UPP BKKIMM 2017. Powered by Blogger.

Saturday, 27 August 2016

KENYATAAN BERSAMA WAKIL SETIAP BATCH ANAK-ANAK MELAKA DI MESIR BERKENAAN ISU RUMAH MELAKA SEMENTARA (RMS)


KAHERAH, 26 Ogos 2016 - Perjumpaan wakil setiap Batch anak-anak Melaka di Mesir pada hari Ahad bertarikh 21 Ogos 2016 di Sutuh Rumah Melaka Sementara, Kaherah bertujuan membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak Melaka di Mesir. Pertemuan ini  berikutan pelbagai aduan yang diterima oleh wakil batch daripada para pelajar seterusnya mencari solusi terbaik untuk memastikan kebajikan anak-anak Melaka di sini terus terjaga.

Merujuk kepada kenyataan Pembantu Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka bahawa Rumah Melaka Sementara (RMS) akan ditamatkan tempoh penyewaan pada akhir Ogos ini dan meminta agar anak-anak Melaka yang menetap di situ untuk segera mencari rumah sewa sebelum tempoh yang diberikan.

Setelah melihat dan menilai kepada situasi anak-anak Melaka di RMS, kami barisan wakil batch bersepakat menyatakan tidak bersetuju dan membantah dengan tindakan kerajaan negeri menamatkan kontrak RMS pada hujung bulan ini atas beberapa faktor. Antaranya ialah :

1. Aspek keselamatan yang tidak terjamin jika tinggal di rumah sewa.
2. Kadar sewaan rumah sewa di sekitar Kaherah  yang tinggi melebihi kemampuan mahasiswa/wi sendiri.
3. Ramai mahasiswa anak Melaka yang tidak menerima bantuan atau pinjaman daripada mana-mana agensi.
4. Masih ramai anak-anak Melaka  menetap di RMS.

Hasil daripada perbincangan tersebut, beberapa cadangan penyelesaian telah disepakati dan ingin diutarakan kepada pihak berwajib iaitu:

1. Mendesak pihak berwajib menyambung sewaan RMS sementara menunggu Wisma Melaka (WM) siap sepenuhnya
2. Jika RMS tidak disambung kontrak sewaannya, tempatkan mahasiswa anak- anak Melaka di Wisma Seri Melaka yang baru siap dibaikpulih sementara menanti perpindahan ke WM.
3. Pihak yang bertanggungjawab mencari dan menyediakan penempatan yang mampu milik bagi anak-anak Melaka bagi menjamin keselamatan dan kebajikan anak Melaka.

Selain itu, pihak kami juga berasa kecewa dengan tindakan pihak pegawai Atase Pendidkan Melaka yang tidak menerima dan menolak kertas tandatangan solidariti anak-anak Melaka berkenaan isu ini. Kami berharap agar pihak pegawai lebih bersikap profesional dalam menerima pandangan daripada anak-anak Melaka terhadap sebarang permasalahan yang melanda kami, demi memudahkan kelangsungan hidup mahasiswa anak-anak Melaka di Bumi Anbiya’ ini.

Akhirnya, kami barisan wakil batch anak-anak Melaka di Mesir berharap agar pihak berwajib dapat mempertimbangkan cadangan yang disuarakan oleh pihak kami agar permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik supaya kebajikan anak-anak Melaka terus terjaga dengan sebaiknya. Semoga segala urusan kita dipermudahkan andai kita memudahkan urusan orang lain.

"BERILMU DAN BERAMAL"
"MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI  DICURAH"
"BKKIMM TETAP DIHATI”

No comments:

Post a Comment

author
BKKIMM
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir kini menjangkau usia 40 Tahun dalam memimpin wadah kesatuan anak Melaka sejak 1976. Tahun demi tahun, badai dan ujian yang datang mematangkan dan menguatkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ini agar terus kukuh dan utuh dalam memimpin wadah ini.