Tuesday 7 March 2017

KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA : AGENDA KEBAJIKAN AHLI TERUS DIPERKUKUH



[ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Firman Allah S.W.T : "Wahai orang-orang yang beriman rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhanmu (dengan mentauhidkanNya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)"

(Surah Al-Hajj : 77)

   Kebajikan merupakan antara agenda utama yang dibawa oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sepanjang penubuhannya sejak tahun 1976. Kepimpinan BKKIMM terus membuat yang terbaik buat anak-anak Melaka demi mencapai tujuan BKKIMM iaitu menjadikan ahli yang mempunyai softskill dan berkemampuan dalam menyebar luaskan agama Islam kepada masyarakat setelah mana mereka memahami kewajipan berdakwah.

Firman Allah SWT:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ    بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Mafhumnya : "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka"

(Surah Al-Nur : 55)

   Perjuangan mempertahankan survival BKKIMM diteruskan oleh pucuk pimpinan yang silih berganti mahupun yang telah pergi sebagaimana usaha gigih yang telah dilaksanakan oleh al-Marhum Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi, mantan Yang Dipertua BKKIMM sesi 2016/2017. Walaupun pelbagai permasalahan yang melanda anak Melaka terutama berkaitan penempatan dan isu penafian zakat, namun itu tidak menjadi satu penghalang kepada BKKIMM untuk terus membantu ahli dalam menangani segala permasalahan yang ada tanpa meminta bayaran gaji dan mengenal erti lelah.

   Sebagaimana dalam Mesyuarat Agung Tahunan BKKIMM kali Ke-29, pimpinan BKKIMM dan seluruh ahli sebulat suara bersetuju dengan usul yang telah dibawa oleh peringkat kepimpinan dan bertanggungjawab dalam menjayakan usul tersebut yang berbunyi:
'Menubuhkan Tabung Khas untuk membantu anak-anak Melaka di Mesir dalam dua aspek kebajikan:'
1. Zakat
2. Penempatan

   Usul ini dibincangkan adalah untuk membantu dan meringankan bebanan anak Melaka dan ibubapa dari sudut kewangan agar mereka yang berkenaan dapat meneruskan sesi pengajian dengan baik rentetan daripada masalah yang berlaku.

   Setelah diteliti dan beberapa pengkajian dijalankan, maka pimpinan BKKIMM mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah tabung khas yang bakal dilancarkan untuk mengumpul dana kewangan demi menjaga 2 item yang telah disebutkan. Tabung tersebut telah diberi nama Tabung Khas Anak Melaka Mesir. Segala kelancaran tabung ini telah dipertanggungjawabkan di bawah komuniti yang dilantik.

   Sehubungan dengan itu, saya dan barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi BKKIMM serta barisan komuniti Tabung Khas Anak Melaka Mesir menyeru kepada masyarakat di luar sana untuk sama-sama memberikan perhatian yang serius terhadap perkara ini.  Semoga keringat dan segala amal dan usaha kita semua menjadi saksi di akhirat kelak dan dikira sebagai amal jariah disisi Allah SWT.

   Sebarang maklumat lanjut berkaitan Tabung Khas Anak Melaka Mesir,sila layari link berkenaan,
https://www.facebook.com/Tabung-Khas-Anak-Melaka-Mesir-261361317644606/?skip_nax_wizard=true&refid=12&__mref=message_bubble

"SAHSIAH DIUNGGULI, KEBERSAMAAN DILESTARI"
"BERILMU DAN BERAMAL"

Yang Menjalankan Tugas,
MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment