Thursday 23 November 2023

[ LAPORAN PERTEMUAN BERSAMAATASE MELAKA - USAHA BERSAMA PEMANTAPAN ANAK MELAKA ]






22 November 2023 - Sukacitanya Ahli Jawatankuasa Khas (AJKK) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan sebuah pertemuan bersama Ustaz Muhammad Hafizi bin Ab Kadir selaku Pegawai Atase Pendidikan Melaka Mesir bertempat di Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka. Pertemuan tersebut dihadiri oleh Ustaz Muhammad Ismail bin Samsudin selaku Pengarah AJKK BKKIMM dan seorang aktivis BKKIMM.

Pertemuan tersebut dimulakan dengan pengenalan ringkas dan disusuli dengan pembentangan objektif dan tujuan ziarah. Objektif utama pertemuan ini adalah bagi membina dan mengukuhkan hubungan bersama antara BKKIMM dan Atase Pendidikan Melaka Mesir di samping bertukar pandangan dan pendapat berkaitan biah solehah anak Melaka di Mesir.

Melihat kepincangan yang berlaku hari ini, sebuah kertas kerja cadangan telah dibentangkan kepada Pegawai Atase Pendidikan Melaka Mesir sebagai tanda sokongan BKKIMM terhadap usaha baik Pegawai dalam menitikberatkan pembudayaan ilmu dan biah solehah dalam kalangan anak Melaka. Beberapa aktiviti dan teknikal telah dicadangkan mengikut pembawaan biah solehah untuk dibawa dan dilaksanakan bagi menjayakan pembawaan tersebut. Tidak diketepikan juga aspek penerapan ilmu yang benar dan terkini kepada anak Melaka bagi menghadapi dunia dakwah yang mencabar.

Di samping itu, setiap pembawaan telah dikupas satu persatu dengan mendalam dan teliti bagi memastikan ia mampu menambahbaik sahsiah dan akhlak anak Melaka seiring dengan pembawaan Atase Pendidikan Melaka Mesir "Pemerkasaan Ilmu, Pemantapan Rohani". Di samping menjayakan pembawaan thaqafah dalam kalangan anak Melaka, tidak dilupakan juga dari sudut melahirkan generasi ilmuan yang bersahsiah dan berakhlak terpuji agar pulang ke tanah air bakal menjadi contoh teladan kepada masyarakat kelak.

Akhirnya, BKKIMM sentiasa cakna menyokong terhadap usaha - usaha pembentukan peribadi mahasiswa yang sejati. Semoga usaha murni ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam memastikan permasalahan biah solehah dan hisbah anak Melaka dapat diselesaikan, di samping melahirkan mahasiswa Azhar yang terbaik dari sudut keilmuan dan sahsiahnya. BKKIMM mengucapkan terima kasih atas kata sepakat beberapa perkara yang dicapai dalam pertemuan ini. Pihak BKKIMM menerima dengan hati terbuka dan sentiasa bersedia dengan sebarang bentuk kerjasama dan bantuan yang diperlukan.


#SetiaBersama
#BersamaBersatu

1 comment: