Saturday 30 August 2014

ISU PENGUBAHSUAIAN WISMA SERI MELAKA MENDAPAT PERHATIAN ANAK-ANAK MELAKA MESIR

Badan kebajikan keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan satu pertemuan bersama anak-anak Melaka yang menetap di Wisma Seri Melaka (WSM) pada hari Rabu, 27 Ogos 2014 bertempat di Surau WSM. Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan bersama berikutan isu pengubahsuaian dan penambahbaikan bangunan tersebut serta kebajikan anak-anak Melaka.

Pertemuan yang dikendalikan oleh Saudara Ahmad Rabbani Bin Ismail selaku Yang Di-Pertua BKKIMM sesi 2013/2014 berlangsung selama dua jam dengan kehadiran 40 orang mahasiswa/wi pengajian Islam dan sains kesihatan. Laporan gerak kerja terkini Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM berkenaan isu pengubahsuaian dan penambahbaikan WSM telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Haziq Bin Zainal Abidin selaku Setiausaha Agung BKKIMM. Seterusnya persoalan dan cadangan dibuka kepada anak-anak Melaka bagi menambahkan lagi idea dan kebersamaan dalam menangani isu ini.

Antara permasalahan yang dihadapi adalah tunggakan bil air dan elektrik yang berlaku semasa ketiadaan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Mesir. Beberapa cadangan dan pandangan dilontarkan bagi mendapatkan kesepakatan di kalangan anak-anak Melaka.

Setelah undian dibuat, keputusan yang diambil setelah disepakati bersama adalah mendesak kerajaan negeri atau pihak berwajib untuk membayar bil-bil yang tertunggak seterusnya menyelesaikan isu ini dengan segera. Masalah ini bukan sahaja dikatakan sebagai isu kebajikan, malah
ia juga perlu dianggap sebagai isu hak mahasiswa yang perlu dipertahankan.

Kami berharap supaya pihak berwajib dapat bertindak sewajarnya dengan memandang serius berkenaan kebajikan, pendidikan dan keselamatan anak-anak Melaka yang belajar di Mesir. Semoga dengan perbincangan dan kesepakatan yang telah dibuat antara pimpinan dan ahli BKKIMM dapat mempermudahkan serta menyelesaikan permasalahan ini bersama.

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”
“MELESTARI KESATUAN MERENTASI PERJUANGAN”

No comments:

Post a Comment