Monday 5 September 2016

KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA BERKAITAN ISU PENEMPATAN


Assalamualaikum w.b.t.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه
أجمعين.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (Surah An-Nisa' : 58)
Pada 1 September 2016, hari Khamis yang lalu merupakan hari yang bersejarah buat semua anak Melaka di Mesir. Satu peristiwa cubaan menghalau keluar anak-anak Melaka daripada Rumah Melaka Sementara (RMS) telah berlaku. Pada permulaannnya, beberapa orang pekerja warga tempatan Mesir daripada syarikat kontraktor datang untuk mengangkat perabot bagi mengosongkan RMS. Selepas beberapa ketika, wakil tuan rumah (broker) hadir ke RMS dan meminta semua anak Melaka yang menghuni RMS keluar dalam kadar yang segera.


Rentetan daripada kejadian tersebut, saya selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir telah menghubungi Encik Anwar bin Idris, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka serta merta dan meminta beliau untuk hadir ke RMS bagi menyelesaikan isu yang sedang berlaku. Beliau menyatakan tidak dapat hadir disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan. Selepas didesak, akhirnya pihak BKKIMM berjaya bertemu Encik Anwar bin Idris di Wisma Seri Melaka (WSM) bagi mendapatkan penjelasan. Hasil daripada perbincangan, pegawai memohon masa untuk perkara ini dibawa ke peringkat kerajaan negeri Melaka untuk diperbincangkan. Anak Melaka akan terus menghuni di RMS buat sementara waktu. Namun begitu, status RMS masih lagi tiada kata putus.


        Pihak BKKIMM juga telah berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan kini sedang berusaha untuk mengatur pertemuan. Besar harapan kami agar dapat mempercepatkan rundingan isu ini bersama pihak kedutaan dan mengharapkan pihak kedutaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya serta bertindak profesional dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Kita BKKIMM sentiasa membuka ruang untuk berunding dengan pihak-pihak berwajib.


Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan buat semua pihak dan individu yang memberikan sokongan dan kecaknaan terhadap isu penempatan anak Melaka di Mesir. Harapan saya untuk kita semua teruskan doa dan munajat kepada Allah SWT serta meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT agar isu ini dapat menemui penyelesaian yang terbaik.


Akhir kalam, BKKIMM akan sentiasa komited dalam mempertahankan hak dan memastikan kebajikan anak Melaka di Mesir terus dijaga oleh pihak yang berwajib. Semoga Allah SWT terus memelihara kesatuan BKKIMM ini sebagai badan yang berkebajikan dan menjaga perpaduan. BKKIMM mengharapkan segala sokongan dan dokongan daripada semua.
Sekian, terima kasih.

"BERILMU BERAMAL"
"MAHASISWA BERHIKMAH BAKTI DICURAH"

AHMAD RAZIN BIN MOHD FAUZI
YANG DIPERTUA,
BADAN KEBAJIKAN KELUARGA ISLAM MELAKA MESIR
SESI 2015/2016

No comments:

Post a Comment