Friday 7 November 2014

BKKIMM TERUS CAKNA PERMASALAHAN ANAK-ANAK MELAKA DI MESIR


Kaherah, 4 November : Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan satu pertemuan bersama Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka, Encik Muhd Anwar bin Idris. Ia bertujuan bagi membincangkan beberapa permasalahan yang berlaku di Rumah Melaka Sementara (RMS) setelah anak-anak Melaka berpindah dari Wisma Seri Melaka (WSM) bagi tujuan proses pengubahsuaian bangunan tersebut.

                    Pertemuan tersebut diadakan di kediaman beliau di WSM pada jam 4.45 petang waktu Mesir dan dikendalikan oleh Yang Di-Pertua BKKIMM, saudara Ahmad Rabbani bin Ismail. Perbincangan pada petang itu diteruskan dengan pembentangan oleh saudara Ahmad Shahir bin Ali selaku Ketua Unit Perumahan (UPER) BKKIMM berkenaan permasalahan-permasalahan yang berlaku sepanjang anak-anak  Melaka mendiami RMS. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan keselamatan RMS yang berada di tahap membimbangkan berikutan cubaan memecah masuk sebanyak empat kali oleh warga arab Mesir. Faktor kejadian seperti ini berlaku adalah disebabkan keadaan tingkap rumah yang usang dan tangga konkrit yang berada di tepi bangunan memudahkan pencuri memecah masuk RMS.

            Isu kekurangan prasarana di RMS yang dilihat menyulitkan anak-anak Melaka di Mesir turut diperbincangkan dalam pertemuan tersebut. Antaranya masalah sistem saluran air yang tidak berfungsi dengan baik, tekanan air yang rendah, tingkap yang tidak boleh ditutup  dan beberapa masalah yang lain. Permasalahan ini berlaku  kerana bangunan RMS yang didiami  anak-anak Melaka merupakan sebuah bangunan yang sudah berusia dan menjadi kebiasaan bagi sebuah bangunan seperti itu ditimpa pelbagai masalah.

                 Timbalan Yang Di Pertua  Ustaz Ahmad Razin bin Muhd Fauzi yang turut serta dalam pertemuan tersebut telah mencadangkan beberapa jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku. Beliau mencadangkan supaya Encik Muhd Anwar  mendesak pihak kontraktor agar menjalankan kerja pengubahsuaian  WSM dengan kadar yang segera di samping menyediakan pengawal keselamatan bagi mengawal keadaan RMS daripada  berlaku kejadian yang tidak diingini.

                 Hasil pertemuan tersebut, pihak pegawai berjanji akan berusaha menyelesaikan segala permasalahan  dengan kadar yang segera.Menurut beliau, cadangan untuk menyediakan pengawal keselamatan di RMS merupakan satu cadangan yang baik dan beliau akan berusaha membincangkannya bersama kerajaan negeri Melaka.

                Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Anwar bin Idris kerana telah memberikan ruang kepada AJKT BKKIMM untuk menyampaikan segala permasalahan yang berlaku demi memastikan kebajikan anak-anak Melaka terus terjaga. Semoga dengan perbincangan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak mampu memberikan satu penyelesaian yang baik untuk semua  terutama anak-anak Melaka yang mendiami RMS.




No comments:

Post a Comment