MINDA PIMPINAN | EDISI 5 : TAGHUT MODEN MENJADI KIBLAT MANUSIA KINI
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 257 :
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”
Islam adalah agama paling lengkap dan sempurna yang diturunkan oleh Allah SWT. Islam berada di kemuncak kecemerlangan pada zaman Rasulullah SAW apabila ia berkembang pesat sehingga pernah menguasai satu pertiga dunia. Wilayahnya memanjang dari selatan China di Timur dan ke pantai Lautan Atlantik di Barat, dari selatan Paris membawa ke Indonesia.
Setelah jatuhnya khilafah Uthmaniyyah, musuh menyerang Islam dengan serangan ideologi bagi menggantikan Imperialisme sedia ada. Hari ini, kita bukan lagi berada di zaman "the golden age of Islam" di mana masa depan Islam begitu cerah di Baghdad suatu ketika dahulu. Hari ini juga kita bukan berada di zaman Abrahah di mana zaman tersebut apabila ada kuasa luar ingin menghancurkan Kaabah, Allah SWT menurunkan bantuan.
Tetapi kini kita berada di zaman "umat Islam tidak kenal pada musuh". Hakikatnya kita melihat realiti dunia hari ini umat Islam sedang ditipu untuk kepentingan barat. Ramai lagi yang tidak mengenali musuh dan masih buta akan perancangan mereka.
DEFINISI TAGHUT
Definisi Taghut adalah luas. At-Taghut (الطاغوت) dari segi bahasa membawa maksud melebihi had, manakala dari segi istilah pula ialah mereka yang melangkaui batas dengan menyamakan ia dengan hak Allah dan menjadikannya sekutu bagi Allah.
Allah SWT berfirman :
ٱذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ
"Pergilah kamu kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.”
[ Surah al-Nazi’at : 17 ]
Umar al-Khattab R.A berkata: “at-Taghut itu adalah syaitan.” Manakala Jabir R.A. berkata: “at-Taghut adalah para nujum dan penunjuk nasib yang bergantung kepada pertolongan syaitan.”
Kesimpulan yang diperoleh dari maksud Taghut adalah semua hal selain Allah yang disembah manusia seperti berhala, pendeta, ahli sihir atau semua hal yang menyebabkan syirik. Tidak tepat sekiranya kita hanya menyandarkan “penyembahan kepada Taghut” itu semata-mata menyembah patung. Ideologi-ideologi yang menyimpang juga dikenali sebagai at-Taghut kerana ia merosakkan masyarakat hari ini apabila diperjuangkan.
CABARAN AKAL : ANCAMAN DOKTRIN TAGHUT MODEN
Akal dianugerahkan oleh Allah agar menjadi alat kepada manusia mencari kebenaran dan menganalisis maklumat agar mampu membezakan hak dan batil berpandukan wahyu dari Allah SWT. Oleh sebab itu, akal termasuk dalam Dharuriyyat al-Khams yang wajib dipelihara dan dijaga.
Namun, kini manusia merasakan diri mereka maju dengan mencipta ajaran-ajaran baru. Ajaran-ajaran baru itu tidak lagi dinamakan agama akan tetapi “dijenamakan semula” dengan “ideologi” atau “teori”. Ia bermaksud fahaman-fahaman, cita-cita, haluan dan aliran pemikiran.
Demikian, munculnya ideologi-ideologi baru, falsafah dan teori mengenai urusan negara, ekonomi dan kemasyarakatan seperti sekularisme, feminisme, kapitalisme, nasionalisme, sosialisme dan sebagainya.
KESAN TIDAK AMBIL TAHU ILMU PEMIKIRAN
Ilmu pemikiran bukan hanya diperlukan untuk mempertahankan akidah Islam daripada kekeliruan golongan falsafah atau fahaman pada masa lalu, bahkan ia juga penting untuk menghadapi cabaran akidah serta pemikiran moden masa kini.
Antara kesan jika kita tidak mengambil tahu ilmu pemikiran adalah :
1. Sukar mendapatkan penjelasan dan pengukuhan akidah.
2. Tidak mampu menegakkan kebenaran dan menafikan kepalsuan.
3. Membuat tindakan dengan nafsu tanpa pertimbangan rasional akal.
4. Menjadikan pemikiran barat sebagai cara hidup "way of life".
PERANAN MAHASISWA ISLAM DAN MASYARAKAT AWAM DALAM MEMBENDUNG TAGHUTISME
Dalam sejarah Islam, banyak contoh dan kisah yang berlegar disekitar dunia mahasiswa dan dunia pemuda. Berikutan dari kisah Nabi Ibrahim A.S, Umar al-Khattab R.A, Zaid bin Harithah R.A, Abu Ubaidah al-Jarrah R.A dan Ashabul Kahfi banyak bukti yang menjelaskan bahawa peranan mahasiswa Islam itu besar kerana mereka adalah generasi pewaris, generasi pengganti dan generasi perubahan.
Antara peranan mahasiswa Islam dalam membendung taghutisme adalah :
1. Meyakini dan memahami bahawa Islam adalah satu-satunya penyelesaian kepada masalah manusia di seluruh pelosok alam.
2. Generasi muda seharusnya menanam sikap cintakan ilmu dan terkehadapan dalam menguasai pelbagai bidang ilmu untuk didedahkan pada masyarakat.
3. Mahasiswa Islam perlu menyedari bahawa pembinaan negara yang maju dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup "way of life" adalah tanggungjawab yang besar.
4. Mahasiswa Islam dan masyarakat umum perlu sedar bahawa bahawa cabaran yang mereka hadapi adalah perkara sebenar. Ia bukan sesuatu bersifat rekaan atau sebagainya.
Kesimpulannya, cabaran yang dihadapi oleh umat Islam kini bukan sahaja berbentuk serangan fizikal tetapi ia turut melibatkan serangan pemikiran dalam mengikuti perubahan yang berlaku pada zaman kini. Jadi adakah Islam tidak terbuka pada perubahan?. Adakah ini bermakna Islam tidak bersedia dengan perubahan dunia?. Salah satu sifat Islam adalah "al-Murunah" yang bermaksud keanjalan. Ini bermakna Islam itu sesuai mengikut perkembangan waktu dan peredaran zaman.
Bagaimanapun, dalam soal prinsip syariat, ada aspek -aspek yang perlu diperhalusi. Islam tidak menukar prinsip syariatnya sepanjang agama ini dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ideologi-ideologi yang menyimpang apabila diperjuangkan akan memberi implikasi negatif terhadap iman umat Islam. Maka lahirlah masyarakat Islam yang berfahaman komunis, sekularis, liberalis, hedonis dan lain-lain.
Oleh yang demikian, menjadi “maju” bukanlah bermaksud kita keluar daripada panduan Ilahi, tetapi kita memajukan dunia dan tamadun dengan kuasa Islam. Umat Islam harus membebaskan diri dari cengkaman penjajahan pemikiran agar dapat bangkit semula untuk memimpin dunia yang lebih sejahtera.
Wallahua'lam.
"Professionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu
Disediakan oleh :
Nur Sabrina binti Noordin
Timbalan Ketua Unit Pendidikan (Timbalan Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan) BKKIMM sesi 2019/2020
No comments:
Post a Comment