UPP BKKIMM 2017. Powered by Blogger.

Monday, 31 August 2009

Kalam YDP sesi 2009/2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam, yang mengajar manusia dengan pena dan mengajar manusia erti perjuangan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, kaum keluarga dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka hingga hari Akhirat.

Selawat kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-22 BKKIMM telah pun berjalan dengan jayanya di mana ahli-ahli BKKIMM telah memberikan idea-idea yang bernas, komitmen yang begitu baik dan komentar yang membina demi kemaslahatan bersama. Segulung tahniah dan syabas diucapkan kepada sahabat-sahabat yang terpilih untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Tertinggi BKKIMM. Pada hakikatnya, pemilihan ini merupakan pilihan daripada Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi"

Kepimpinan menurut Islam merupakan amanah Allah kepada manusia untuk memelihara agama dan mensiasahkan dunia dengan penyusunan pemerintahan Islam. Amanah yang telah diberikan merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar harus dipikul secara bersama. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruhmu supaya kamu membayarkan amanat kepada yang empunya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu hukum dengan keadilan."

Sahabat-sahabat yang dirahmati,
Dewasa ini, tidak dinafikan keterlibatan mahasiswa di dalam organisasi atau persatuan adalah didorong dari sifat kepimpinan hasil sensitiviti diri sendiri. "Mahasiswa yang bijak ialah seorang yang boleh mengatur dan menguruskan hal-hal berkaitan dengan masa untuk beraktiviti. Bijak membahagikan masa kuliah dan tugasan-tugasan yang wajib. Lebih dari itu, dengan melibatkan diri dengan kepimpinan jugalah seseorang mahasiswa dapat memupuk sifat kepimpinan yang unggul dalam diri mereka."

Segala pengalaman yang terkumpul di dalam penglibatan semasa bekerja untuk persatuan semuanya akan kembali memberi faedah kepada diri sendiri. Buktinya masyarakat di Malaysia mengharapkan kita sebagai lepasan Timur Tengah mampu membawa perubahan dalam mendidik masyarakat supaya memahami intipati agama dengan baik. Lantaran janganlah kita menganggap bekerja dalam persatuan ini sebagai pekerjaan yang remeh dan tidak ada sebarang imbuhan. Bahkan pengalaman ini akan kita bawa pulang untuk kita aplikasikan apabila berhadapan dengan masyarakat di Malaysia.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Rentetan daripada ini, penglibatan mahasiswa dalam persatuan bukan merupakan faktor kegagalan dalam pencapaian akademik. Malah kadang-kadang kita melihat lebih ramai orang yang berjaya dengan baik atau cemerlang adalah mereka yang melibatkan diri dalam organisasi. Ini kerana pengurusan masa yang bersistematik dan terancang mampu mengubah pencapaian akademik kita.

Walaupun begitu, janganlah sesekali kita mengabaikan tujuan atau niat utama kita menjejakkan kaki di Bumi Anbiya' ini iaitu menuntut ilmu serta mendalami kefahaman akan agama. Semua mahasiswa di Mesir ini merupakan mereka yang menjadi pilihan dari Allah. Harapan ibu bapa serta keluarga terhadap kita untuk membawa pulang segulung ijazah ditambah dengan kefakihan terhadap syariat Islam sememangnya dinanti-nantikan. Janganlah biarkan ibubapa menitiskan air mata kerana kehampaan kita tetapi biarkan mereka menitiskan airmata kerana kejayaan kita.

Akhirnya, marilah sama-sama kita muhasabah seterusnya memperbaiki segala kelemahan dan kekhalalan selama ini.

Renungilah beberapa untaian kata:
"Fikiran membawa kepada pekerjaan, Pekerjaan membawa kepada kejayaan, Kejayaan membawa kepada impian."

"Kebahagiaan datang jika kita berhati-hati tentang kesulitan-kesulitan yang kita hadapi dan mengucapkan terima kasih atas kesulitan-kesulitan yang tidak menimpa kita."

"Dan memberikan kekuatan pada orang yang lemah membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian pada orang yang ketakutan."


Mohd Shahdan Bin Bakar,
YDP BKKIMM sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment

author
BKKIMM
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir kini menjangkau usia 40 Tahun dalam memimpin wadah kesatuan anak Melaka sejak 1976. Tahun demi tahun, badai dan ujian yang datang mematangkan dan menguatkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ini agar terus kukuh dan utuh dalam memimpin wadah ini.