Tuesday 29 March 2016

PIMPINAN MENERUSKAN PERBINCANGAN SETELAH KEPULANGAN PEGAWAI

KAHERAH, 24 MAC 2016 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan pertemuan baru-baru ini bersama Pegawai Atase Pendidkan Negeri Melaka, Encik Haji Anwar bin Idris di Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka bagi meneruskan agenda kebajikan kepada anak-anak Melaka di Perlembahan Nil.Pertemuan pada kali ini telah diketuai oleh saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi 15/16.

       Pertemuan dimulakan dengan laporan kerosakan yang berlaku di Rumah Melaka Sementara (RMS) oleh Ketua Unit Perumahan BKKIMM, saudara Muhammad Afif bin Zainal Abidin. Perkara ini dipandang serius oleh peringkat pegawai dan beliau berjanji akan turut sama-sama membantu BKKIMM dalam menyelesaikan hal ini. BKKIMM juga ada bertanya berkenaan perkembangan wang pampasan kepada mangsa kecurian di RMS pada 7 November 2015  yang lalu dan mencadangkan supaya diberikan sebarang bentuk kebajikan dengan segera kepada anak Melaka yang ditimpa musibah tersebut.

       Perbincangan diteruskan lagi dengan persoalan yang diajukan oleh Yang Dipertua saudara Ahmad Razin berkaitan kapasiti sebenar dan tarikh perpindahan ke Wisma Seri Melaka (WSM). Pihak Pegawai memaklumkan bahawa kapasiti sebenar WSM seramai 60 orang, 49 dari pelajar yang menghadiri temuduga manakala 11 orang lagi akan diperuntukkan untuk pelajar baharu yang akan hadir pada tahun ini. Beliau menambah lagi, anak-anak Melaka boleh mendapatkan maklumat sebenar daripada delegasi kerajaan Negeri Melaka yang dimaklumkan akan hadir pada bulan April ini.

       Antara permasalahan lain yang dibincangkan ialah berkaitan permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa-mahasiswa anak Melaka di Shoubra dan Mansurah. BKKIMM mencadangkan supaya peringkat Pegawai dapat memberikan sebarang bentuk kebajikan dan dapat memanjangkan permasalahan ini ke peringkat EME.

       Pihak BKKIMM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Pegawai Melaka dalam menyelesaikan permasalahan anak Melaka dan berharap pegawai dapat melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin selaku wakil kerajaan Negeri Melaka. BKKIMM sangat berbesar hati dengan perjumpaan kali ini dan semoga ianya dapat menatijahkan satu hasil yang terbaik untuk semua.

“Mahasiswa Berhikmah,Bakti Dicurah”
“BKKIMM Tetap Di Hati”

No comments:

Post a Comment