Monday 7 March 2016

Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ) Membina Kekuatan Ahli Melaka

7 MAC 2016 - Dengan bertemakan Karnival pada kali ini, sekali lagi Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir dibawah komuniti pelaksana , telah berjaya mengadakan program hari keluarga yang diberi nama Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ) . Program ini bertujuan untuk memantapkan lagi ukhuwah serta menambah thaqafah anak- anak Melaka bertepatan dengan gagasan BKKIMM pada tahun ini antaranya Ukhuwah & Wahdah serta Pemantapan Fikrah Melalui Thaqafah & Ilmiah. Program yang telah berlangsung selama 4 hari ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik samaada berbentuk jasmani seperti bola beracun dan water game disamping aktiviti rohani seperti munajat cinta dan tazkirah subuh khas.




16 FEBRUARI 2016 : Majlis Perasmian

Majis perasmian Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ) telah dimulai dengan ucapan pengarah program iaitu saudara Muhammad Ikhram bin Samsudin yang bertempat di Rumah Melaka Sementara . Seterusnya majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh saudara Muhammad Haziq bin Zainal Abidin selaku Ketua Penasihat BKKIMM sekaligus menyempurnakan gimik perasmian program Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ).


17 FEBRUARI 2016

Bermulanya aktiviti jaulah akhawat ke Ain Sukhnah dan acara indoor bagi ikhwah di Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabie. Pelbagai acara yang meriah telah dilaksanakan sepanjang hari tersebut di kedua-dua tempat yang berlainan dan ia dilaksanakan secara serentak . Antara pengisian menarik yang dianjurkan antaranya seperti Barbeque, Gala Fiesta, Run For Life, dan sebagainya.



18 FEBRUARI 2016

Aktiviti diteruskan lagi dengan acara indoor disebelah akhawat yang bertempat di Rumah Melaka Sementara manakala disebelah ikhwah aktiviti jaulah ke Ain Sukhnah . Bas bertolak dari Hayyu Sabik seawal jam 7.00 pagi dan tiba didestinasinya lebih kurang jam 8.45 pagi. Dalam perjalanan , peserta dihidangkan sarapan ringan yang telah disediakan oleh Adhoc pelaksana Unit Jamuan & Hidangan (16’ قوة ). Seusai tiba di sana , program dimulai dengan bacaan Asmaul Husna , nyanyian lagu tema (One Big Family by Maher Zain) dan lagu PMRAM .

Antara aktiviti menarik disebelah pagi yang telah disusun oleh unit pengisian adalah Liga Futsal , Baling-Baling Sayang , Sepak Raga , Spirit Ball , Tarik Tali dan banyak lagi . Di sebelah petang pula , peserta dibenarkan mandi di tepi pantai sambil menyaksikan ikan lumba-lumba berenang ditengah lautan dan sama-sama menikmati keindahan panorama pantai Ain Sukhnah yang dikelilingi gunung ganang disekelilingnya . Jam 4.00 petang , aktiviti diteruskan lagi dengan slot Liqo’ Fuad daripada Unit Dakwah yang dipimpin oleh Ustaz Jundullah Ibnu Said selaku Ketua Unit Dakwah BKKIMM bagi sesi pada kali ini . Sesudah masuk waktu maghrib, para peserta menunaikan solat qasar jamak tadqim dan terus mengemas barang-barang untuk pulang ke Kaherah semula.


20 FEBRUARI 2016 : Majlis Penutup

Aktiviti dimulakan dengan munajat hati (Qiamullail) dan solat subuh berjemaah serta tazkirah khas yang disampaikan oleh saudara Muhammad Amri bin Ouma sebagai pembuka tirai pengakhiran program Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ). Program dihangatkan lagi dengan pertandingan Iron Chef yang telah berlangsung di Rumah Melaka Sementara. Pertandingan ini telah berakhir pada jam 10.30 pagi.


Pada sebelah malam, majlis penutup yang berlangsung di Dewan Wisma Darul Ridzuan A, Hayyu Sabie dimulakan dengan pengisian yang menarik daripada Unit Dakwah berkenaan Hisbah dan kepentingannya. Tambahan lagi , malam penutup dimeriahkan lagi dengan persembahan Gala Fiesta bagi ikhwah dan persembahan khas daripada mahasiswa baru generasi 2015/2016. Seterusnya , ucapan penutup daripada Yang Dipertua BKKIMM sesi 2015/2016, Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi mengakhiri majlis penutup bagi hari keluarga pada sesi kali ini.


Akhirnya, setinggi- tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh anak Melaka yang bersama- sama memeriahkan Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ) sama ada secara langsung atau tidak. Pihak Komuniti Hari Keluarga Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة ) merakamkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga dan sekalung tahniah diatas kebersamaan anak-anak Melaka yang memeriahkan lagi sambutan hari keluarga BKKIMM pada tahun ini. Semoga program ini dapat memberi manfaat dan mempertautkan lagi ukhuwah serta memperkukuhkan kesatuan Anak- anak melaka yang telah dibina sejak sekian lama.




Mandi dayang ditepi perigi,
Wajah ayu gerakan sopan,
Moga kita bertemu lagi,
Dihari keluarga tahun hadapan.


“Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”


Disediakan Oleh :
Muhammad Norkhalis Bin Jazlan,
Setiausaha Kerja,
Karnival Untuk Anak Hang Tuah (16’ قوة )

No comments:

Post a Comment