UPP BKKIMM 2017. Powered by Blogger.

Monday, 22 August 2016

BKKIMM MEMBAWA ISU PENEMPATAN ANAK MELAKA KE PERINGKAT PEGAWAI

Kaherah, 19 Ogos 2016 - Pertemuan bersama Pegawai Atase Pendidikan Melaka Encik Muhd Anwar bin Idris telah diadakan pada 18 ogos hari khamis yang lalu di Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka (PPWSM). Wakil pimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir yang diketuai oleh Yang Dipertua saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi dan diiringi Timbalan Yang Dipertua saudara Muhammad Khidhir bin Abd Hamid. Tujuan pertemuan diadakan untuk berbincang dan menyampaikan permasalahan yang berlaku susulan daripada pertemuan pimpinan BKKIMM bersama anak-anak Melaka yang lalu.


Agenda pertama berkaitan pendidikan anak-anak Melaka yang telah dibawa oleh Timbalan Yang Dipertua saudara Muhammad Khidhir bin Abd Hamid adalah tentang statistik keputusan peperiksaan anak-anak Melaka tahun ini bagi sesi 2015/2016 dalam bidang pengajian islam khususnya. Dimaklumkan peratus kelulusan pada sesi ini meningkat daripada sesi-sesi lepas. Agenda seterusnya, YDP saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi bertanya berkaitan perkembangan kelas intensif yang telah dibawa kepada pihak berwajib untuk dilaksanakan. Pegawai Atase Pendidikan Melaka, Encik Muhd Anwar bin Haji Idris menyatakan bahawa kelas intensif tersebut masih belum mendapat keputusan untuk diluluskan.



Seterusnya, isu penempatan, YDP BKKIMM telah memaklumkan kepada pihak pegawai hasil daripada pertemuan diantara pimpinan BKKIMM dengan anak-anak Melaka di Mesir baru-baru ini yang majoritinya tidak bersetuju dengan tindakan menamatkan kontrak Rumah Melaka Sementara (RMS) pada hujung bulan ini disebabkan faktor yang dinyatakan oleh anak-anak Melaka sendiri seperti aspek keselamatan, kebajikan dan bangunan Wisma Melaka (WM) yang masih dalam proses pembinaan.
Selaku wakil suara anak-anak Melaka di Mesir, pihak BKKIMM juga telah menyampaikan kepada pihak pegawai agar mempertimbangkan pendirian anak-anak Melaka terutama yang masih tinggal di RMS supaya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus menyambung kontrak sewaan RMS sehingga WM siap dibina sepenuhnya atau jika tidak semua anak-anak Melaka yang menghuni RMS sekarang ini masuk dan tinggal sementara di Wisma Seri Melaka (WSM) dalam tempoh yang sama. Respon yang diberikan oleh Encik Muhd Anwar Bin Idris, beliau tidak dapat melakukan apa-apa tindakan memandangkan beliau tiada kuasa untuk mengambil sebarang keputusan dan perlu merujuk kepada kerajaan negeri.


Perjumpaan kali ini telah menatijahkan respon yang tidak menyebelahi harapan dan pandangan anak Melaka. Meskipun cadangan dan pandangan yang dilontarkan oleh wakil anak Melaka, namun En. Muhd Anwar bin Idris tidak dapat melakukan apa-apa tindakan. Di akhir pertemuan, YDP BKKIMM ingin menyerahkan dua helai kertas yang telah ditandatangani oleh anak-anak Melaka sebagai tanda solidariti bagi mempertahankan isu penempatan anak Melaka ini, namun telah ditolak oleh Pegawai Atase Pendidikan Melaka itu

BKKIMM selaku wadah kesatuan anak Melaka berusaha menyampaikan permasalahan dan harapan anak Melaka kepada pihak yang terbabit agar kebajikan, keselamatan dan kesatuan anak Melaka akan terus dipelihara. BKKIMM berharap kepada anak-anak Melaka khususnya penghuni Rumah Melaka Sementara supaya tetap dengan pendirian untuk tidak membuat sebarang tindakan terburu-buru berkenaan isu ini dan dapat terus berpegang dengan pendirian yang telah kita sama-sama sepakati dalam pertemuan sebelum ini. Bersamalah memohon doa kepada Allah SWT agar memberikan jalan keluar dan penyelesaian bagi segala masalah dan urusan.

Akhirnya, pihak BKKIMM berharap agar segala perbincangan ini dapat dipertimbangkan dan permasalahan dapat diselesaikan dengan baik supaya kebajikan anak-anak Melaka terus terpelihara. Semoga pertemuan ini diberkati dan dirahmati Allah SWT.

“BERILMU DAN BERAMAL”
“MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI  DICURAH"
"BKKIMM TETAP DI HATI"

No comments:

Post a Comment

author
BKKIMM
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir kini menjangkau usia 40 Tahun dalam memimpin wadah kesatuan anak Melaka sejak 1976. Tahun demi tahun, badai dan ujian yang datang mematangkan dan menguatkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ini agar terus kukuh dan utuh dalam memimpin wadah ini.