Tuesday 17 February 2009

Penempatan Baru Penuntut Melaka di Mesir

http://www.melakahariini.com.my

MELAKA BELI BANGUNAN RM16 JUTA DI KAHERAH

AYER KEROH, 16 Feb- Kerajaan Negeri Melaka akan membeli sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat berharga kira-kira RM16 juta di Kaherah bagi menempatkan kesemua 290 pelajar negeri ini yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar serta beberapa universiti lain di sekitar Kaherah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, bangunan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun.

"Kita akan tempatkan semua pelajar Melaka yang sedang menuntut di beberapa universiti di Kaherah di bangunan tersebut.

"Kerajaan Negeri juga akan menghantar seorang wakil dari Melaka untuk menetap di sana bagi menjaga kebajikan penuntut-penuntut kita di Kaherah," kata Mohd Ali kepada para pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke Kompleks Planetarium di MITC, petang tadi.

Mohd Ali yang baru kembali dari lawatan ke Mesir dan Arab Saudi serta menunaikan Umrah semalam memberitahu, Timbalan Setiausaha Agung Hal Ehwal Masjid dan Dakwah Liga Islam Sedunia (MWL), Dr. Abdul Rahman Al-Zaid juga telah bersetuju untuk membiayai pengajian penuntut-penuntut Melaka yang melanjutkan pelajaran di Mekah dan Madinah.

"Saya sempat mengadakan pertemuan dengan Dr. Abdul Rahman di pejabatnya di Mekah dan beliau menyatakan persetujuan untuk menerima serta membiayai penuntut-penuntut Melaka yang berhasrat mempelajari Bahasa Arab, bidang-bidang agama serta Al-Quran dan lain-lain bidang pengajian dalam mana-mana universiti di Mekah dan Madinah," jelas Mohd Ali.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri akan menghantar beberapa permohonan pelajar-pelajar dari Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIM) bagi mengikuti pengajian Bahasa Arab, Al-Quran, agama dan bidang-bidang lain termasuk perubatan.

Ketua Menteri telah mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Dr. Abdul Rahman yang turut dihadiri oleh wakil Liga Islam Sedunia (MWL) Indonesia, Dr. Kiyai Abdullah Syukri yang juga selaku Pengetua Pondok Moden Darussalam Gontor.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berpuashati dengan kerja-kerja pembinaan Kompleks Planetarium di MITC yang kini sudah hampir 90 peratus siap.

Kompleks bernilai kira-kira RM21 juta itu yang mengandungi Dome Theatre yang boleh menempatkan 200 tempat duduk, perpustakaan, ruang pameran, surau dan pusat penyelidikan itu dijangka beroperasi sepenuhnya awal Julai ini.


No comments:

Post a Comment