Thursday 4 July 2019

KESEMPURNAAN RAMADAN, KESUCIAN LEBARAN


KAHERAH, 29 JUN 2019 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya mengadakan program yang yang diberi nama IHTIRAM dan Sambutan Lebaran Anak Melaka 2019 (ITQAN ’19) khusus buat anak-anak Melaka di Perlembahan Nil. Tema yang dibawa oleh komiti program pada kali ini adalah “Kesempurnaan Ramadan, Kesucian Lebaran” yang telah diketuai oleh Ustaz Muhammad Ismail bin Samsudin selaku pengarah dan timbalan pengarah, Ustazah Nur Syafiqah binti Mohamed Nasir.

Komiti ITQAN ’19 sebulat suara telah menggariskan beberapa objektif untuk program ini, iaitu yang pertama dapat meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T dengan menghayati bulan Ramadan sebagai Universiti Tarbiyah demi meraih Mardhatillah. Kedua adalah menyeru ahli BKKIMM dalam membentuk kefahaman Rabbaniyyun di samping membaktikan ilmu untuk perjuangan Islam. Seterusnya sekaligus menjadikan Ramadan dan sambutan Aidilfitri sebagai medan untuk membina serta menyatupadukan fikrah dan amal melalui jalinan Ukhuwah Islamiah sesama mahasiswa/wi Melaka.

Program yang berkonsepkan Melayu Tradisional ini telah menyusun pelbagai pengisian dan aktiviti bagi memanfaatkan bulan yang penuh mulia ini dimulai dengan pengisian berbentuk thaqafah iaitu Diskusi Kitab (Maza Nurid Fi Ramadan), pengisian kerohanian iaitu galakan tadarus bacaan Al-Quran, Tazkirah Khas, dan Singgah Tarawih yang telah disusun oleh Unit Pengisian ITQAN’19. Selain itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti menarik seperti Ribat Perdana, Iftar Jamaie, Majlis Khatam Al-Quran, serahan Shantoh Ramadan, agihan bubur lambuk, Piring Iftor dan pelbagai lagi aktiviti yang bermanfaat.

Bagi meraikan kegembiraan di bulan kemenangan, ITQAN ’19 diteruskan lagi pada bulan Syawal dengan pelbagai aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti bersama-sama mendengar perutusan Yang Dipertua BKKIMM, Ustaz Muhammad Audi bin Ismail, Solat Sunat Aidilfitri bersama warga Mesir di Masjid Musa , pembacaan Hadith Musalsal, pertandingan media sosial serta Rumah Terbuka BKKIMM yang telah dihadiri oleh VIP dan seluruh ahli BKKIMM. Seterusnya, Majlis Perasmian Penutup ITQAN’19 telah disempurnakan oleh Al Fadilah Ustazah Athirah binti Safi’uddin, Penasihat BKKIMM serta persembahan jemputan dari kumpulan Al-Wadi yang bertempat di Dewan Masjid Salam, Hayyu Asyir dengan kehadiran ahli BKKIMM serta VIP seramai 130 orang Ikhwah dan  Akhawat.

Akhirnya, semoga dengan sambutan ITQAN ’19 ini dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah yang terpatri agar gerak kerja dakwah dapat diteruskan di samping bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kepada kita dan dapat menambah ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T.

“Kesempurnaan Ramadan, Kesucian Lebaran”
 “Memurnikan Fikrah, Membina Sahsiah”

#IstiqamahMeraihMardhatillah
#BKKIMMKeluargaKita

Disediakan oleh :

Setiausaha (Promosi dan Disiplin) ITQAN’19 | BKKIMM sesi 2018/2019

No comments:

Post a Comment