Monday 3 April 2017

PLATFORM JAULAH MERIBAT HATI ANAK-ANAK MELAKA DI MESIR (KEMBARA'17 & OHSEM'17)


KAHERAH 26 MAC – Unit Perhubungan, Sambutan & Rehlah (UPSR) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2016/2017 telah menganjurkan program jaulah mega yang berlangsung selama 3 hari 2 malam bagi ikhwah dan akhawat Anak-anak Melaka. Program jaulah ikhwah yang diberi nama “KEMBARA ‘17” dengan bertemakan  “Menghayati Sejarah, Mematri Ukhuwah” telah berlangsung pada 11 hingga 13 Mac 2017 bertempat di Sinai dan Dahab. Manakala jaulah bagi akhawat pula yang diberi nama “Oasis Of The Sea” (OHSEM ’17)  dengan tema “Jelajah Tarbawi, Meribat Hati” telah bermula dari 18 hingga 20 Mac 2017 dan destinasi yang telah dilawati adalah Matrouh dan Siwa.
Program ini bertujuan memupuk ikatan ukhuwah sesama ahli BKKIMM, selain menggalakkan para peserta untuk mengkaji, menghayati dan mengambil pengajaran daripada sejarah peninggalan manusia. Disamping itu, program jaulah ini merupakan usaha untuk  melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berinovatif dan aktif secara tidak langsung mampu membentuk jiwa yang teguh dan kental serta berkeyakinan tinggi yang akan melahirkan generasi yang lasak dan sabar menghadapi ujian yang ditempuhi. Seterusnya, beberapa aktiviti berbentuk kerohanian dan jasmani berjaya dirangka oleh barisan komuniti untuk para peserta demi mencapai objektif utama jaulah mega kali ini.

Jaulah kali ini telah membawa anak-anak Melaka ke beberapa tempat menarik. Antara tempat-tempat menarik yang telah peringkat komuniti Kembara '17 bawa ialah, maqam Nabi Soleh, maqam Nabi Harun, Lembu Samiri, Gunung Sinai, Blue Hole, & Dahab. Manakala komuniti Ohsem '17 pula telah membawa akhawat ke Hamam Cleopatra, Kolam Cleopatra, Pantai Abyad, Pantai Agiba, dan banyak lagi.

Pelbagai aktiviti telah disusun oleh peringkat komuniti program untuk para peserta jaulah tarbawi kali ini demi mencapai objektif yang telah diletakkan. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan oleh komuniti Kembara '17 ialah, tazkirah Dhuha, pendakian Gunung Sinai, tazkirah Subuh, malam kebudayaan, ATV motor dan lain-lain. Manakala komuniti Ohsem '17 telah berjaya melaksanakan program antaranya, Liqo' Fuad, sukan pantai, forum Safar Mar'ah, tazkirah Dhuha, malam kebudayaan dan banyak lagi.


Akhir sekali, peringkat komuniti mengaharapkan agar jaulah yang dianjurkan ini dapat memberi pengalaman baru buat seluruh peserta. Di samping itu, kesatuan dan ikatan hati dapat diperkukuh melalui aktiviti yang dijalankan serta meningkatkan lagi rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. Semoga jaulah ini menjadi satu medium terbaik bagi mendidik rohani dan jasmani  anak-anak Melaka agar lebih bersedia menghadapi badai kehidupan pada masa akan datang. Di kesempatan ini, Pihak komuniti jaulah KEMBARA’17 dan OHSEM’17 merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih buat seluruh barisan kepimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir dan seluruh ahli-ahli BKKIMM  yang telah bersama-sama menjayakan program jaulah KEMBARA ’17 dan OHSEM’17 ini. Jazakallahu Khairan jaza’.

“Menghayati Sejarah, Mematri Ukhwah”
“Jelajah Tarbawi, Meribat Hati”

“Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari”

#BKKIMM_Kesatuan_Kami
#BersamaBersatu

Disediakan Oleh,
Setiausaha
Jaulah Tarbawi,
KEMBARA ’17 & OHSEM’17,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2016/2017.

No comments:

Post a Comment