Friday 26 January 2018

KUNJUNG HORMAT BKKIMM KE PEJABAT ATASE PENDIDIKAN MELAKA




KAHERAH, 24 Januari 2018 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka (PPWSM). Kunjung hormat itu disambut baik oleh Encik Masykuri Bin Khamid selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka di Mesir. Kunjungan yang melibatkan seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa HEWI serta wakil anggota penasihat BKKIMM sesi 17/18 ini telah diketuai oleh saudara Muhammad Anuar bin Abdullah selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi 17/18.


Objektif utama kunjung hormat yang merupakan agenda saban tahun dilaksanakan ini adalah untuk saling mengenali dan beramah mesra antara barisan kepimpinan sesi ini dengan pegawai yang merupakan wakil kerajaan negeri Melaka yang berada di sini. Sesi perbincangan yang dikendalikan oleh saudara Muhammad Ikhram bin Samsudin selaku Setiausaha Agung BKKIMM sesi 17/18 telah dimulakan dengan sesi pengenalan antara AJKT BKKIMM sesi kenaikan baru ini dan pihak pegawai.


Antara perkara yang dibawa oleh BKKIMM semasa kunjung hormat adalah beberapa permasalahan khususnya berkaitan dengan aspek keselamatan, pendidikan dan bantuan pelajar. Agenda perbincangan dimulakan dengan penyerahan laporan HISBAH dan Etika solusi yang dibentangkan oleh Saudara Sharul Ikmal Bin Rahim selaku Ketua Unit Dakwah BKKIMM sesi 17/18.  Seterusnya, saudara Muhammad Akram bin Mamad selaku Timbalan Setiausaha Agung merangkap (Ketua Unit Pendidikan) BKKIMM sesi 17/18 telah menyerahkan proposal cadangan pelaksanaan kelas intensif unit pendidikan yang mana perkara ini adalah salah satu pelaksanaan penekanan BKKIMM pada sesi kali ini. Selain itu, agenda diteruskan lagi dengan soalan yang diajukan sendiri oleh Yang Dipertua BKKIMM berkaitan status Wisma Melaka dan syarat-syarat kemasukan. Pihak pegawai memaklumkan bahawa beliau tiada maklumat yang tepat dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


Perbincangan dua hala yang baik antara pimpinan dengan pegawai Atase Melaka diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada wakil pimpinan iaitu saudara Muhammad Audi Bin Ismail selaku Timbalan Yang Dipertua BKKIMM sesi 17/18.Sebelum bersurai, pihak BKKIMM telah menyerahkan cenderahati tanda kenang-kenangan kepada pihak pegawai. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan dari masa ke semasa agar dapat memberikan yang terbaik buat anak-anak Melaka di Perlembahan Nil ini.

“Mahasiswa Rabbani, Membumi Bakti”
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKesatuanKami
#BersamaBersatu

Disediakan oleh:
Setiausaha Agung 
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
sesi 2017/2018

No comments:

Post a Comment