Wednesday 26 October 2011

Hari Pembentangan Etika: Langkah Awal Ke Arah Gerak Kerja Berdisiplin


24 Oktober, Kaherah: Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) yang telah menjangkau usia 81 tahun merupakan sebuah ‘Kerajaan Mahasiswa’ yang mempunyai sistem gerak kerja yang matang dan lengkap dalam memenuhi keperluan Mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil ini. Keselarasan sistem ini juga penting untuk dilaksana di peringkat cawangan-cawangan PMRAM yang merupakan duta kepada PMRAM Pusat di cawangan masing-masing. Justeru, AJKT dan AJKT HEWI semua cawangan-cawangan PMRAM terdiri daripada  Badan kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa / wi ( DPM ) telah dikumpulkan dalam program Hari Pembentangan Etika PMRAM 2011 yang bertempat di Asrama Rumah Terengganu ( ikhwah ) dan Asrama Rumah Selangor ( akhawat ). Perasmian program yang bermula di awal pagi ini telah disempurnakan oleh Penasihat PMRAM, Ust. Abdul Malik bin Abdul Karim yang menekankan konsep ukhuwah, wala’ dan taat di hujung ucapan beliau. Seterusnya, agenda diteruskan dengan sesi Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2011 serta sesi perbahasan. Pelbagai muhasabah dan cadangan telah dilontarkan oleh wakil-wakil cawangan khususnya untuk memperbaiki gerak kerja di peringkat cawangan masing-masing.

Hari diteruskan lagi dengan slot pembentangan etika PMRAM yang dibentang sendiri oleh Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM Pusat. Sesi soal jawab juga dibuka bagi merungkai kekeliruan kepimpinan cawangan dalam memahami Etika PMRAM di peringkat cawangan masing-masing. Apa yang menarik, setiap kali AJKT PMRAM Cawangan Melaka bangun bagi melontarkan soalan, tepukan gemuruh akan diberikan kepada mereka sebagai suatu tanda sokongan cawangan-cawangan lain kepada BKKIMM.

AJKT ikhwah BKKIMM 2011/2012 di rumah Terengganu

Slot bersama Penasihat PMRAM pula banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada barisan kepimpinan yang menjadi peserta pada hari ini. Seterusnya, Gerak Kerja Berkumpulan ( GKB ) telah diadakan bagi menguji kefahaman peserta terhadap etika yang telah dibentang serta dibawa oleh Badan Pengurus dan AJKT HEWI Pusat sendiri sebagai fasilitator. Refresh Draf Tindakan Bersama Mengenai 2 Usul PMRAM turut diadakan bagi mengingatkan kembali semua cawangan tentang tanggungjawab mereka menjayakan 2 usul yang dipersetujui di Muktamar Sanawi PMRAM  yang lalu. Majlis perasmian penutup Hari Pembentangan Etika PMRAM pula telah disempurnakan oleh Ust. Mohd Zuhaili bin Saiman selaku Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) 2011. Dalam ucapan kalam emas beliau, antara lain Presiden menyeru semua kepimpinan supaya berjiwa besar dalam mendepani cabaran kemahasiswaan yang dihadapi kini.  Program akhirnya ditutup dengan tasbih kaffarah dan bacaan Surah Al-‘Asr sekitar jam 9.30 malam.

AJKT Akhawat BKKIMM 2011/2012 di rumah Selangor

Semoga objektif program dapat dicapai dalam menjamin survival gerakan dakwah PMRAM serta cawangan-cawangannya, insha Allah. Pemimpin Berdisiplin, Keselarasan Gerak Kerja Terjamin. 

No comments:

Post a Comment