Tuesday 8 November 2011

KIK’11 / 12: Ke Arah Merealisasikan Tema ‘ BKKIMM Terus Bergerak ‘

3hb November, Kaherah: Bertempat di Griya Jawa Tengah, Hayyu Asyir, Kaherah, telah berlangsung Kursus Induksi Kepimpinan ( KIK’11 / 12 ) Siri 1. KIK’11 / 12 telah membuka tirainya dengan pengisian bertajuk ‘Polisi Pimpinan’ yang disampaikan oleh Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir ( BKASM ) yang merupakan mantan Yang Dipertua BKASM sesi lepas, Ust Mohd Yazid bin Ahmad. Antara pengisian yang telah diperolehi daripada beliau adalah kepentingan para pimpinan untuk menyusun jadual harian dan memuhasabah diri, berapa banyak masa yang telah dihabiskan untuk berpersatuan dalam satu hari dan aktiviti-aktiviti lain.
Beliau juga menekankan konsep Al-Ihsan dan Al-Itqan supaya konsep dosa-pahala diaplikasi dalam gerak kerja. Jika amanah dilaksana, akan beroleh pahala, dan jika amanah tidak diselesaikan, maka akan mendapat dosa. Selain itu, Ust. Mohd Yazid bin Ahmad juga menambah bahawa, sistem gerak kerja yang kemas tidak akan berjaya jika tiada perubahan sikap ke arah yang lebih baik.
Selepas pengisian oleh Ust. Mohd Yazid bin Ahmad, pengerusi majlis membuka sesi soal yang telah digunakan dengan baik oleh para peserta untuk mendapatkan lebih pencerahan terutamanya mengenai polisi dan identiti pimpinan yang harus dibawa dalam kehidupan dan gerak kerja.
Slot yang telah bermula jam 8.40 malam itu diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada pengisi yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir ( BKKIMM ), Ust. Amir Al-Amin bin Mustaff dan ditutup dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-‘Asr.

No comments:

Post a Comment