Wednesday 24 August 2016

BKKIMM DAN PIBMMM : KERJASAMA 2 BENUA MEMBAWA ISU MAHASISWA/WI MESIR KE PERINGKAT KERAJAAN NEGERI MELAKA


Melaka, 24 Ogos 2016 - Pada tanggal 21 Ogos 2016 yang lalu, wakil pimpinan Badan Kebajikan Islam Melaka Mesir (BKKIMM) saudara Muhammad Amirul Fitri bin Mazlan selaku Timbalan Setiausaha Agung BKKIMM bersama saudara Muhammad Daud bin Ashaari telah menghadiri pertemuan bersama ibu bapa pelajar Melaka Mesir anjuran Persatuan Ibubapa Mahasiswa Mesir Melaka (PIBMMM) bertempat di SMU(A) Ar-Rahmah, Solok Gaung Melaka.

         Perbincangan yang diadakan adalah seputar permasalahan dan isu penempatan yang dihadapi oleh pelajar Melaka di Mesir. Dalam pertemuan tersebut, saudara Muhammad Amirul Fitri bin Mazlan telah mengemukakan cadangan penyelesaian hasil kesepakatan anak-anak Melaka di Mesir dalam pertemuan 14 Ogos 2016 yang lepas iaitu mendesak kerajaan negeri supaya kontrak sewaan Rumah Melaka Sementara (RMS) dilanjutkan sehingga Wisma Melaka siap dibina atau semua anak Melaka ditempatkan sementara di Wisma Seri Melaka sehingga kerja pembangunan Wisma Melaka siap sepenuhnya. Cadangan tersebut disambut baik oleh semua ibubapa yang hadir. Sehubungan itu, PIBMMM mengambil inisiatif menyusun suatu pelan tindakan untuk mengadakan pertemuan rasmi PIBMMM bersama Datuk Seri Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka bagi membuka ruang perbincangan antara kedua belah pihak berkaitan isu ini.

       
       Seterusnya, wakil BKKIMM membentangkan proposal kajian perbandingan kos sara hidup pengajian di timur tengah yang melibatkan pengajian di Mesir, Jordan dan Maghribi. Antara aspek yang dikemukakan dalam kajian tersebut adalah berkenaan perbandingan sistem dan yuran pengajian serta perbandingan kos sara hidup antara ketiga-tiga institusi tersebut. Setelah menilai aspek perbandingan terutamanya kos sara hidup, ibubapa yang hadir bersepakat untuk bersetuju agar pihak kerajaan negeri dapat meneruskan penghantaran pelajar ke Mesir memandangkan kos pengajian di Mesir adalah lebih murah lebih-lebih lagi ramai anak Melaka yang melanjutkan pengajian sarjana muda pengajian Islam di sana.

         Akhir sekali, Kita BKKIMM mewakili suara anak-anak Melaka Mesir sentiasa bersikap terbuka terhadap semua pihak yang ingin membantu kebajikan pelajar Melaka di Mesir terutamanya kepada pihak kerajaan negeri dan PIBMMM serta berharap agar isu penempatan pelajar dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama tanpa memilih bulu. Semoga segala perancangan yang diatur mendapat bantuan daripada Allah swt dan menatijahkan keputusan yang terbaik buat semua anak Melaka di Mesir.

"MAHASISWA BERHIKMAH BAKTI DICURAH"
 "BKKIMM TETAP DI HATI"

No comments:

Post a Comment