Thursday 29 December 2011

Setahun, Menyinggahi BKKIMM Tanpa Obsesi


Setahun, Menyinggahi BKKIMM Tanpa Obsesi

Segala pujian hanya milik Allah SWT yang  telah membangkitkan semangat dalam jiwa manusia untuk menempuh cara mengabdikan diri kepada-Nya. Segala-gala-Nya yang ditempuhi manusia pada hari ini adalah kerana kehendak-Nya dan tidak ada seorang pun daripada kalangan manusia itu dapat menolak dan menghalang taqdir-Nya itu. Dengan rahmat-Nya dan kehendak-Nya yang mengatur setiap saat percaturan hidup manusia sehingga mereka kini berada di tempat di mana meraka berada.

 Tanggal 28.12.2010 sememangnya merupakan detik yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh mahasiswa/wi  Melaka di Perlembahan Nil ini. Sejarah pencabulan hak yang berlaku meningggalkan kesan yang  sungguh mendalam dalam hati sanubari mereka. Tanpa sebarang alasan serta bukti yang kukuh, kesatuan yang telah sekian lama menaungi kebajikan serta pendidikan anak-anak Melaka di Mesir difitnah dan ditarik pengiktirafannya serta-merta tanpa diadakan walau sedikit ruang perbincangan.

(Gambar AJKT BKKIMM sesi 2010/2011 bersama Ketua Menteri Melaka dan Datuk Duta Besar Kaherah serta isteri)

Masih segar lagi  reaksi seluruh mahasiswa/wi Melaka dalam menzahirkan gelombang kebangkitan yang setaraf dengan jati diri seorang  mahasiswa  pada detik bersejarah berikut, apabila seluruh yang hadir bangun dengan secara hormat di hadapan Ketua Menteri Melaka bagi menyatakan pendirian bahawa kesatuan yang berusia 35 tahun ini mesti dipertahankan.
Dan sehingga ke saat ini, BKKIMM telah berjaya membuktikan kegemilangannya kerana berjaya mengharungi jerih-payah mengemudi bahtera kesatuan yang tercinta tanpa pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri. Walaupun ditekan oleh banyak pihak dan diuji dengan pelbagai mehnah yang boleh menggugat perjalanan persatuan,  namun berkat kesungguhan setiap anggota yang menjadi tiang dan tulang belakang kepada BKKIMM serta kecekalan yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan merupakan suatu usaha yang sama sekali tidak akan pernah dilupakan.



(Gambar mahasiswa/wi Melaka Mesir ketika  Ihtifal Kesatuan, Haflah Aidilfitri, & Sambutan  Memperingati 35 Tahun BKKIMM – IKTIRAF ’35)

Kebersamaan yang telah diberikan oleh satu-satunya persatuan induk anak Melayu di sini iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) serta sokongan yang padu daripada setiap PMRAM Cawangan samada Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) mahupun Dewan Perwakilan Mahasiswa ( DPM ) membuktikan PMRAM terlalu menitikberatkan soal kebajikan mahasiswa/wi Malaysia di Bumi Anbiya’ ini.  Melalui konsep taakhi yang telah dibentuk oleh PMRAM, BKKIMM turut diperjuangkan oleh BKAN Selangor ( BKASM ; Badan Kebajikan Anak Selangor ), BKAN Pahang ( BKMIP ; Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang ), DPM Tanta serta DPM Syibin El-Kom. Kemuncak kesatuan semua BKAN dan DPM dalam membantu BKKIMM terserlah apabila satu kata muafakat telah diambil dalam persidangan  Muktamar  Sanawi  PMRAM kali ke-78  dengan usul, semua BKAN dan DPM  akan bersama-sama mempertahankan BKKIMM melalui sumbangan material dan menjana ekonomi bersama. 



(Gambar kenangan barisan Badan Pengurus PMRAM 2011 bersama kepimpinan BKKIMM sesi 2010/2011 ketika Iftor Jama’ie di Surau Wisma Seri Melaka)

Namun, disebalik usaha untuk terus menggerakkan kesatuan ini, BKKIMM masih berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan semula tindakan penarikan pengiktirafan terhadap persatuan ini demi kelangsungan menjayakan agenda terpenting Kerajaan Negeri sendiri dari sudut kebajikan dan pendidikan terhadap anak-anak Melaka di Bumi Anbiya’ ini. Beberapa siri perbincangan yang telah diadakan melalui wakil-wakil Kerajaan Negeri dengan pihak kepimpinan BKKIMM diharap dapat membuahkan hasil serta mencipta keharmonian dikalangan mahasiswa/wi Melaka di sini. Pihak BKKIMM juga masih tetap optimis untuk meneruskan hubungan kerjasama dengan pihak Pejabat Pentadbiran Pegawai Wisma Seri Melaka Kaherah.



(Gambar jemputan kehormat pada Majlis Perasmian Program Malam Ikhtiar Mumtaz sempena peperiksaan akhir tahun 2011 anjuran bersama BKASM, BKKIMM dan BKMIP)

Oleh yang demikian,  pihak kepimpinan menyeru kepada semua ahli agar terus bersama mempertahan dan menjayakan 6 Gagasan BKKIMM pada sesi ini kerana tidak dapat tidak BKKIMM masih memerlukan sokongan serta dokongan penuh setiap anggotanya demi memastikan persatuan ini dapat terus menjaga kemaslahatan serta kelangsungan kebajikan dan pendidikan anak-anak Melaka di Mesir. Sejajar dengan tema pembawaan BKKIMM pada sesi ini iaitu BKKIMM Terus Bergerak, BKKIMM Milik Semua.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa, “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan (dalam) urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” ( Surah Ali Imran : 147 )
“Hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan dan ampunan. Kami berlindung kepada-Mu dari segala keburukan diri kami dan kejelekan amalan kami. Hanya kepada-Mu kami meminta petunjuk agar kami tidak sesat. Kami mengakui sekiranya kami sesat maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepada kami melainkan hanya-Mu Ya Allah.

Ya Allah, Engkau-lah Zat penganugerah pahala yang berlimpah, pemberi tempat yang indah dan nyaman, Zat yang membuat perhitungan dengan segera, Zat yang hijab-Nya mempunyai benteng yang kukuh. Engkau ciptakan kepatuhan dan menganugerahkan kemampuan bagi orang-orang yang taat. Engkau beri mereka kekuatan dan istiqomah dalam ketaatan. Engkau ciptakan syurga dan menuntun mereka ke dalam kurnian-Mu. Engkau jadikan semua amal mempunyai keistimewaan, segala Rahmat tercurah dari-Mu, ketaatan dan pahala-Nya bersumber dari-Mu, segala sumber urusan ada di Tangan-Mu. Dari-Mu segala permulaan dan hanya kepada-Mu tempat kembali..
Semoga Kau rahmati dan berkati perjalanan wahdah kami ini, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.”


BKKIMM Terus Bergerak, BKKIMM Milik Semua.





1 comment:

  1. kami ahli PMRAM tetap bersama BKKIMM susah atau senang

    ReplyDelete