KAHERAH, 5 MAC 2015 : Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan pertemuan bersama Encik Anwar Bin Idris, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka untuk membincangkan dengan lebih lanjut dan secara terperinci mengenai beberapa permasalahan di peringkat anak-anak Melaka di Mesir khususnya berkaitan permohonan Dermasiswa dan pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
Pertemuan pada kali ini diketuai saudara Muhammad Hatin bin Mohd Yusof selaku Bendahari Agung merangkap Ketua Unit Kebajikan BKKIMM 2014/2015. Beliau juga ditemani tiga wakil AJKT dan seorang ahli BKKIMM.
BKKIMM memanfaatkan peluang dalam pertemuan tersebut untuk melontarkan beberapa permasalahan dan cadangan kepada Encik Anwar bin Idris, antaranya berkaitan Dermasiswa dan pinjaman TAPEM. Antara permasalahan Dermasiswa adalah syarat permohonan terlalu ketat dan pihak BKKIMM mencadangkan agar syarat permohonan tersebut dilonggarkan. Selain itu, pegawai memaklumkan bahawa permohonan untuk fasa ke-2 akan dibuka pada 15 Mac 2015 sehingga 15 April 2015.
Mengenai pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka pula, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka menyatakan pinjaman TAPEM masih belum dibuka untuk permohonan baru bagi anak-anak Melaka yang melanjutkan pengajian Islam dan Sains Perubatan di Mesir.
Seterusnya, pihak BKKIMM dibawah kelolaan Unit Pendidikan mengutarakan permasalahan kebajikan pelajar Markaz Bahasa berkaitan pengecualian yuran markaz yang dimaklumkan oleh Education Malaysia of Egypt (EME) sebelum ini. Selain itu, Unit Pendidikan turut bertanyakan perkembangan cadangan pihak PPWSM untuk mengadakan kelas intensif bagi anak-anak Melaka. Respon yang diberikan oleh pegawai memaklumkan bahawa kelas intensif hanya dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.
Ini membuktikan kelangsungan dan komitmen BKKIMM dalam menjaga kebajikan anak-anak Melaka di Perlembahan Nil. BKKIMM berharap agar Pengawai Atase Pendidikan Melaka dan pihak yang berwajib dapat memberi kerjasama serta optimis dalam memberi kebajikan yang terbaik untuk anak-anak Melaka di bumi Mesir ini.
“BERILMU DAN BERAMAL”
“MEMARTABAT KEILMUAN MERIBAT KESATUAN”
“BKKIMM TETAP DI HATI”
No comments:
Post a Comment