yang berbentuk amali ini adalah untuk menajamkam kemahiran ahli hasil daripada ilmu yang telah dipelajari.


          Di samping itu, IHTIRAM’ 15 turut mengajak ahli memperingati hari-hari kebesaran Islam dengan menganjurkan Ceramah Badar Kubra, Sambutan Nuzul Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran. Bagi mengeratkan lagi ukhwah anak-anak Melaka, IHTIRAM’ 15 mengambil inisiatif dengan menganjurkan iftar dan sahur jama’ie yang turut dihadiri oleh mahasiswa/wi Melaka daripada bidang sains kesihatan. Turut diadakan aktiviti khusus untuk akhawat iaitu Kursus Membuat Kuih Raya hasil kerjasama HEWI BKKIMM dan Kelas Pengajian Fiqh Mar’ah. Manakala di peringkat ikhwah pula, telah diadakan pertandingan Pro Evolution Soccer (PES) hasil kerjasama Unit Kebudayaan, Kesenian, dan Sukan (UKKS) BKKIMM.


            Di penghujung IHTIRAM’15,  Majlis Penutup IHTIRAM’15 telah diadakan telah dirasmikam oleh Ustaz Khairul Fadhli Bin Husin selaku Penasihat BKKIMM’14/15. IHTIRAM’ 15 mengharapkan segala aktiviti yang dijalankan mampu menjadi bekal bagi melahirkan pelapis kepimpinan yang bertaqwa hasil tarbiah Ramadan. Semoga seluruh ahli istiqamah melaksanakan amalan mulia dalam menghadapi bulan-bulan mendatang dan tidak tertumpu dalam bulan Ramadan sahaja.


Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu am wa antum bikhair.
“Memartabat Keilmuan Meribat Kesatuan”


Disediakan oleh:
Setiausaha,
 Ihya’ Tarbawi Ramadan 2015,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir 2014/2015.

No comments:

Post a Comment