Wednesday 31 July 2019

ILMU DAN KESEDARAN, PENCETUS KEBANGKITAN

KAHERAH, 20 Julai 2019 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya mengadakan program separa mega yang yang diberi nama Ilmuan Qiadatul Ummah 2019  (IQ ’19) khusus buat anak-anak Melaka di Perlembahan Nil. Tema yang dibawa oleh komiti program pada kali ini ialah “Ilmu dan Kesedaran, Pencetus Kebangkitan” yang telah diketuai oleh Ustaz Sharul Ikmal bin Rahim selaku Pengarah dan Timbalan Pengarah, Ustazah Siti Barizah binti Asni yang telah berlangsung selama 2 hari. 

     Komiti IQ ’19 sebulat suara telah menggariskan beberapa objektif untuk program kali ini iaitu untuk melahirkan ahli BKKIMM yang mampu menguasai ilmu semasa. Di samping itu matlamat program ini juga adalah untuk memberi kesedaran kepada ahli tentang kepentingan kesatuan Islam dan strategi musuh. Seterusnya antara okjektif lain adalah merapatkan ukhuwah dalam kalangan ahli.



     IQ ’19 membuka tirainya dengan perasmian ringkas dari pengarah dan pengisian pertama iaitu Diskusi Fiqh Dakwah melalui Kitab “Falnabda Bianfusina” yang disampaikan oleh Ustazah Athirah binti Mohd Safi’uddin selaku Penasihat BKKIMM sesi 2018/2019. Program diteruskan dengan pengisian slot kedua iaitu Fiqh Perubatan Islam yang disampaikan oleh Dr. Amirul Hakim bin Mohd Razib selaku Penasihat BKAWM sesi 2018/2019. Seterusnya, slot ketiga berbentuk forum yang dikelolai oleh moderator Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan, Ketua Unit Ekonomi BKKIMM sesi 2018/2019 serta panel pertama Ustaz Ahmad Shakir bin Muhammad Faleh Lai, Pengerusi Muslim Care Egypt dan panel kedua Ustazah Huda Najwa binti Roslan, Fasilitator BKASM sesi 2018/2019 yang bertajuk "Tribulasi dan Penyelewengan Terhadap Islam". Kemudian, pada sebelah petang pula diteruskan lagi dengan slot keempat iaitu pengisian berkaitan isu semasa yang bertajuk “Hak Tertegak, Biah Terpelihara” yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri selaku Koordinator Pembangunan Insan MG BKAN kemudian, disusuli dengan slot terakhir iaitu pengisian berkenaan Ilmu Eskatologi : Interaksi dengan Hadith Fitan yang disampaikan oleh Ustaz Sharul bin Malek selaku aktivis BKMIP. Program Ilmuan Qiadatul Ummah (IQ ’19) diakhiri dengan majlis perasmian penutup yang dirasmikan oleh Yang Dipertua BKKIMM sesi 2018/2019, Ustaz Muhammad Audi bin Ismail di Dewan Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dengan bilangan kehadiran ahli BKKIMM seramai 50 orang Ikhwah dan Akhawat.



     Akhirnya, selain dapat memperkukuhkan ukhuwah antara anak-anak Melaka, harapan komiti IQ ’19 agar ahli BKKIMM khususnya dan umumnya seluruh mahasiswa/wi Melaka Mesir sedar akan kepentingan ilmu turathi dan kontemporari mengikut landasan dan ketetapan yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri supaya dapat membentuk kekuatan yang jitu dalam segala tindakan sekaligus terbinanya mahasiswa/wi Islam yang produktif dan berpengetahuan luas dalam segenap aspek.

“Ilmu dan Kesedaran, Pencetus Kebangkitan”

“Memurnikan Fikrah, Membina Sahsiah”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan” 

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu 

Disediakan oleh : Setiausaha (Promosi dan Teknikal) | IQ ’19 | BKKIMM sesi 2018/2019

No comments:

Post a Comment