Friday 5 December 2008

Sejarah Wisma Melaka

Wisma Melaka yang terletak di Haiyyu Sabie' (Syeksyen Tujuh) pada hari ini telah dibeli pada tahun 1982. Terletak berhampiran Taman Negara, Kaherah (Hadiqah Dauliyah). Telah dirasmikan pada 13 Mei 1983 oleh TYT Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan.

Wisma Melaka merupakan tempat bernaung, berhimpun seterusnya berfungsi sebagai tempat menjalankan pelbagai aktiviti untuk anak-anak negeri Melaka yang bertebaran di Perlembahan Nil. Ia berperanan mengikat kesatuan, ukhuwah serta memelihara kebajikan anak-anak negeri Melaka di Mesir. Pelbagai aktiviti telah dijalankan di sini demi memantapkan penguasaan thaqafah Islamiyah dan Alamiah di kalangan anak-anak Melaka yang menuntut di Mesir sebelum kembali semula ke tanahair.

Pada peringkat awal, Wisma Melaka hanya terdiri daripada dua tingkat iaitu tingkat tiga dan tingkat empat. Manakala tingkat satu, dua dan hak milik tanah masih lagi dimiliki oleh tuan rumah. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah berusaha mencari sumber kewangan bagi membeli keseluruhan bangunan Wisma Melaka termasuk hak milik tanah. Maka pada bulan April 1997, Wisma Melaka telah mencatat sejarahnya sekali lagi apabila keseluruhan bangunan telah dimiliki secara rasminya oleh kerajaan negeri Melaka.

Walaupun seluruh bangunan telah berjaya dimiliki namun, banyak perubahan yang perlu dijalankan demi menjamin keselesaan serta kebajikan anak-anak Melaka. Sehubungan itu, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengambil inisiatif dengan mengutarakan cadangan kepada MAIM untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, baikpulih dan melengkapkan peralatan di dalam Wisma Melaka. Lantaran itu, pada 11 Disember 1998 kerja-kerja baikpulih Wisma Melaka telah dijalankan. Sementara kerja-kerja baikpulih dijalankan seluruh penghuni Wisma Melaka dipindahkan ke penempatan sementara berhampiran bangunan tersebut.

Kini, Wisma Melaka di bawah seliaan BKKIMM dengan kerjasama daripada semua ahli terus menjadi pusat tumpuan anak-anak Melaka terutama pada musim cuti pengajian.

No comments:

Post a Comment