Thursday 22 July 2010

HAKIKAT '10, Menggabungkan Tiga HEWI BKAN Taakhi

KAHERAH, 22 Julai – Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKKIMM sesi 2009/2010, julung-julung kalinya telah mengadakan satu program mega yang melibatkan BKAN Ta’akhi dan telah diberi nama sebagai HAKIKAT’10 (Hari Kebudayaan, Kesenian dan Sukan Ta’akhi 2010). Program tersebut telah dijayakan dengan kerjasama daripada HEWI BKAN Selangor dan juga Perlis. Program tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula 18 Julai tempoh hari dan dimulakan dengan acara senaman aerobik jam 9.30 pagi. HAKIKAT '10 telah dirasmikan oleh Nor Akmizan binti Yusof, HEWI Angkat BKAN Selangor. Program kemudian diteruskan dengan perlawanan bola jaring yang disertai oleh 14 orang wakil daripada ketiga-tiga BKAN Ta'akhi tersebut dan dibahagikan kepada dua pasukan iaitu pasukan Merah dan Kuning. Setelah itu, HAKIKAT '10 diteruskan lagi dengan beberapa acara sukaneka seperti "Hembusan Kasturi", "Snow White Dan Anak Itik Si Buruk Rupa", "Panggilan Mesra” dan "Segenggam Tabah" dan disertai seramai 28 orang. Kemudian program ditangguhkan dengan sesi taaruf antara peserta dan jamuan ringan kira-kira jam satu petang.

Keesokan harinya (19 Julai), HAKIKAT '10 diteruskan dengan Jaulah Ilmiah ke Giza Dan Fayyoum anjuran HEWI BKAN Selangor, kerjasama HEWI BKAN Melaka dan Perlis. Peserta daripada Hayyu Sabie’ dan Hayyu A’syir bertolak jam 8.00 pagi ke destinasi pertama, Piramid, Giza. Seramai 71 orang telah menyertai jaulah tersebut dan diiringi tiga orang musyrif daripada tiga BKAN yang terlibat termasuk sepasang mutazawwijin daripada Selangor. Setelah itu, jaulah diteruskan ke Fayyoum. Antara tempat-tempat menarik yang dilawati di sekitar Fayyoum ialah Istana Qarun dan Tasik Qarun. Kisahnya ada tersebut di dalam Al-quran surah Al-Qasas. Cita-cita Qarun untuk menjadi kaya tercapai hingga lupa asal usulnya dan derhaka kepada Allah S.W.T. Hartanya terlalu banyak hingga tidak mahu membayar zakat lalu Allah membenamkan semua hartanya ke dalam tanah.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah HAKIKAT '10 telah berlangsung di Ain Syillin. Hadiah disampaikan kepada para pemenang dan saguhati diberikan kepada semua peserta sebagai tanda kenangan. Selepas majlis penutup diadakan sesi fotografi bersama-sama BKAN Ta’akhi yang terlibat. Jaulah berakhir di Kincir Air Nabi Yusof. Peserta bertolak pulang ke Kaherah jam 6.00 petang dan tiba ke Rumah Negeri masing-masing sekitar jam 9.00 malam.


No comments:

Post a Comment