Friday 6 May 2011

Seluruh DPM dan BKAN bersama mempertahankan hak mahasiswa BKKIMM



Kaherah, 3 dan 4 Mei - Dari Umar bin Khatab r.a, Rasulullah SAW mengatakan kepadaku, “Sesungguhnya diantara hamba-hamba Allah terdapat sekelompok orang yang mereka ini bukan para Nabi dan bukan pula orang yang mati syahid, namun posisi merka di sisi Allah telah membuatkan para Nabi dan orang yang mati syahid menjadi iri hati”. Para sahabat bertanya, “Beritahu kepada kami, siapakah mereka tu Ya Rasulallah?” Baginda menjawab, “Mereka adalah sekelompok orang yang saling mencintai kerana Allah, meskipun di antara mereka tidak mempunya ikatan persaudaraan dan tiada pula kepentingan harta benda yang mendorong mereka. Demi Allah,  wajah mereka bercahaya, dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut manakala manusia takut, dan mereka tidak bersedih hati manakala manusia bersedih hati.” Lalu Rasulullah SAW membacakan ayat, “Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak takut dan tidak pula bersedih hati.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Selaut kesyukuran dirafa’kan kepada Allah Tuhan Semesta Alam yang dalam perancanaan Dia sahaja kehidupan manusia itu ditentukan. Selawat dan salam buat junjungan mulia  Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda juga para sahabat seluruhnya.

Dalam menongkah arus badai yang kian bergolak, dengan kekuatan yang dikurniakan Yang Maha Kuasa, kini kepimpinan BKKIMM terus memperjuangkan kebenaran yang cuba ditutupi dengan selimut kebatilan oleh tangan-tangan yang tidak sepatutnya. Dan yang lebih membanggakan lagi, denai berliku ini  tidak hanya dilalui oleh kepimpinan dan ahli BKKIMM sahaja, namun disertai dengan sokongan serta dokongan penuh sahabat-sahabat daripada negeri lain. Dengan berpaksikan persatuan induk yang tidak asing lagi di bumi Mesir ini, PMRAM  cawangan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) dan PMRAM cawangan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dengan sebulat suara telah menyatakan sokongan dan dokongan yang padu terhadap nasib yang menimpa BKKIMM. Sistem taakhi yang  diadakan oleh pesatuan induk yang menggabungkan BKKMM bersama BKAN Pahang dan Selangor serta  DPM Tanta dan Syibin El-Kom tidak menghadkan bantuan daripada PMRAM cawangan-cawangan lain yang ingin bersama-sama memperjuangkan  hak mahasiswa Melaka yang dirobek oleh pihak ingin meruntuhkan kesatuan anak Melaka di Mesir yang telah lama dibina.

Muktamar HEWI PMRAM kali ke-24 dan Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-78 yang diadakan di Dewan  Abdullah Solah Kamil Universiti Al-Azhar Kaherah pada 3 dan 4 Mei 2011 lalu telah menjadi saksi bahawa ukhuwwah yang PMRAM terapkan  di kalangan ahli  sangat memberi makna kepada kami di peringkat BKAN Melaka. Dengan usul yang  telah dibawa oleh Saudara Muhammad Fahmi bin Abdul Rashid dari perwakilan PMRAM cawangan Pahang yang berbunyi :

“Bersatu mempertahankan kesatuan BKKIMM dengan tindakan :

1. Seluruh PMRAM cawangan DPM dan BKAN akan bersama dalam membantu BKKIMM dengan menghulurkan sumbangan material.

2. Menjana ekonomi BKKIMM bersama taakhi BKKIMM.”

Usul ini telah dipersetujui oleh semua perwakilan yang hadir dan ini membuktikan seluruh ahli PMRAM sangat menitkberatkan soal ukhuwwah dan kesatuan yang sangat ditekankan oleh Islam. Walaupun pada peringkat awal boleh dihitung bahawa BKKIMM bukanlah diantara persatuan yang aktif menjalinkan hubungan dengan pihak PMRAM, namun kami di peringkat saf kepimpinan dan ahli BKKIMM sangat terharu dan mengucapkan jazakumullahu khairan jazak kepada seluruh perwakilan sidang muktamar yang begitu bersemangat melontarkan beberapa sokongan dan cadangan bagi memastikan kesatuan BKKIMM terus menaungi anak-anak Melaka di bumi Mesir ini.. Kami di peringkat Melaka dapat merasakan bahawa seluruh ahli PMRAM umpama berada di dalam satu jasad yang sama, di mana sekiranya satu daripada anggota jasad itu merasai kesakitan maka seluruh anggota yang lain turut menanggung penderitaan yang sama.

Justeru, kami di bahagian saf kepimpinan BKKIMM menyeru kepada seluruh ahli BKKIMM untuk terus bersemangat dalam bersama-sama memperjuangkan survival hak dan intregriti mahasiswa Melaka di Mesir selagi mana ia berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, demi memastikan kelangsungan dakwah Islam yang ingin kita bawa selaku mahasiswa Al-Azhar terus berjalan seiring dengan hasrat Al-Azhar yang  inginkan 3 perkara yang mesti ada pada jiwa-jiwa azhari iaitu ilmu dakwah dan ibadah . Akhir sekali kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang membantu dari segala sumber semoga allah membalasnya dan rahmat allah yang luas keatas sahabat.


 "Kalau Roboh Kota Melaka
Papan Di Jawa Kami Dirikan
Kalau sungguh Islam bertakhta
Bkan Melaka Kami pertahankan"



No comments:

Post a Comment