Sunday 27 December 2015

KUNJUNG HORMAT BKKIMM KE PEJABAT PENTADBIRAN WISMA SERI MELAKA

Pimpinan BKKIMM bergambar bersama
 Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka
KAHERAH, 21 Disember 2015-
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka (PPWSM) pada 21 Disember yang lalu. Kunjung hormat itu disambut baik oleh Encik Haji Muhd Anwar bin Idris selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka di Mesir. Kunjungan yang melibatkan seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa HEWI serta wakil penasihat BKKIMM sesi 2015/2016 ini telah diketuai oleh saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi ini.
Objektif utama kunjung hormat yang merupakan agenda saban tahun dilaksanakan ini adalah untuk saling mengenali dan beramah mesra antara barisan kepimpinan sesi ini dengan pegawai yang merupakan wakil kerajaan negeri Melaka yang berada di sini .
Sesi perbincangan yang dikendalikan oleh saudara Abdul Wafi bin Abdul Aziz selaku Setiausaha Agung BKKIMM '15/16 telah dimulakan dengan sesi taaruf dan pembentangan laporan program serta aktiviti yang telah dilaksanakan sejak kenaikan pimpinan BKKIMM '15/16.

Suasana sekitar perbincangan 
           Antara perkara yang dibawa oleh BKKIMM semasa kunjung hormat adalah beberapa permasalahan khususnya berkaitan dengan aspek pendidikan, kebajikan dan keselamatan. Saudara Muhammad Amirul Fitri selaku Timbalan Setiausaha Agung merangkap (Ketua Unit Pendidikan) telah mengajukan soalan berkenaan kelas intensif dan perkembangan kelas Tahsin al-Quran. Selain itu, beberapa isu kebajikan yang diketengahkan ialah berkenaan pampasan rumah sewa kali kedua, dermasiswa dan kes kecurian yang telah menimpa anak-anak Melaka pada bulan November yang lalu. Isu keselamatan dan kerosakan di Rumah Melaka Sementara (RMS) juga telah disuarakan. Pegawai memaklumkan telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan permasalahan dan kerosakan yang berlaku.

       Dalam pertemuan ini juga, beberapa persoalan berkaitan Wisma Seri Melaka (WSM) telah diutarakan kepada beliau. Antaranya keputusan temuduga dan tarikh kemasukan semula ke WSM. Respon beliau berkenaan keputusan temuduga itu akan dimaklumkan semula setelah selesai perbincangan pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Selain itu, perkembangan proses pembinaan Wisma Melaka turut diperbincangkan.
       
       Di akhir perbincangan, pihak BKKIMM telah menyerahkan dua kertas kerja cadangan iaitu Kertas Kerja Cadangan Penambahan Kapasiti WSM yang disediakan oleh wakil setiap batch anak Melaka. Di samping itu, pihak BKKIMM juga menyediakan dan membawa satu lagi Kertas Kerja Cadangan Permohonan Penambahan Ruangan Dapur WSM kepada pihak pegawai untuk dibawa ke peringkat kerajaan negeri Melaka.  

Yang Dipertua BKKIMM memberikan cenderahati
 kepada En. Haji Muhd Anwar Bin Idris
        Sebelum bersurai, pihak BKKIMM telah menyerahkan cenderahati tanda kenang-kenangan kepada pihak pegawai. Saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pegawai atas kesudian menerima kunjungan pihak BKKIMM. Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara dua pihak agar kerjasama dapat diteruskan pada masa akan datang.


'MAHASISWA BERHIKMAH BAKTI DICURAH'

'BKKIMM TETAP DI HATI’

Disediakan oleh :

Jabatan Setiausaha Agung 
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2015/2016







No comments:

Post a Comment