Monday 5 October 2015

SAHRA'15 - “PENGORBANAN DIHAYATI UKHUWAH DIPATERI



“PENGORBANAN DIHAYATI UKHUWAH DIPATERI


KAHERAH, 28 September 2015 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir tidak melepaskan peluang meraikan hari yang penuh bermakna bagi umat Islam yang mengerjakan ibadah Haji dengan menganjurkan satu program yang saban tahun dilakukan di peringkat Cawangan Melaka yang diberi nama Sambutan Hari Raya Aidiladha atau singkatannya SAHRA ’15. Program pada kali ini yang bertemakan “Menyelusuri Tadhiyyah Menyemarak Ukhuwwah” telah dilaksanakan pada tarikh 22, 23, 24 dan 26 September 2015 bertempat di Rumah Melaka Sementara (RMS), Hayyu Sabi’e, Kaherah dan telah disambut baik oleh ahli BKKIMM sendiri mahupun tetamu luar yang hadir.

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk mengingati sejarah pensyariatan ibadah korban yang berlaku pada zaman Nabi Ibrahim a.s dan juga untuk mewujudkan sifat tabah dan sabar di dalam jiwa umat Islam dalam mematuhi perintah Allah SWT. Selain itu, tujuannya juga adalah untuk menanamkan semangat pengorbanan agar sentiasa hidup di dalam jiwa setiap ahli BKKIMM di samping mengukuhkan ikatan ukhuwwah serta kerjasama dalam setiap tindakan dalam kalangan ahli BKKIMM.

Program ini telah dimulakan pada tarikh 22 September 2015 dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk Feqh Korban yang telah dibentangkan oleh anak Melaka sendiri iaitu Ustaz Abu Yamin Bin Ramle. Pembentangan tersebut telah berlangsung selama satu jam setengah dan diakhiri dengan Solat Isyak secara berjemaah dan sedikit jamuan. Program diteruskan lagi pada keesokan harinya pada tarikh 23 September 2015 dengan Perutusan Hari Raya Aidiladha yang telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua BKKIMM sesi 2014/2015 dan disusuli dengan Ziarah Mahabbah ke setiap rumah.

Pada tarikh 24 September 2015 program bermula seawal dengan Solat Subuh secara berjemaah dan diteruskan dengan menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang dilakukan di Masjid Ibad Ar-Rahman bersama-sama dengan warga Arab setempat. Seusai menunaikan solat, program diteruskan dengan sesi penyembelihan binatang korban yang bertempat di Dataran Hayyu ‘Asyir. Sejurus selesai sesi penyembelihan dan melapah, daging  korban telah diagihkan kepada ahli BKKIMM serta golongan miskin daripada warga Arab Mesir. Program dilanjutkan pada sebelah malamnya dengan menjemput Saudari Afiqah Inani bte Mohd Haslin , Timbalan Presiden PERUBATAN 2015/2016 sebagai pentazkirah jemputan dan diakhiri dengan Solat Isya’ berjemaah dan alunan qasidah.

Pada keesokan harinya, program dimulakan dengan aktiviti Indoor yang melibatkan semua ahli BKKIMM dan diteruskan lagi dengan tazkirah Dhuha berkaitan pengorbanan yang telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Baihaki Bin Rasyid, aktivis BKAN Pahang. Selepas itu, program diteruskan dengan jamuan Raya Aidiladha yang telah dimeriahkan oleh warga BKKIMM juga dihadiri oleh tetamu luar dari semua Badan kebajikan Anak Negeri (BKAN). Turut menghadirkan diri adalah Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka, Ustaz Haji Muhd Anwar Bin Idris bersama pembantu beliau, Ustaz Ibrahim Bin Husin. Majlis berlangsung selama  2 jam dan berjalan dengan lancar.

Program Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini diakhiri dengan majlis perasmian penutup yang telah diserikan dengan ucapan perasmian  oleh Ustaz Muhammad Haziq Bin Zainal Abidin, Penasihat BKKIMM 14/15 seterusnya menyempurnakan gimik perasmian penutup. Majlis dimeriahkan lagi dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang untuk pertandingan yang telah dianjurkan.

Akhirnya, pihak komuniti SAHRA ’15 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan program Sambutan Hari Raya Aidiladha SAHRA ’15 peringkat Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir pada kali ini dan mengharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar dapat mengeratkan ukhuwah antara ahli BKKIMM dalam mendokong satu-satunya wadah kesatuan anak Melaka di bumi Anbiya’ ini Insya ALLAH.

“MENYELUSURI TADHIYYAH, MENYEMARAK UKHUWWAH”
“MEMARTABAT KEILUMAN, MERIBAT KESATUAN”
“BKKIMM TETAP DIHATI”

Yang menjalankan tugas,

…………………………………………………..
MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH
Setiausaha Kerja,
Sambutan Hari Raya Aidiladha (SAHRA ’15)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir ,
BKKIMM 2014/2015


No comments:

Post a Comment